ARKIB : 17/06/2005
Oleh YUSRI SAHAT
KANGAR - Perlis diibaratkan
sudah sebelah kaki untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA selepas mencipta
kemenangan besar 4-1 ke atas Kelantan, kelmarin.
Kemenangan itu memberikan
bekalan selesa buat pendahulu Liga Super itu sebelum bertandang ke Kota Bharu,
Kelantan Rabu ini untuk pertemuan kali kedua.
Bagi Kelantan pula, skuad
Kijang itu memerlukan `sentuhan ajaib' untuk menundukkan penyandang Juara Piala
Malaysia itu dalam pertemuan kali kedua nanti.
Pengurus pasukan Perlis, Adzmi
Saad berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya walaupun wujud sedikit
kealpaan pada separuh masa pertama.
``Pada babak pertama kita
melihat para pemain mengambil sikap mudah selepas mendahului 1-0 sebelum lawan
menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa,'' katanya kepada Utusan Sukan
ketika dihubungi, semalam.
Pada perlawanan kelmarin, gol
Perlis dijaringkan oleh Yusri Che Lah pada minit ke-12 dan 68 diikuti dua lagi
gol daripada Mohd. Lamin al-Hidayah dan Zacharia Simukonda pada minit ke-51 dan
80.
Gol tunggal Kelantan pula
dihasilkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-40.
Adzmi mengingatkan kepada para
pemainnya bahawa kemenangan besar yang dicipta pada malam itu bukan tiket untuk
mengambil sikap sambil lewa apabila berkunjung ke Stadium Sultan Mohamad IV di
Kota Bharu minggu depan.
Ini kerana suasana di Kota
Bharu adalah berbeza apabila ribuan penyokong Kelantan akan memberi sokongan
padu kepada pasukan kesayangan mereka.
``Keputusan di luar dugaan
boleh berlaku jika pemain terlalu selesa dengan kemenangan malam tadi
(kelmarin),'' tegasnya.
Sementara itu, katanya, Perlis
akan kehilangan pemain sayapnya, Mohd. Ivan Yusoff yang terpaksa direhatkan
selama sebulan kerana mengalami kecederaan di lutut.
Bagaimanapun ketiadaan Mohd.
Ivan tidak akan menyebabkan berlakunya kepincangan di bahagian tersebut apabila
pemain menunjukkan keserasian pada pertemuan dengan Kelantan semalam.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ieTSmCq0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan