Ahad, 3 April 2016

Penantian Perak berakhir

Oleh SAHLIZAH MOHAMED
 
Penyokong Perak kelihatan melindungi anak-anak mereka daripada terkena objek keras yang dibaling oleh individu tidak dikenali dari luar Stadium Majlis Perbandaran Selayang ketika aksi suku akhir kedua Superbest Power Piala FA antara Perak dengan Kuala Lumpur malam kelmarin.

PENANTIAN Perak selama 11 tahun untuk layak ke pe­ringkat separuh akhir Superbest Power Piala FA akhirnya tercapai.

Ia diperoleh menerusi kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Kemenangan tersebut yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan diakhiri dengan insiden buruk angkara sikap segelintir penyokong yang tidak bertanggungjawab.

Penyokong-penyokong Perak dikatakan ‘di­serang’ secara tiba-tiba pada peng­hujung perlawanan apabila secara tiba-tiba mercun dilemparkan ke arah mereka dari luar stadium.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang juga Pengurus Pasukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, ia kemudian di­ikuti dengan lontaran batu dari luar stadium.

“Kami menang malam tadi (kelmarin) ke atas Kuala Lumpur dan layak ke separuh akhir kempen Superbest Power Piala FA 2016 selepas menunggu selama 11 tahun dan saya puas hati dengan pencapaian ini. Ia merupakan hadiah kami kepada para penyokong Perak.

“Pada masa sama, saya kesal kerana sikap seperti ini masih menular dalam kala­ngan peminat bola sepak tempatan yang saya anggap sebagai tiada disiplin diri dan kurang bertamadun,” kata Shahrul Zaman di Ipoh semalam.

Menurutnya lagi, sebaik perlawanan tersebut tamat di Stadium Majlis Perbandaran Sela­yang, para penyokong dan pemain Pe­rak dikepung, manakala mereka yang berjalan ke arah ken­deraan masing-masing ada yang dikejar dan diba­ling dengan objek keras.

“Ada juga dalam kala­ngan penyokong yang tidak dikenali bertindak menunggu di bulatan jalan keluar ke lebuh raya sebelum membaling batu ke arah bas yang membawa para penyokong Perak.

“Ketegangan dan provokasi itu menyebabkan ada penyokong dari Perak yang bertindak balas. Saya tidak me­nuduh mana-mana pihak dan ada teori menyatakan pihak yang mencetuskan provokasi itu bukan dari Kuala Lumpur, tetapi penyokong pa­sukan lain yang berdendam dengan penyokong pasukan Perak.

“Apa yang jelas dan nyata terbukti ada unsur-unsur provokasi dalam insiden ini. Ia bukan hanya berlaku di Stadium Sela­yang, tetapi turut berlaku hampir di semua lokasi perlawanan Liga Super dan Liga Premier.

“Persoalannya adakah ini budaya kita. Saya sudah sampai ke tahap memikirkan mungkin lebih baik kita meminta Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memansuhkan ke­dua-dua liga berkenaan,” jelasnya.

Jelasnya Shahrul lagi, beliau tidak pasti sama ada masih berbaloi atau tidak acara sukan yang bertujuan memupuk semangat kesukanan dan bersatu padu menjadi medan perang.

“Ia bagaikan tiada kesudahannya kerana akhir­nya semua mahu membalas dendam ke atas satu sama lain,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz44kMX0wBh
Hakcipta terpeliharaJohor DT tepati ramalan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan