Rabu, 31 Mei 2017

Perak, Selangor ke suku akhir



ARKIB : 23/06/2005

PENYERANG Selangor, Khalid Jamlus (kiri) berusaha melepasi kawalan dua pemain MK Land pada aksi pusingan kedua bola sepak Piala FA di Stadium Petaling Jaya, malam tadi. Selangor menang 2-1 untuk layak ke suku akhir dengan agregat 5-2. - Gambar Nazudeen Mahmud.

KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Perak menempah tempat ke suku akhir bola sepak Piala FA selepas menang 2-1 ke atas Pulau Pinang dalam aksi kedua pusingan kedua di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam tadi.

Skuad bimbingan jurulatih dari Brazil, Toni Netto itu layak dengan agregat besar 8-1 selepas menang 6-0 pada perlawanan pertama di Ipoh.

Pulau Pinang membuka jaringan minit ke-50 menerusi Faisal Esahar sebelum dua gol lewat permainan oleh Wirat Nom (84) dan R. Surendran (89) memberikan kemenangan 2-1 kepada Perak.

Juara tiga kali, Selangor turut layak selepas menang 2-1 ke atas MK Land di Stadium Petaling Jaya semalam untuk menang dengan agregat 5-2.

Brian Fuentes membuka jaringan pada minit ketujuh sebelum penyerang kebangsaan, Mohd. Khalid Jamlus menggandakan gol minit ke-73.

Gol MK Land diperoleh minit ke-82 menerusi Mario Mijatovic.

Bagaimanapun, Kedah tersingkir selepas tewas sepakan penalti 8-7 kepada PKNS di Alor Star.

Kedua-dua pasukan terikat agregat 2-2 selepas pusingan kedua berkesudahan 1-1.

Terengganu turut merakam kemaraan ke suku akhir selepas perlawanan menentang Johor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu berkesudahan seri tanpa jaringan.

Kemenangan 1-0 Terengganu di Johor dalam aksi pertama lalu jelas begitu berharga buat skuad pantai timur itu untuk menang agregat 1-0.

Juara 1995, Sabah turut menempah tempat dengan kemenangan agregat 6-2 ke atas Kuantan Port/Shahzan Muda selepas skuad Badak menang 3-0 di Stadium Likas.

Gol-gol tuan rumah dijaringkan oleh pemain import, Julio Ceasar Rodriquez (58, 81) dan Mohd Arsyah Ayub (64).

Kuala Lumpur juga menang 3-2 ke atas TNB Kelantan di Stadium KLFA untuk layak dengan agregat 5-4.

Skuad warga kota yang terikat 2-2 di Kota Bharu, membuka jaringan menerusi Zabri Hassan (3) sebelum dua gol disumbat oleh Carlos Quinonez (5 dan penalti 82). Gol TNB dijaringkan oleh Farli Salim (48) dan Latiff Yusuf (65).

Kelantan menang penalti 4-2 untuk layak selepas kedudukan agregat terikat 6-6 di Kota Bharu.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ifS1AjvU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perlis selesa ke Kelantan



ARKIB : 17/06/2005
Oleh YUSRI SAHAT

KANGAR - Perlis diibaratkan sudah sebelah kaki untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA selepas mencipta kemenangan besar 4-1 ke atas Kelantan, kelmarin.

Kemenangan itu memberikan bekalan selesa buat pendahulu Liga Super itu sebelum bertandang ke Kota Bharu, Kelantan Rabu ini untuk pertemuan kali kedua.

Bagi Kelantan pula, skuad Kijang itu memerlukan `sentuhan ajaib' untuk menundukkan penyandang Juara Piala Malaysia itu dalam pertemuan kali kedua nanti.

Pengurus pasukan Perlis, Adzmi Saad berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya walaupun wujud sedikit kealpaan pada separuh masa pertama.

``Pada babak pertama kita melihat para pemain mengambil sikap mudah selepas mendahului 1-0 sebelum lawan menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa,'' katanya kepada Utusan Sukan ketika dihubungi, semalam.

Pada perlawanan kelmarin, gol Perlis dijaringkan oleh Yusri Che Lah pada minit ke-12 dan 68 diikuti dua lagi gol daripada Mohd. Lamin al-Hidayah dan Zacharia Simukonda pada minit ke-51 dan 80.

Gol tunggal Kelantan pula dihasilkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-40.

Adzmi mengingatkan kepada para pemainnya bahawa kemenangan besar yang dicipta pada malam itu bukan tiket untuk mengambil sikap sambil lewa apabila berkunjung ke Stadium Sultan Mohamad IV di Kota Bharu minggu depan.

Ini kerana suasana di Kota Bharu adalah berbeza apabila ribuan penyokong Kelantan akan memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.

``Keputusan di luar dugaan boleh berlaku jika pemain terlalu selesa dengan kemenangan malam tadi (kelmarin),'' tegasnya.

Sementara itu, katanya, Perlis akan kehilangan pemain sayapnya, Mohd. Ivan Yusoff yang terpaksa direhatkan selama sebulan kerana mengalami kecederaan di lutut.

Bagaimanapun ketiadaan Mohd. Ivan tidak akan menyebabkan berlakunya kepincangan di bahagian tersebut apabila pemain menunjukkan keserasian pada pertemuan dengan Kelantan semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ieTSmCq0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 30 Mei 2017

Marlon, Bambang tarik perhatian -- Piala FA 2005



ARKIB : 15/06/2005

Oleh AMRAN MULUP
 KUALA LUMPUR - Pertembungan dramatik juara tiga kali Piala FA, Selangor dengan MK Land di Stadium Selayang dekat sini bakal menjadi tumpuan semua peminat bola sepak pada saingan pertama pusingan kedua Piala FA, bermula malam ini.

Selangor yang gah selaku pendahulu Kumpulan A masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas TNB dalam saingan Liga Perdana Ahad lepas, manakala MK Land membuat kejutan dengan penyerang import Marlon Alex James menjaringkan enam gol ketika menewaskan Brunei 6-1.

Pertembungan dua penggempur terbilang Bambang Pamungkas buat skuad Selangor dan Marlon bakal menyajikan saingan paling menarik ketika rekod pertemuan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Selangor pastinya tidak rela, MK Land selaku pasukan berstatus kelab bakal memalitkan malu buat kali kedua.

Ketika MK Land bergantung penuh ke atas Marlon untuk memburu jaringan, Selangor sedikit ada kelebihan dengan kehadiran Brian Fuentes dan Muhammad Khalid Jamlus bagi membantu Bambang.

Buat MK Land kekalahan tipis 2-3 kepada Selangor pada saingan 15 Mei lalu tidak akan berulang lagi kali ini.

Pastinya, MK Land pula mahu meleburkan impian Selangor bagi meneruskan perjuangan untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala FA nanti.

Buat juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis yang masih belum mendakap gelaran selaku juara Piala FA sejak mula diperkenalkan pada 1990, dijangka tidak berdepan halangan bertemu pasukan dari Piala FAM, Kelantan di gelanggang sendiri.

Kehadiran Philemon Chipeta yang mencipta hatrik ketika Perlis menewaskan MPPJ 4-0 Sabtu lepas akan menjadi nadi untuk menyekat Kelantan daripada mengukir kemenangan.

Tidak hanya Chipeta menjadi ancaman buat Kelantan tetapi Zachariah Simukonda turut menggugat pasukan dari pantai Timur itu untuk meraih kemenangan pertama.

Sementara itu, Kedah yang pernah bergelar juara pada 1996 dijangka tidak menghadapi masalah untuk meraih kemenangan pertama apabila bertandang ke Stadium Petaling Jaya bertemu PKNS.

Kedah yang menjadi pencabar kepada Selangor dalam Liga Perdana Kumpulan A, pastinya mahu memburu gelaran juara Piala FA musim ini.

Bekas juara tiga kali, Kuala Lumpur dengan prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Perdana pula akan bertandang ke Stadium Sultan Mohd. Ke-IV berdepan dengan TNB.

Selain itu, Terengganu yang pernah dinobatkan selaku juara pada tahun 2000 akan berdepan dengan Johor di tempat lawan.

Terengganu yang masih belum kebah daripada kejutan Ahad lepas tewas 1-2 kepada Jenderata pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menebus kekalahan tersebut.

Pendatang baru daripada Liga FAM, Shahzan Muda pula akan menguji kehebatan Sabah menjadi tuan rumah di Stadium Temerloh.

Manakala Maju Holdings pula akan melayani kedatangan Public Bank di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4icngdMdb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Laluan juara bertahan perit -- Pusingan kedua Piala FA



ARKIB : 02/06/2005

Oleh AMRAN MULUP
 PETALING JAYA - Juara Piala FA musim lalu, Perak berdepan tugas getir untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi apabila diundi bertemu juara 2002, Pulau Pinang dalam kempen pusingan kedua bermula 15 dan 22 Jun ini.

Laluan getir juga turut dilalui oleh juara sebanyak tiga kali, Selangor yang diundi berdepan dengan jiran setempat dan musuh utama dalam saingan Liga Perdana Kumpulan A, MK Land.

Keempat-empat pertemuan membabitkan Perak bertemu Pulau Pinang dan Selangor berdepan MK Land adalah antara aksi Piala FA yang menjadi tumpuan memulakan cabaran pusingan kedua saingan pertama pada 15 Jun sebelum mengharungi perlawanan kedua pada 22 Jun.

Saingan Piala FA kali ini menyaksikan 10 pasukan daripada persatuan bola sepak negeri dan enam dari pasukan berstatus kelab layak ke pusingan kedua.

Selain MK Land, lima pasukan berstatus kelab yang layak ialah PKNS, TNB, Shahzan Muda, KL Maju Holdings dan Public Bank.

Peringkat suku akhir timbal balik pula dijadualkan berlangsung pada 29 Jun dan 13 Julai, peringkat separuh akhir pula pada 31 Ogos dan 10 September manakala perlawanan akhir pula pada 24 September.

Atas kertas kelebihan jelas milik Pulau Pinang yang menang dua perlawanan pada saingan Liga Super apabila menewaskan Perak 1-0 di tempat lawan dan 2-1 di gelanggang sendiri.

Situasi Perak yang kini menduduki tangga tercorot Liga Super merumuskan betapa prestasi skuad seladang tidak menentu dan ini sudah pasti menceriakan Pulau Pinang yang mengidam untuk menempah tempat ke suku akhir.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Mohd. Junid Mohd. Noor berkata, walaupun rekod pertemuan kedua-dua pasukan jelas memihak kepada Pulau Pinang tetapi saingan kalah mati Piala FA sukar untuk diramalkan.

``Saya boleh sifatkan peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50, perlawanan ini boleh memihak kepada pasukan yang bermain dengan cemerlang,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Amatur Perak (PAFA) Datuk Ishak Mohammad pula berkata, Perak akan cuba sedaya upaya untuk menewaskan Pulau Pinang dalam usaha mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

``Perak mengharungi persembahan yang tidak menentu tetapi dua kemenangan ke atas Perlis dan Sabah dalam saingan Liga Super membuktikan pasukan kita sudah kembali menemui sentuhan.

``Saya harap ini akan berterusan buat Perak untuk layak ke suku akhir,'' ujarnya.

Pada undian yang dijalankan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini semalam, laluan penuh berliku diharungi oleh Selangor selepas perlawanan pertama diundi bertemu Pahang tetapi menang dengan agregat 5-2 tetapi kali ini berdepan MK Land.

MK Land pernah menewaskan Selangor 3-2 tetapi Merah Kuning menebus kembali dengan jaringan yang sama pada saingan Liga Perdana, bakal menjadikan pertembungan kedua-dua pasukan itu ibarat `buku bertemu ruas'.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengakui pertemuan tersebut dijangka sengit dan sukar untuk diramalkan kemenangan berpihak sama ada kepada skuad Merah Kuning ataupun MK Land.

``Setakat ini, pertemuan terikat 1-1 antara kedua-dua pasukan, sama ada Selangor ataupun MK Land masing-masing ada kelebihan tersendiri,'' ujarnya.

Sementara itu pengurus MK Land, Michael Palani turut mengakui pertemuan kali ini dianggap paling sengit dan mendebarkan.

``MK Land akan mengekal corak permainan yang sama dan semua pemain bercita-cita untuk menewaskan Selangor,'' katanya.

Naib juara musim lalu, Terengganu turut merintis laluan sukar berdepan dengan Johor.

Dalam pertemuan Liga Perdana Kumpulan B, pertemuan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pada perlawanan pusingan pertama Johor menang 1-0 di Stadium Larkin sebelum tewas dengan jaringan yang sama di Kuala Terengganu.

Juala Piala Malaysia musim lalu, Perlis yang mendapat `bye' pada pusingan pertama akan berdepan dengan Kelantan manakala juara tiga kali, Kuala Lumpur akan bertemu dengan TNB.

Bekas juara pada 1996, Kedah pula dijangka mendapat tentangan sengit apabila diundi bertemu dengan PKNS.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iZcyyOlY
© Utusan Melayu (M) Bhd