ARKIB : 02/06/2005
Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA - Juara Piala FA
musim lalu, Perak berdepan tugas getir untuk mempertahankan gelaran yang
dimenangi apabila diundi bertemu juara 2002, Pulau Pinang dalam kempen pusingan
kedua bermula 15 dan 22 Jun ini.
Laluan getir juga turut dilalui
oleh juara sebanyak tiga kali, Selangor yang diundi berdepan dengan jiran
setempat dan musuh utama dalam saingan Liga Perdana Kumpulan A, MK Land.
Keempat-empat pertemuan
membabitkan Perak bertemu Pulau Pinang dan Selangor berdepan MK Land adalah
antara aksi Piala FA yang menjadi tumpuan memulakan cabaran pusingan kedua
saingan pertama pada 15 Jun sebelum mengharungi perlawanan kedua pada 22 Jun.
Saingan Piala FA kali ini
menyaksikan 10 pasukan daripada persatuan bola sepak negeri dan enam dari
pasukan berstatus kelab layak ke pusingan kedua.
Selain MK Land, lima pasukan
berstatus kelab yang layak ialah PKNS, TNB, Shahzan Muda, KL Maju Holdings dan Public
Bank.
Peringkat suku akhir timbal
balik pula dijadualkan berlangsung pada 29 Jun dan 13 Julai, peringkat separuh
akhir pula pada 31 Ogos dan 10 September manakala perlawanan akhir pula pada 24
September.
Atas kertas kelebihan jelas
milik Pulau Pinang yang menang dua perlawanan pada saingan Liga Super apabila
menewaskan Perak 1-0 di tempat lawan dan 2-1 di gelanggang sendiri.
Situasi Perak yang kini
menduduki tangga tercorot Liga Super merumuskan betapa prestasi skuad seladang
tidak menentu dan ini sudah pasti menceriakan Pulau Pinang yang mengidam untuk
menempah tempat ke suku akhir.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak
Pulau Pinang (FAP), Datuk Mohd. Junid Mohd. Noor berkata, walaupun rekod
pertemuan kedua-dua pasukan jelas memihak kepada Pulau Pinang tetapi saingan
kalah mati Piala FA sukar untuk diramalkan.
``Saya boleh sifatkan peluang
kedua-dua pasukan adalah 50-50, perlawanan ini boleh memihak kepada pasukan
yang bermain dengan cemerlang,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Setiausaha
Persatuan Bola Sepak Amatur Perak (PAFA) Datuk Ishak Mohammad pula berkata,
Perak akan cuba sedaya upaya untuk menewaskan Pulau Pinang dalam usaha
mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.
``Perak mengharungi persembahan
yang tidak menentu tetapi dua kemenangan ke atas Perlis dan Sabah dalam saingan
Liga Super membuktikan pasukan kita sudah kembali menemui sentuhan.
``Saya harap ini akan
berterusan buat Perak untuk layak ke suku akhir,'' ujarnya.
Pada undian yang dijalankan di
Wisma FAM, Kelana Jaya di sini semalam, laluan penuh berliku diharungi oleh
Selangor selepas perlawanan pertama diundi bertemu Pahang tetapi menang dengan
agregat 5-2 tetapi kali ini berdepan MK Land.
MK Land pernah menewaskan
Selangor 3-2 tetapi Merah Kuning menebus kembali dengan jaringan yang sama pada
saingan Liga Perdana, bakal menjadikan pertembungan kedua-dua pasukan itu
ibarat `buku bertemu ruas'.
Jurulatih Selangor, Dollah
Salleh mengakui pertemuan tersebut dijangka sengit dan sukar untuk diramalkan
kemenangan berpihak sama ada kepada skuad Merah Kuning ataupun MK Land.
``Setakat ini, pertemuan
terikat 1-1 antara kedua-dua pasukan, sama ada Selangor ataupun MK Land
masing-masing ada kelebihan tersendiri,'' ujarnya.
Sementara itu pengurus MK Land,
Michael Palani turut mengakui pertemuan kali ini dianggap paling sengit dan
mendebarkan.
``MK Land akan mengekal corak
permainan yang sama dan semua pemain bercita-cita untuk menewaskan Selangor,''
katanya.
Naib juara musim lalu,
Terengganu turut merintis laluan sukar berdepan dengan Johor.
Dalam pertemuan Liga Perdana
Kumpulan B, pertemuan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Pada perlawanan pusingan
pertama Johor menang 1-0 di Stadium Larkin sebelum tewas dengan jaringan yang
sama di Kuala Terengganu.
Juala Piala Malaysia musim
lalu, Perlis yang mendapat `bye' pada pusingan pertama akan berdepan dengan
Kelantan manakala juara tiga kali, Kuala Lumpur akan bertemu dengan TNB.
Bekas juara pada 1996, Kedah
pula dijangka mendapat tentangan sengit apabila diundi bertemu dengan PKNS.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iZcyyOlY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan