Khamis, 16 Mac 2017

Piala FA: Terengganu bermula cemerlang



ARKIB : 14/03/2001
PENYANDANG juara, Terengganu mengetuai senarai pemenang dalam 12 perlawanan pusingan pertama bola sepak Piala FA apabila menewaskan Kedah 5-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Hatrik oleh Sapian Wahid pada minit ke-15, 27 dan 90, serta dibantu dua gol lagi menerusi Wan Rohaimi Ismail di minit ke-22 dan 84 memastikan kejayaan tuan rumah.

Di Stadium Batu Kawan, Hasmawi Hassan dan Mohd. Fareed Shah Hassan melakukan hatrik untuk Pulau Pinang yang juga naib juara tahun lalu meraikan kemenangan besar 9-0 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Hasmawi menyumbat masuk bola pada minit ke-43, 71, 90, Mohd. Fareed, minit ke-53, 60, 66, manakala tiga gol lagi oleh R. Suresh Kumar (17), Mohd. Aiman Wong (55) dan Ooi Hoe Guan (76).

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, tuan rumah Negeri Sembilan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas TNB Kelantan hasil jaringan Azrine Effendy.

Di Stadium Sarawak, Kuching, tuan rumah Sarawak hanya mampu berkongsi mata dengan Kelantan apabila kedua-dua pasukan seri 3-3.

Gol-gol Sarawak dijaringkan oleh ketua pasukan, Mohd Ali Sapiee pada minit keenam, Halim Jantan (49) dan Ramles Sari (60), manakala Kelantan pula menerusi Tuan Kamree Tuan Yahya (10), S. Sivaram (67) dan Anuar Abu Bakar (85).

Di Stadium Darul Makmur, tuan rumah Pahang menewaskan NS Chempaka 2-0 menerusi jaringan Khairul Nizam Man (73) dan Azizul Kamaluddin (85).

Di Stadium Pasir Gudang, Johor FC meraikan kemenangan 1-0 ke atas TKN Perak melalui sepakan penalti oleh Idris Karim pada minit ke-38 selepas kesilapan pemain TKN Perak, R. Narayanan menjatuhkan Sheikh Ahmad Redzuan di dalam kotak penalti.

Di Stadium Darulaman, JKR Kelantan meraih kemenangan bergaya 7-0 ke atas Ansell Kedah, kesemua gol di babak pertama hasil jaringan Zool Ehsan Yunus (2, 31, 39), Che Hishamudin Hassan (5, 10, 28) dan Mohd. Shukri Che Mat (37).

Di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, SKMK Kelantan mengejutkan Tentera 2-0 hasil jaringan Suharmin Ariffin (42) dan penalti Anuar Roni (78).

Di Stadium Utama, Kangar, tuan rumah Perlis mengalahkan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) 1-0 menerusi jaringan Badrul Afzan Razali, minit ke-44.

Di Stadium Shah Alam, Selangor menewaskan Johor 2-0 menerusi Rizal Hassan (17) dan Yusri Che Lah (38).

Di Stadium Utama, Kangar, tuan rumah Perlis mengalahkan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) 1-0 menerusi jaringan Badrul Afzan Razali, minit ke-44.

Di Stadium KLFA, Cheras, tuan rumah Kuala Lumpur menumpaskan JKR Kedah 1-0 hasil jaringan Zulkifli Affendy (85).

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Melaka berkenduri gol dengan mengalahkan Zaba FC Terengganu 12-1.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bUK5X3gT© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan