Oleh MOHD.
IZUAN ROSELI
DIAZ akan
kembali memperkuatkan jentera serangan Johor DT pada aksi menentang Kedah di
Larkin malam ini selepas direhatkan pada kempen Piala AFC di Myanmar Rabu lalu.
SKUAD Johor
Darul Takzim (Johor DT) akan turun dengan misi untuk memusnahkan Kedah pada
aksi separuh akhir kedua Superbest Power Piala FA 2016 di Stadium Tan Sri Datuk
Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Kedua-dua
pasukan akan sekali lagi turun membuat perhitungan bagi memburu tiket ke final
kejohanan berprestij itu selepas aksi pertama memihak kepada Kedah yang
menyaksikan skuad yang mendapat jolokan Helang Merah itu menang 2-1 di Alor
Setar pada 16 April lalu.
Atas kertas,
aksi separuh akhir kedua malam ini dilihat memberi kelebihan kepada Kedah,
namun ia belum memberi jaminan kepada mereka untuk melangkah bergaya kerana
Johor DT amat sukar untuk rebah setiap kali beraksi di Larkin.
Pengendalinya,
Mario Gomez berkata, biarpun kelebihan kini memihak kepada pasukan Helang
Merah, namun bermain di laman sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Johor
DT nanti.
“Mungkin
mereka mempunyai kelebihan sebelum ini apabila berjaya menewaskan kami dengan
keputusan 2-1, jurang itu tidaklah begitu jauh. Kami masih mempunyai peluang
cerah untuk layak ke pusingan seterusnya.
“Kelebihan
bermain di laman sendiri akan dipergunakan sepenuhnya untuk mencari kemenangan.
Saya positif bahawa Johor DT mampu bangkit dan menampilkan corak permainan
lebih baik pada malam esok (malam ini),” kata Gomez ketika dihubungi di Johor
Bahru semalam.
Mengulas
mengenai percaturannya, Gomez dilihat begitu yakin dengan kemampuan anak-anak
buahnya yang sudah bersedia mengorak langkah untuk meneruskan kemaraan ke
pentas akhir.
“Sebelum
ini, beberapa pemain tonggak seperti Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz
direhatkan pada perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang
skuad dari Myanmar, Ayeyawady United.
“Pemain-pemain
ini direhatkan bagi membolehkan mereka fokus menghadapi saingan separuh akhir
kedua Piala FA, kami akan turun dengan sepenuh kekuatan pada perlawanan itu
nanti,” jelasnya.
Gomez
menambah, kemenangan 2-1 ke atas Ayeyawady United pada Piala AFC Rabu lalu yang
membawa mereka mara ke pusingan kalah mati akan menjadi suntikan semangat buat
barisan pemainnya pada aksi menentang Kedah nanti.
“Saya
janjikan persembahan yang terbaik pada malam esok (malam ini), saya lihat
kemenangan ke atas Ayeyawady United telah membangkitkan semangat anak-anak buah
saya biarpun kebanyakan mereka letih berikutan jadual yang padat,” katanya.Kedah
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz47GX2v3La
Hakcipta terpelihara