Selasa, 30 Mei 2017

Marlon, Bambang tarik perhatian -- Piala FA 2005



ARKIB : 15/06/2005

Oleh AMRAN MULUP
 KUALA LUMPUR - Pertembungan dramatik juara tiga kali Piala FA, Selangor dengan MK Land di Stadium Selayang dekat sini bakal menjadi tumpuan semua peminat bola sepak pada saingan pertama pusingan kedua Piala FA, bermula malam ini.

Selangor yang gah selaku pendahulu Kumpulan A masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas TNB dalam saingan Liga Perdana Ahad lepas, manakala MK Land membuat kejutan dengan penyerang import Marlon Alex James menjaringkan enam gol ketika menewaskan Brunei 6-1.

Pertembungan dua penggempur terbilang Bambang Pamungkas buat skuad Selangor dan Marlon bakal menyajikan saingan paling menarik ketika rekod pertemuan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Selangor pastinya tidak rela, MK Land selaku pasukan berstatus kelab bakal memalitkan malu buat kali kedua.

Ketika MK Land bergantung penuh ke atas Marlon untuk memburu jaringan, Selangor sedikit ada kelebihan dengan kehadiran Brian Fuentes dan Muhammad Khalid Jamlus bagi membantu Bambang.

Buat MK Land kekalahan tipis 2-3 kepada Selangor pada saingan 15 Mei lalu tidak akan berulang lagi kali ini.

Pastinya, MK Land pula mahu meleburkan impian Selangor bagi meneruskan perjuangan untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala FA nanti.

Buat juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis yang masih belum mendakap gelaran selaku juara Piala FA sejak mula diperkenalkan pada 1990, dijangka tidak berdepan halangan bertemu pasukan dari Piala FAM, Kelantan di gelanggang sendiri.

Kehadiran Philemon Chipeta yang mencipta hatrik ketika Perlis menewaskan MPPJ 4-0 Sabtu lepas akan menjadi nadi untuk menyekat Kelantan daripada mengukir kemenangan.

Tidak hanya Chipeta menjadi ancaman buat Kelantan tetapi Zachariah Simukonda turut menggugat pasukan dari pantai Timur itu untuk meraih kemenangan pertama.

Sementara itu, Kedah yang pernah bergelar juara pada 1996 dijangka tidak menghadapi masalah untuk meraih kemenangan pertama apabila bertandang ke Stadium Petaling Jaya bertemu PKNS.

Kedah yang menjadi pencabar kepada Selangor dalam Liga Perdana Kumpulan A, pastinya mahu memburu gelaran juara Piala FA musim ini.

Bekas juara tiga kali, Kuala Lumpur dengan prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Perdana pula akan bertandang ke Stadium Sultan Mohd. Ke-IV berdepan dengan TNB.

Selain itu, Terengganu yang pernah dinobatkan selaku juara pada tahun 2000 akan berdepan dengan Johor di tempat lawan.

Terengganu yang masih belum kebah daripada kejutan Ahad lepas tewas 1-2 kepada Jenderata pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menebus kekalahan tersebut.

Pendatang baru daripada Liga FAM, Shahzan Muda pula akan menguji kehebatan Sabah menjadi tuan rumah di Stadium Temerloh.

Manakala Maju Holdings pula akan melayani kedatangan Public Bank di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4icngdMdb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan