ARKIB : 15/06/2005
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Pertembungan
dramatik juara tiga kali Piala FA, Selangor dengan MK Land di Stadium Selayang
dekat sini bakal menjadi tumpuan semua peminat bola sepak pada saingan pertama
pusingan kedua Piala FA, bermula malam ini.
Selangor yang gah selaku
pendahulu Kumpulan A masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas TNB dalam
saingan Liga Perdana Ahad lepas, manakala MK Land membuat kejutan dengan
penyerang import Marlon Alex James menjaringkan enam gol ketika menewaskan
Brunei 6-1.
Pertembungan dua penggempur
terbilang Bambang Pamungkas buat skuad Selangor dan Marlon bakal menyajikan
saingan paling menarik ketika rekod pertemuan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Selangor pastinya tidak rela,
MK Land selaku pasukan berstatus kelab bakal memalitkan malu buat kali kedua.
Ketika MK Land bergantung penuh
ke atas Marlon untuk memburu jaringan, Selangor sedikit ada kelebihan dengan
kehadiran Brian Fuentes dan Muhammad Khalid Jamlus bagi membantu Bambang.
Buat MK Land kekalahan tipis
2-3 kepada Selangor pada saingan 15 Mei lalu tidak akan berulang lagi kali ini.
Pastinya, MK Land pula mahu
meleburkan impian Selangor bagi meneruskan perjuangan untuk melangkah ke
perlawanan akhir Piala FA nanti.
Buat juara Piala Malaysia musim
lalu, Perlis yang masih belum mendakap gelaran selaku juara Piala FA sejak mula
diperkenalkan pada 1990, dijangka tidak berdepan halangan bertemu pasukan dari
Piala FAM, Kelantan di gelanggang sendiri.
Kehadiran Philemon Chipeta yang
mencipta hatrik ketika Perlis menewaskan MPPJ 4-0 Sabtu lepas akan menjadi nadi
untuk menyekat Kelantan daripada mengukir kemenangan.
Tidak hanya Chipeta menjadi
ancaman buat Kelantan tetapi Zachariah Simukonda turut menggugat pasukan dari
pantai Timur itu untuk meraih kemenangan pertama.
Sementara itu, Kedah yang
pernah bergelar juara pada 1996 dijangka tidak menghadapi masalah untuk meraih
kemenangan pertama apabila bertandang ke Stadium Petaling Jaya bertemu PKNS.
Kedah yang menjadi pencabar
kepada Selangor dalam Liga Perdana Kumpulan A, pastinya mahu memburu gelaran
juara Piala FA musim ini.
Bekas juara tiga kali, Kuala
Lumpur dengan prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Perdana pula akan
bertandang ke Stadium Sultan Mohd. Ke-IV berdepan dengan TNB.
Selain itu, Terengganu yang
pernah dinobatkan selaku juara pada tahun 2000 akan berdepan dengan Johor di
tempat lawan.
Terengganu yang masih belum
kebah daripada kejutan Ahad lepas tewas 1-2 kepada Jenderata pastinya tidak
akan melepaskan peluang untuk menebus kekalahan tersebut.
Pendatang baru daripada Liga
FAM, Shahzan Muda pula akan menguji kehebatan Sabah menjadi tuan rumah di
Stadium Temerloh.
Manakala Maju Holdings pula
akan melayani kedatangan Public Bank di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4icngdMdb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan