ARKIB : 19/03/2001
PASUKAN Liga Perdana Satu, Kuala
Lumpur terpaksa mengharapkan kemenangan penalti 3-1 ke atas pasukan berstatus
kelab, Kedah JKR untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua bola sepak Piala
FA di Stadium Darulaman, semalam.
Kedua-dua pasukan terikat
menerusi agregat 2-2 selepas Kuala Lumpur tewas 2-1 dalam perlawanan peringkat
kedua, pusingan pertama semalam.
Pasukan tuan rumah mengejutkan
Kuala Lumpur menerusi jaringan pembukaan P. Panambalan pada minit ke-34, tetapi
S. Saravanan menyamakan kedudukan pasukan pelawat pada minit ke-51.
Bekas pemain kebangsaan, Farouk
Ismail menyamakan agregat 2-2 hasil jaringan di minit ke-84, sebelum perlawanan
terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang berpihak kepada Kuala Lumpur
3-1.
Dalam perlawanan di Stadium
Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, JKR Kelantan layak ke pusingan kedua menerusi
agregat 15-1, selepas membelasah Kedah Ansell 8-1 semalam.
Che Hishamudin Hassan muncul wira
tuan rumah dengan empat gol pada minit ke-30, 55, 72 dan 82, diikuti tiga gol
menerusi Mohd. Shukri Che Mat minit ke-15, Azman Ismail (41), Zool Ihsan Yunus
(penalti, 48) dan Rosli Rejab (65).
Kedah Ansell memperoleh gol sagu
hati hasil jaringan Norfaizal Mohd. Nordin, sembilan minit sebelum tamat
separuh masa pertama.
Di Stadium Perak, Ipoh, Johor FC
layak ke pusingan kedua menerusi agregat 4-3, meskipun terikat 3-3 dengan Perak
TKN semalam.
Johor FC membuka jaringan seawal
minit kelima menerusi Mohd. Nor Shahris, diikuti Hairy Azly Mahamad pada minit
ke-10 dan Idris Karim, dua minit kemudian.
Dua minit sebelum tamat separuh
masa pertama, tuan rumah merapatkan jurang menerusi Rusidi Mohd. Zain, sebelum
menambah dua gol hasil jaringan Yam Wai Leong (74) dan P.Lechumanan (84).
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bV4Gg2mv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan