ARKIB : 23/09/2005
Ads by Kiosked
Selangor mungkin kempunan -
Perak turun habis-habisan
Oleh: SAYED HESHAM IDRIS
TONI Netto (dua dari kanan)
serius membincangkan strategi bersama pemain Perak untuk membenam Selangor pada
sesi latihan di Stadium Perak, semalam.
KUALA LUMPUR - Perak yakin
Selangor tidak mungkin menjulang kedua-dua piala berprestij bola sepak tempatan
musim ini sebaliknya perlu memilih satu daripadanya ada Piala FA atau Piala
Malaysia.
Jika tidak, pengurus pasukan
bola sepak Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata Selangor akan mengalami nasib
malang, ibarat pepatah `yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran'.
Situasi yang dialami Selangor
itu, kata Jamal menguntungkan Perak kerana ia memberi peluang pasukan Kejor Yob
Kejor beraksi tanpa tekanan pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah
Alam, esok.
``Perak dan Selangor melalui
perlawanan akhir esok dalam situasi berbeza. Kita akan bermain habisan-habisan
kerana Piala FA merupakan harapan terakhir kita musim ini.
``Sedangkan Selangor terpaksa
menyimpan tenaga untuk satu lagi perlawanan akhir, Piala Malaysia menentang
Perlis 1 Oktober ini.
``Selangor lebih tertekan
kerana perlu mencari memiliki tenaga luar biasa untuk menjulang kedua-dua piala
dan terpaksa memilih salah satu.
``Saya berpendapat Selangor
lebih memberi tumpuan terhadap Piala Malaysia. Dan kita akan mengambil peluang
dari sudut berkenaan,'' katanya.
Begitupun, kata Jamal, Perak
menyedari bahawa Selangor lebih ghairah untuk mencari kemenangan malam esok
sebagai menyuntik semangat pada perlawanan akhir Piala Malaysia.
``Keghairahan yang terlalu
tinggi kadang kala akan memakan diri. Dalam soal ini saya mengingatkan pasukan
saya supaya usah terlalu ghairah kerana kita pernah kecundang gara-gara terlalu
mengejar kemenangan.
``Perak akan bermain seperti
biasa malam esok. Saya tidak gusar kerana jurulatih Toni Netto telah pun
mendapatkan kesebelasan utama untuk menentang Selangor,'' katanya.
Perak kehilangan penyerang
utama, Frank Seator dan pemain tengah, K. Nantha Kumar yang digantung
perlawanan. Mengenai ketiadaan kedua-dua pemain tersebut, Jamal berkata,
sengatan di bahagian serangan tetap dirasai tanpa Seator.
``Tetapi posisi Nantha Kumar
akan diisi oleh Marian Juhas yang akan bergandingan dengan Ahmad Shahrul
Azhar,'' ujarnya.
Sementara itu, Jamal berharap
pengadil perlawanan esok bertegas dari awal bagi mengelak sebarang kekecohan
dan tidak menunggu sehingga keadaan sudah menjadi tidak terkawal.
Beliau berkata, perlawanan itu
mungkin bersuasana tegang dan khuatir, pengadil akan turut dikuasai emosi
lantas mampu membuat keputusan yang kurang tepat dan meragukan.
Ingatan Jamal itu diluahkan
ekoran pertemuan mereka pada peringkat Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium
Shah Alam, 24 Ogos lalu, menyaksikan banyak insiden kekasaran pemain dan hampir
mencetuskan pergaduhan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j3Cnb4PK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan