BADDROL BAKHTIAR (depan) bersama
rakan sepasukan menjalani latihan di Stadium Darul Aman semalam menjelang
perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak Sabtu ini. UTUSAN/FARIZ
RUSADIO
24 Julai 2019 9:28 PM
KUALA LUMPUR - Selepas membantu
Kedah merangkul gelaran Piala FA sebanyak tiga kali sebelum ini, kapten Baddrol
Bakhtiar mengintai peluang untuk melakukan buat kali keempat pula apabila Lang
Merah turun menentang Perak dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit
Jalil, Sabtu ini.
Pemain kebangsaan itu yang meraih
trofi Piala FA bersama Kedah pada 2007, 2008 dan 2017 menjangkakan saingan
sengit bakal ditampilkan Bos Gaurus yang kali terakhir mendakap Piala FA pada
2004.
Pemain tengah skuad Lang Merah
itu pada masa sama turut mengakui, aksi kali ini agak istimewa kerana
melibatkan dua wakil utara selepas edisi 2007 yang menyaksikan Kedah mengatasi
Perlis 4-2 menerusi sepakan penalti pada aksi final di Stadium Batu Kawan,
Pulau Pinang.
“Persediaan kami berjalan seperti
biasa dan saya berharap rakan sepasukan dapat teruskan momentum cemerlang dalam
saingan Liga Super ke final Piala FA dan saya harapkan keputusan positif pada
kali ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Dalam pada itu, Baddrol mengakui
undian mudah yang diterima Kedah dalam saingan Piala Malaysia 2019 yang bermula
awal bulan depan, dapat dijadikan dorongan untuk memburu keputusan positif kali
ini.
Baddrol bagaimanapun,
mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak memandang rendah keupayaan tiga
pasukan lain dalam kumpulan A iaitu Terengganu FC, PKNS FC dan Negeri Sembilan
yang turut mempunyai peluang sama rata.
“Apabila diletakkan sebagai
pasukan pilihan dalam kumpulan A, ia sedikit sebanyak memberi satu motivasi
kepada saya dan rakan sepasukan, dan kami seharusnya tidak mengambil mudah
saingan sengit daripada tiga pasukan ini,” jelas Baddrol.
Pada aksi separuh akhir, Perak
menewaskan Pahang dengan aggregat 4-3, manakala Kedah mengatasi Felda United
menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 3-3. – BERNAMA
SUMBER-UTUSAN ONLINE 24 Julai
2019 9:28 PM