Sabtu, 3 Disember 2016

K. Lumpur cari jalan sukar


 

ARKIB : 04/06/1999
PEMAIN Kuala Lumpur, Azmir Nor Hakim Burhan (tengah) berusaha mengawal bola daripada dirampas pemain Sarawak pada perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala FA di Stadium KLFA, Cheras, kelmarin. Kuala Lumpur mara ke separuh akhir selepas menang penalti 4-2 selepas kedudukan agregat terikat 1-1.

KUALA LUMPUR seharusnya melangkah ke separuh akhir bola sepak Piala FA dengan bergaya jika semua peluang yang terhidang di depan mata pada perlawanan suku akhir kedua menentang Sarawak kelmarin, mampu disempurnakan dengan baik.

Sebaliknya, mereka memilih cara yang sukar sehingga terpaksa menentukan kemaraan menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan agregat terikat 1-1 pada perlawanan di Stadium KLFA, Cheras itu.

Hakikat itu diakui jurulatih Mat Zan Mat Aris yang melahirkan kekecewaannya apabila Kuala Lumpur gagal menyempurnakan banyak peluang pada perlawanan 90 minit termasuk tempoh 30 minit masa tambahan.

''Kita sepatutnya sudah mengesahkan kemaraan dalam tempoh 90 minit itu tetapi entah bagaimana, pemain kita tidak mampu melakukannya.

''Kita banyak melepaskan peluang keemasan di depan gol yang mana kalau dikira, sekurang-kurangnya kita mendapat empat atau lima gol,'' katanya selepas perlawanan itu.

Begitu pun, Mat Zan lega selepas anak buahnya tidak mengecewakannya apabila menang penentuan sepakan penalti untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir, 15 Jun ini.

Kuala Lumpur ketinggalan 0-1 secara agregat kepada Sarawak yang menang 1-0 pada suku akhir pertama di Kuching tetapi berjaya menyamakan kedudukan 1-1 di Cheras menerusi jaringan tunggal G. Muthu, kelmarin.

Bagaimanapun, perlawanan suku akhir kedua kelmarin yang jelas dikuasai Kuala Lumpur disia-siakan oleh barisan depan warga kota terutama K. Hemadass yang banyak melepaskan peluang hingga memaksa penentuan penalti selepas masa tambahan tidak mengubah kedudukan.

''Saya pada mulanya tidak yakin kemenangan akan berpihak kepada kami semasa penentuan penalti kerana mengikut rekod pasukan dalam liga, kita hanya menang sekali (kepada Kedah) dan tewas tiga kali (daripada empat keputusan seri).

''Tetapi jaringan Eswaran untuk menentukan kemenangan dalam penentuan itu amat melegakan kami,'' katanya.

Kuala Lumpur menang penalti 4-2 menerusi jaringan ketua pasukan P. Saravanan, Azali Mat Jusoh, Mohd. Nizaruddin Yusof dan M. Eswaran.

Kuala Lumpur akan bertemu naib juara musim lalu, Sabah pada separuh akhir pertama di Likas, 15 Jun ini sebelum perlawanan timbal balik di Cheras pada 26 Jun.

Mengenai perlawanan dengan Sabah nanti, Mat Zan percaya pemainnya mampu melakukan kejutan ke atas skuad itu biarpun Sabah nampak semakin ghairah mengejar kemenangan sejak dibimbing jurulatih Ken Worden.

''Jika melihat pertembungan Kuala Lumpur dengan Sabah dalam liga, kemenangan memihak kepada kami dan saya yakin pasukan mampu mengulangi kejayaan itu,'' ujarnya

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rpnz31fu © Utusan Melayu (M) Bhd

Piala FA: Sarawak menanti KL dengan semangat tinggi

ARKIB : 25/05/1999
SARAWAK akan turun berbekalkan keyakinan tinggi apabila berhadapan Kuala Lumpur pada pusingan pertama suku akhir bola sepak Piala FA di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam ini.

Beraksi di gelanggang sendiri, skuad Bujang Senang mengharapkan kemenangan berpihak kepadanya di samping dapat mempamerkan sekali lagi sentuhan emas yang melenyapkan cabaran Kuala Lumpur 5-1 pada saingan liga, dua minggu lalu.

Biarpun kesan kekalahan 1-2 kepada juara Piala Malaysia, Perak tiga hari lalu masih lagi dirasai, namun ia bukan menjadi halangan bagi anak-anak buah Abdul Jalil Rambli untuk memenuhi hasrat tersebut.

Namun begitu, harapan tersebut tidak akan mudah dicapai kerana banyak liku yang perlu ditempuhi.

Skuad warga kota pimpinan bekas pemain, Mat Zan Mat Aris tentu sudah menyusun strategi dan membuat percaturan rapi dalam misi untuk membalas dendam ekoran kekalahan yang dialami pada 11 Mei lalu.

Bagi Sarawak pula, kemenangan malam ini begitu bermakna sekali dalam memastikan matlamat mereka untuk beraksi pada perlawanan akhir Piala FA musim ini dapat dikotakan.

Menurut jurulatih Sarawak, Jalil, pasukannya akan turun habis-habisan untuk mendapatkan kemenangan mutlak biarpun menyedari tugas yang dihadapinya cukup berat.

Katanya, kekalahan kepada Perak di Ipoh, Sabtu lalu tidak sedikitpun menjejaskan tumpuan pemain untuk mempamerkan aksi yang terbaik.

''Para pemain kini sudah bersedia dan mereka kini sedang gigih menjalani latihan dan memperbaiki kelemahan yang ada sebelum perlawanan bermula,'' ujarnya ketika dihubungi di Kuching, semalam.

Menurut Jalil, tonggak utama, Zaidel Sakup tidak akan diturunkan kerana menerima dua kad kuning, sementara kedudukan pemain kebangsaan, Nazri Yunos yang menerima satu kad kuning pada cabaran liga, belum ditentukan lagi.

Beliau berkata, apa yang penting, Bujang Senang perlu mencari kemenangan walaupun dengan jaringan tunggal 1-0.

''Saya yakin jika pemain dapat memberi komitmen dan kesungguhan terbaik selain bijak memanfaatkan peluang yang diperoleh, pasukan Bumi Kenyalang boleh mengutip tiga mata penuh,'' ujarnya.

Jalil menambah, Sarawak masih lagi mempunyai ruang untuk bersaing di peringkat yang lebih jauh dalam Piala FA kali ini.

Katanya, para pemain terutama pemain muda sudah mula menunjukkan peningkatan dan ini merupakan petanda positif ke arah mewujudkan skuad Bujang Senang yang berwibawa pada masa depan.

Pada pusingan kedua Piala FA, Sarawak berjaya mengatasi Perak dengan agregat 2-1 selepas mengalahkan skuad 'Seladang' 1-0 di Kuching dan seri 1-1 di Ipoh.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RmHnhcMI © Utusan Melayu (M) Bhd

Bola sepak tempatan tidak kurang hebat

ARKIB : 25/05/1999
DUA saingan terbaik, Liga Perdana dan Piala FA England membabitkan kelab kesayangan ramai seolah-olah melupakan peminat bola sepak tempatan terhadap perlawanan di tanah air yang masih menarik untuk ditonton pada malam ini dan esok.

Seharusnya, persembahan hebat Manchester United sewaktu menewaskan Newcastle United 2-0 untuk meraih kejuaraan Piala FA England menjadi pembakar semangat kepada lapan pasukan yang berentap dalam peringkat suku akhir pertama Piala FA di negara ini.

Di Stadium Sarawak, skuad tuan rumah berdepan tugas agak berat kerana menghadapi Kuala Lumpur, skuad 'warga kota' yang cukup berdendam dengan pasukan bumi ''kenyalang.''

Kuala Lumpur sudah pasti ingin menebus kekecewaan selepas dimalukan Sarawak dalam Liga Perdana Satu di stadium yang sama apabila dibelasah 1-5.

Kekalahan 2-4 kepada Pulau Pinang dalam Liga Perdana Satu turut mencabar keupayaan Kuala Lumpur untuk bangkit memberi saingan getir Piala FA yang turut mahu dimiliki Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, 'anak-anak buah' jurulatih Jalil Rambli bukannya mudah ditewaskan, apatah lagi di gelanggang sendiri yang memudahkan Ramos Sari untuk terus berlari pantas bagi memerangkap Kuala Lumpur.

Sementara itu, pertembungan 'antara dua darjat' bagi dua negeri berjiran di Pantai Timur, Terengganu dengan Kelantan pasti menarik dengan aksi yang bakal menghiburkan.

Walaupun Kelantan merupakan skuad Perdana Dua, Terengganu pasti tidak akan memandang rendah keupayaan skuad 'kijang' yang mempunyai barisan mantap.

Dengan barisan tonggak berpengalaman seperti Zahasmi Ismail, Khamal Idris Ali, Nidzam Adzha Yusuf dan Affendi Julaihi, Kelantan cukup berbahaya walaupun bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Keesokannya pula, saingan menarik terhidang lagi apabila Sabah akan menentang Kedah di Stadium Likas manakala Negeri Sembilan menghadapi Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Sabah pasti berhempas pulas kerana ingin memburu Piala FA selepas saingan Liga Perdana Satu agak mengecewakan apabila kini menduduki tangga ketiga tercorot.

Kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 3-2 selepas mendapat khidmat jurulatih baru Ken Worden menjadi pendorong untuk ''Negeri Di Bawah Bayu'' mencipta kemenangan di stadium sendiri sebagai bekalan sebelum ke gelanggang lawan dalam pusingan kedua.

Begitu juga Negeri Sembilan yang akan memastikan kemenangan kejayaan di gelanggang sendiri untuk memudahkan laluan kerana Pahang cukup sukar untuk ditewaskan apatah lagi di Stadium Darulmakmur.

Jadi, sebelum segala-galanya menjadi lebih sukar, jurulatih Irfan Bakti sudah tentu mengerah ''bala tenteranya'' menyekat kemaraan Pahang, pasukan yang dibarisi rangkaian penyerang terbaik, Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RmH02xn4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 2 Disember 2016

Penyu perlu ubah sikap

ARKIB : 06/05/1999
SIKAP pemain yang terlalu berpuas hati selepas mencipta kemenangan besar seharusnya dikikis segera oleh Terengganu untuk memenuhi hajat mengecap kejayaan dalam Liga Malaysia musim ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Jurulatih Yunus Alif berkata, sikap seumpama itu boleh memusnahkan harapan Terengganu sekiranya pemain tidak cepat menyedari kesilapan mereka seperti diamalkan ketika menentang Pulau Pinang dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA, kelmarin.

''Saya cukup bimbang dengan persembahan pemain Terengganu malam ini (kelmarin) kerana mereka seolah-olah berpuas hati dengan bekalan 4-1 yang kita peroleh di gelanggang sendiri dalam pusingan pertama.

''Ini menyebabkan Pulau Pinang menghasilkan dua jaringan untuk mendekatkan lagi agregat sehinggalah kita (Terangganu) menjarakkannya semula menerusi satu gol, menjadikan kedudukan 1-2,'' kata beliau selepas perlawanan berakhir di Stadium Bandaraya, kelamrin.

Sehubungan itu, kata Yunus, beliau akan memastikan pemainnya tidak bersikap sambil lewa dalam menghadapi saingan seterusnya, baik dalam Piala FA mahu pun Liga Perdana Satu.

''Perlawanan malam ini (kelmarin) menjadi pengajaran betapa bekalan hasil jaringan besar masih belum tentu menjaminkan kedudukan selesa kecuali jika pemain tetap mempamerkan aksi terbaik mereka,'' kata beliau.

Dengan kemenangan tersebut, Terengganu melangkah ke suku akhir untuk bertemu Kelantan yang menewaskan Johor 3-2 dalam pusingan kedua.

Mengenai saingan suku akhir, Yunus menyifatkan pertemuan dengan negeri jirannya, Kelantan sebagai sengit berdasarkan pencapaian pasukan Pantai Timur itu setakat ini.

''Apa pun, sikap pemain memainkan peranan kerana mereka seharusnya mempamerkan permainan terbaik tanpa mengira pasukan mana yang ditentang,'' kata Yunus.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RjWH1pPB © Utusan Melayu (M) Bhd

Kejayaan NS belum mampu sembunyikan kepincangan

ARKIB : 06/05/1999
WALAUPUN pasukan Negeri Sembilan berjaya melangkah ke pusingan suku akhir bola sepak Piala FA apabila mengalahkan 'adiknya', NS Cempaka dengan agregat 3-2, ia tidak bermakna kerana kemenangan itu dikecapi dengan bantuan nasib dan tuah gelanggang sendiri.

Justeru, barisan pemain skuad bergelar 'Rusa' itu perlu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam siri perlawanan Perdana Satu dan Piala FA yang akan ditempuhi sekiranya ingin kekal di dalam kelompok pasukan yang terbaik negara ini.

Berdasarkan perlawanan pusingan kedua Piala FA di Paroi kelmarin, pasukan Perdana Satu Negeri Sembilan tampak pincang di segenap posisi terutama jentera serangan yang begitu sukar mendapatkan gol walaupun peluang berbuat demikian cukup banyak.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin, skuad 'Hobin Jang Hobin' terpaksa bekerja keras mendapatkan gol tungal hasil jaringan Faizal Zainal pada minit ke-81 sebelum melangkah ke suku akhir Piala FA.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Abdullah Sani Abdul Hamid mahu setiap pemain memikul tanggungjawab di setiap posisi dengan berkesan dan tidak bergantung pada nasib untuk mendapatkan kemenangan.

''Sebagai pasukan yang dianggap favourite, kita mesti menunjukkan kebolehan kita dan keputusan perlawanan tidak seharusnya semata-mata bergantung kepada nasib sahaja.

''Berdasarkan keputusan perlawanan yang lepas, Negeri Sembilan seolah-olah menang kerana nasib,'' katanya di Seremban, semalam.

Sementara itu, pengurus pasukan itu, Jamaluddin Ahmad berkata, beliau telah berbincang dengan jurulatih, Irfan Bakti untuk merancang satu strategi bagi memperkemaskan lagi bahagian penggempur bagi mencari gol dalam perlawanan menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Sabtu ini.

Jamaluddin juga mengingatkan setiap pemain supaya meningkatkan lagi persefahaman sesama mereka bagi mewujudkan sebuah pasukan mantap dan disegani oleh pasukan negeri lain.

Katanya, skuad tersebut tidak mengalami masalah untuk mencari pemain gantian untuk diletakkan pada posisi pemain pertahanan.

Ini kerana Khairul Anuar Baharom tidak dapat bermain pada perlawanan menentang Pulau Pinang, Sabtu ini kerana menerima kad merah dalam perlawanan semalam.

''Kita ada ramai pemain gantian berwibawa yang dapat menggantikan tempat Khairul,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RjV0cjii © Utusan Melayu (M) Bhd

Rentak perlahan, bertahan formula kemenangan Kedah

ARKIB : 06/05/1999
RENTAK permainan perlahan dan bertahan yang diamalkan oleh Kedah berjaya memperdaya Telekom Melaka sekali gus meranapkan impian pasukan dari negeri 'Hang Tuah' itu mara ke suku akhir pada perlawanan kedua pusingan kedua bola sepak Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar, kelmarin.

YUSRI SAHAT melaporkan, Telekom Melaka yang ketinggalan 1-2 pada pertemuan pertama di Stadium Kubu, 20 April lalu, memulakan babak dengan agresif, namun sering kali kali terperangkap dan terikut-ikut dengan aksi perlahan kesebelasan Kenari.

Sekalipun rentak hambar yang disajikan oleh Kedah kurang disenangi penyokong, namun itulah taktik yang dimahukan oleh jurulatih, Azman Eusoff untuk mengekang Telekom Melaka yang amat memerlukan kemenangan pada perlawanan kelmarin.

Strategi yang dipertaruhkan oleh jurulatih itu begitu menjadi berikutan kurangnya tekanan yang dilakukan oleh Telekom Melaka ke atas Kedah.

Percaturan Azman yang mengeluarkan Izham Abas dan memasukkan pemain muda, Wirat Nom nyata membuahkan hasil apabila pemain berketurunan Thai itu menyumbat satu gol bagi memberi kemenangan kepada Kedah dengan agregat 3-1.

Azman sempat berpesan kepada pemainnya bahawa kemenangan yang ada ketika mendahului dengan agregat 2-1 perlu dipertahankan dan pemain tidak perlu terlalu ghairah untuk menambahkan jaringan.

Dan, pesanan itu nyata dipegang sebaiknya oleh anak-anak buahnya sebagaimana yang direalisasikan di atas padang.

''Jika Kedah mengamalkan permainan serangan terbuka, pelbagai kemungkinan akan berlaku termasuk peluang Telekom Melaka mendapat gol,'' katanya ketika dihubungi di Alor Setar, semalam.

Pengalaman bermain dengan Perak yang menyaksikan Kedah tersungkur di Ipoh 1-2 merupakan bekal paling berguna ketika menentang Telekom Melaka.

Sikap terlalu yakin untuk mencipta kemenangan dan corak serangan terbuka ketika menentang pasukan Seladang pada saingan Perdana Satu telah membawa padah kepada Kedah.

''Saya tidak mahu lagi sejarah hitam itu berulang lagi dan menghalang usaha kami membawa pulang piala berprestij itu,'' ujarnya.

Azman yang telah menduga kemenangan berpihak kepada pasukannya malam tadi berkata, sikap patuh pemain kepada segala arahannya merupakan kunci utama kejayaannya.

Beliau juga berbangga dengan prestasi para pemain muda termasuk Wirat Nom yang berjaya menghasilkan jaringan dalam persembahan sulungnya kelmarin.

Mengenai pertemuan dengan Sabah yang bakal dihadapi pada suku akhir nanti, katanya, Kedah akan memastikan kemenangan berpihak kepada pasukannya walaupun bermain di tempat lawan pada perlawanan pertama nanti.

''Kemenangan di tempat lawan akan memudahkan laluan Kedah apabila Sabah bertandang ke Alor Setar pada perlawanan kedua,'' tambahnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RjTUgjHf © Utusan Melayu (M) Bhd

Nasib berbeza dua bekas juara Piala FA

ARKIB : 06/05/1999
SATU mara, satu terkandas - gambaran nasib yang berbeza mengiringi juara bertahan, Johor dan naib juara tahun lalu, Sabah selepas meninggalkan pusingan kedua bola sepak Piala FA kelmarin, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Sedang Johor tersungkur akibat jaringan emas pemain Kelantan, Roslisham Mohd. Noor, Sabah pula cuma menggunakan bekalan kelebihan 2-1 dari Kota Kinabalu untuk mara ke suku akhir.

Bersama taktik bertahan selain ketumpulan jentera serangan Perlis kelmarin, Sabah, juara 1995, menghela nafas cukup panjang selepas mengikat 0-0 sekali gus meneruskan cabaran pada kejohanan edisi kesembilan ini.

Namun Johor dan Sabah sebenarnya senasib tentang kemelut jurulatih masing-masing yang melanda pasukan.

Juara bertahan kehilangan penolong jurulatihnya di pertengahan aksi Liga Perdana Dua manakala si naib juara terpaksa memecat Justin Ganai untuk memberi laluan kepada Ken Shellito.

Mujurlah tuah lebih gemar menyebelahi Sabah di balik kedudukan tercorot Perdana Satunya walaupun ujian Piala FA selepas ini bakal bertambah hebat dengan Kedah menantinya pada suku akhir.

Kedah, penghuni tingkat empat Perdana Satu, mengetuai senarai dua bekas juara FA lain - Sarawak dan Kuala Lumpur yang turut layak ke suku akhir.

Sebaliknya Perak, penyandang 1990 dan Selangor, johan 1991, '97 yang terkandas kelmarin gagal menyusuli langkahan bergaya itu.

Kedah, juara '96 bagaimanapun agak bernasib baik kelmarin kerana cuma menghadapi lawan bertaraf kelab, Telekom Melaka untuk menang dengan agregat 3-1 di tempat sendiri.

Sementara Sarawak, pemegang Piala FA 1992, bakal berdepan dengan Kuala Lumpur pada suku akhir yang tidak kurang hebatnya jika diambil kira kemampuan menjulang anugerah ketiga berprestij ini pada 1993 dan '94.

Kelmarin, Kuala Lumpur ternyata beroleh 'angin kedua' yang membantu memintas Melaka biarpun nyaris berputih mata dengan gol pendahuluan lawan di Stadium Kubu dan ketinggalan 1-2 dalam pusingan pertama di Cheras.

Terengganu tampak melangkah penuh yakin berdasarkan tiga pertemuan terbaru dengan Pulau Pinang dan langkah skuad Penyu ini kian panjang hingga turut mencecah suku akhir Piala FA.

Namun lawan yang menyaingi Terengganu ialah Kelantan, sekali gus ini bakal mencipta pertembungan dua negeri tetangga yang ditunggu-tunggu ribuan penyokong masing-masing.

Negeri Sembilan yang menyingkirkan NS Chempaka kelmarin untuk ke suku akhir pula akan berentap dengan Pahang - suatu pertemuan seimbang jika keputusan pusingan kedua dijadikan ukuran.

Masing-masing terkenal sebagai masih unggul di gelanggang sendiri dan pastinya percaturan strategi jurulatih Irfan Bakti dan Fuzzeimi Ibrahim, akan turut memainkan peranan besar dalam mempengaruhi keputusan suku akhir 18 Mei ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RjHSe6nW © Utusan Melayu (M) Bhd