Jumaat, 2 Disember 2016

Nasib berbeza dua bekas juara Piala FA

ARKIB : 06/05/1999
SATU mara, satu terkandas - gambaran nasib yang berbeza mengiringi juara bertahan, Johor dan naib juara tahun lalu, Sabah selepas meninggalkan pusingan kedua bola sepak Piala FA kelmarin, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Sedang Johor tersungkur akibat jaringan emas pemain Kelantan, Roslisham Mohd. Noor, Sabah pula cuma menggunakan bekalan kelebihan 2-1 dari Kota Kinabalu untuk mara ke suku akhir.

Bersama taktik bertahan selain ketumpulan jentera serangan Perlis kelmarin, Sabah, juara 1995, menghela nafas cukup panjang selepas mengikat 0-0 sekali gus meneruskan cabaran pada kejohanan edisi kesembilan ini.

Namun Johor dan Sabah sebenarnya senasib tentang kemelut jurulatih masing-masing yang melanda pasukan.

Juara bertahan kehilangan penolong jurulatihnya di pertengahan aksi Liga Perdana Dua manakala si naib juara terpaksa memecat Justin Ganai untuk memberi laluan kepada Ken Shellito.

Mujurlah tuah lebih gemar menyebelahi Sabah di balik kedudukan tercorot Perdana Satunya walaupun ujian Piala FA selepas ini bakal bertambah hebat dengan Kedah menantinya pada suku akhir.

Kedah, penghuni tingkat empat Perdana Satu, mengetuai senarai dua bekas juara FA lain - Sarawak dan Kuala Lumpur yang turut layak ke suku akhir.

Sebaliknya Perak, penyandang 1990 dan Selangor, johan 1991, '97 yang terkandas kelmarin gagal menyusuli langkahan bergaya itu.

Kedah, juara '96 bagaimanapun agak bernasib baik kelmarin kerana cuma menghadapi lawan bertaraf kelab, Telekom Melaka untuk menang dengan agregat 3-1 di tempat sendiri.

Sementara Sarawak, pemegang Piala FA 1992, bakal berdepan dengan Kuala Lumpur pada suku akhir yang tidak kurang hebatnya jika diambil kira kemampuan menjulang anugerah ketiga berprestij ini pada 1993 dan '94.

Kelmarin, Kuala Lumpur ternyata beroleh 'angin kedua' yang membantu memintas Melaka biarpun nyaris berputih mata dengan gol pendahuluan lawan di Stadium Kubu dan ketinggalan 1-2 dalam pusingan pertama di Cheras.

Terengganu tampak melangkah penuh yakin berdasarkan tiga pertemuan terbaru dengan Pulau Pinang dan langkah skuad Penyu ini kian panjang hingga turut mencecah suku akhir Piala FA.

Namun lawan yang menyaingi Terengganu ialah Kelantan, sekali gus ini bakal mencipta pertembungan dua negeri tetangga yang ditunggu-tunggu ribuan penyokong masing-masing.

Negeri Sembilan yang menyingkirkan NS Chempaka kelmarin untuk ke suku akhir pula akan berentap dengan Pahang - suatu pertemuan seimbang jika keputusan pusingan kedua dijadikan ukuran.

Masing-masing terkenal sebagai masih unggul di gelanggang sendiri dan pastinya percaturan strategi jurulatih Irfan Bakti dan Fuzzeimi Ibrahim, akan turut memainkan peranan besar dalam mempengaruhi keputusan suku akhir 18 Mei ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RjHSe6nW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan