Jumaat, 17 Mac 2017

Suku akhir pertama Piala FA -- JKR Kelantan cerah ke separuh akhir


 

ARKIB : 16/05/2001
Suku akhir pertama Piala FA -- JKR Kelantan cerah ke separuh akhir
PEMAIN Perak, M. Nagaraja (kanan) melayangkan badan ketika cuba merembat bola sambil diperhatikan pertahanan Sabah pada perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala FA di Stadium Penampang, Kota Kinabalu, semalam. Sabah menang 3-0. - Gambar GHAZALI BASRI.

JKR Kelantan mencerahkan peluang ke separuh akhir selepas kemenangan bergaya 2-1 ke atas pasukan pelawat, Negeri Sembilan pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.

Selepas dikejutkan dengan jaringan awal Negeri Sembilan seawal minit keenam menerusi K. Rajan, pasukan tuan rumah pantas menyamakan kedudukan minit ke-23 menerusi tendangan penalti Rosairol Asrol Md. Noor.

Gol kemenangan JKR Kelantan dijaringkan oleh Adnan Mohd. Zin minit ke-53.

Begitupun, satu lagi pasukan kelab, Johor FC ditimpa malang apabila tumpas di gelanggang sendiri 3-2 kepada pasukan pelawat Sarawak di Stadium Pasir Gudang, sekali gus menyukarkan lagi usaha mereka menjelang pertemuan kedua, Selasa depan.

Tuan rumah dikejutkan seawal minit keenam apabila Abdul Halim Jantan yang merembat masuk bola sebelum Johor FC menyamakan kedudukan tujuh minit menerusi Eddy Helmi Abd. Manan.

Sarawak kembali bangkit pada minit ke-32 menerusi Ramles Sari yang menanduk masuk bola selepas sepakan penaltinya ditepis penjaga gol, Zuraimi Hassan. Sepakan penalti diberikan selepas Mohd. Shukri Ismail menjatuhkan Abdul Halim Jantan dalam kotak penalti.

Ramles sekali lagi membuat Johor FC merana di tempat sendiri apabila menyumbat gol ketiga Sarawak melalui sepakan deras dalam kotak penalti pada minit ke-49, sebelum pemain gantian, Mohd. Faisal Asmar merapatkan kedudukan 3-2 pada minit ke-72.

Di Stadium Penampang, Kota Kinabalu, tuan rumah Sabah lega apabila mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas penyandang juara Piala Malaysia, Perak.

Selepas mengikat kedudukan tanpa jaringan di babak pertama, pasukan tuan rumah menggandakan serangan dan memperoleh gol pertama menerusi Rizal Sukiman pada minit ke-48.

Kehebatan penyerang berpengalaman, Suharmin Yusof gagal disekat oleh pertahanan Perak apabila dia menambah dua gol lagi pada minit ke-81 dan 85 untuk melengkapkan kemenangan mudah itu.

Di Stadium Batu Kawan, tuan rumah Pulau Pinang menerima aib besar apabila tewas 4-0 kepada Selangor yang menyempitkan laluan skuad Pulau Mutiara itu apabila bertandang ke Shah Alam untuk perlawanan kedua, 25 Mei ini.

Penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusoff menjaringkan hatrik pada minit ke-12, 22 dan 59 dan Nor Suhaimi Bahaudin menambah derita Pulau Pinang dengan gol keempat minit ke-84.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bb9G1RCv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan