Rabu, 15 Mac 2017

Laluan pasukan pilihan muda



ARKIB : 05/02/2001
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kanan) membuat undian Piala FA, Liga Perdana Satu dan Dua di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akhbar Khan.

KEBANYAKAN pasukan pilihan menerima undian mudah pada pusingan pertama bola sepak Piala FA 2001 yang bermula bulan depan.

Bagaimanapun, jadual pertandingan yang bertembung dengan pusingan kelayakan Piala Dunia 2002, tetap menimbulkan kesukaran buat pasukan yang kehilangan beberapa tonggak utama.

Selangor dan Perak merupakan antara pasukan yang merasai kesan kehilangan pemain yang mewakili skuad kebangsaan untuk dua pusingan kelayakan.

Pusingan pertama kelayakan diadakan diadakan di Hong Kong pada 3-11 Mac, manakala pusingan kedua di Doha, Qatar dari 20-25 Mac.

Sementara Piala FA akan memulakan pusingan pertama pada 13 dan 17 Mac, sementara pusingan kedua 20 dan 24 Mac.

Kecuali Selangor, Johor, Sarawak dan Kelantan, semua pasukan dari Perdana Satu memulakan kempen masing-masing dengan menentang pasukan Perdana Dua.

Penyandang juara, Terengganu bertemu pasukan tangga ketiga Perdana Dua 2000, Kedah, sementara juara Piala Malaysia, Perak dijangka tidak menghadapi masalah apabila berdepan Pulau Pinang Intel.

Johor, yang menduduki tangga ke-10 Perdana Satu musim lalu memperoleh undian sukar seawal pusingan pembukaan apabila terpaksa melepasi cabaran juara liga dan juara Piala FA 1997, Selangor.

Sementara Kelantan, yang baru memulakan saingan sebagai pasukan Perdana Satu selepas menjuarai Perdana Dua tahun lalu, tidak bernasib apabila diundi menentang Sarawak, yang menduduki tangga keempat liga musim lalu.

Pusingan awal Piala FA dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan lapan pasukan teratas Perdana Satu musim lalu mengetuai kumpulan masing-masing.

Sebanyak 32 pasukan yang bertanding harus mengharungi empat peringkat - pusingan pertama, kedua, suku dan separuh akhir untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir yang akan diadakan pada 10 Jun.

Undian Piala FA, liga Perdana Satu dan Dua dilakukan di Kuala Lumpur semalam yang dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta wakil-wakil pasukan.

Sementara itu pengurus pasukan Perak, Jamal Nasir Rasdi berkata, pusingan awal Piala FA tetap mengundang kesukaran buat pasukan yang kehilangan beberapa tonggak utama yang menyarung jersi kebangsaan pada pusingan kelayakan Piala Dunia.

Menurut Jamal, Selangor dan Perak adalah dua pasukan yang paling terjejas kerana majoriti pemain dalam kebangsaan adalah dari kedua-dua negeri terbabit.

``Di atas kertas undian awal memang nampak mudah, tetapi yang menjadi masalah kita tidak dapat menurunkan barisan terbaik,'' katanya, semalam.

``Bagaimanapun saya yakin, sekiranya kita berjaya melayakkan diri ke suku akhir, Perak pasti berpeluang kerana dapat menggunakan semula kesebelasan utama.''

Terengganu muncul juara tahun lalu selepas menundukkan Pulau Pinang menerusi sepakan penalti 4-3, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga masa penuh permainan.

Sementara itu, juara Piala FA, Terengganu diundi sebagai tuan rumah perlawanan pembukaan tirai musim, Piala Sumbangsih menentang Perak pada 31 Mac.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bO5YypXX© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan