ARKIB : 24/07/2005
Selangor juara Liga Perdana
Oleh AMRAN MULUP
PENYERANG Selangor, Bambang
Pamungkas (kanan) dibentes P.Sivanantham dari Negeri Sembilan pada saingan
penentuan juara Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Selangor menang 4-2.
SEREMBAN - Pengalaman menjadi
jarak pemisah buat Selangor dinobatkan selaku juara Piala Liga Perdana musim
2005 selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-2 dalam perlawanan akhir yang diheret
hingga ke masa tambahan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam
tadi
Pemain pertahanan, D. Surendran
dan Bambang Pamungkas muncul hero, masing-masing menjaringkan satu gol bagi
membantu Selangor mendakap gelaran pertama kejuaraan Liga Perdana musim ini.
Selangor yang ketinggalan 0-2
ketika baki 12 minit perlawanan hendak ditamatkan selepas dua gol awal tuan
rumah dijaringkan oleh ketua pasukan, Muhammad Anuar Jusoh (m-15) dan Idris
Karim (m-53) seakan peluang sudah tertutup rapat.
Tetapi segalanya berubah dalam
tempoh 12 minit dengan pengalaman Selangor selain semangat kental bangkit
mengikat kedudukan 2-2 menerusi jaringan Brian Fuentes (m-79) dan K.
Sanbagamaran (m-90).
Terikat dengan kedudukan 2-2
memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan tetapi pengalaman milik Selangor
jelas tidak mampu ditandingi oleh Negeri Sembilan yang rebah menerusi dua gol
pada minit ke-118 dan 119.
Kemenangan tersebut membolehkan
Selangor menerima hadiah wang tunai RM200,000 manakala Negeri Sembilan menerima
RM100,000.
Malam tadi, Selangor bermula
garang apabila seawal minit pertama, Bambang Pamungkas meledakkan sepakan
kencang tetapi penjaga gol tuan rumah, Azizon Abd. Kadir tangkas menolak bola
keluar.
Selepas itu, benteng pertahanan
Merah Kuning tenggelam punca dengan kelincahan Adewale Abdulateef dan Christian
Bekamenga yang sering membolosi kawalan namun kecekapan penjaga gol, Jamsari
Sabian menyelamatkan Selangor.
Peluang yang dicari Negeri
Sembilan untuk memecah kebuntuan jaringan gol menjadi kenyataan pada minit
ke-15.
Gara-gara kesilapan pemain
pertahanan, D. Surendran mengkasari pemain tuan rumah memaksa Ahamad Khalidi
Supian dari Kedah memberikan sepakan percuma.
Muhammad Anuar yang diberi
kepercayaan mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang dengan
sepakan lencong dari luar kotak penalti terlepas daripada tangkapan Jamsari
yang terus menerjah jaring.
Pada minit ke-53 Negeri
Sembilan mengukuhkan kedudukan apabila pemain veteran Idris Karim mudah
menanduk masuk gol kedua hasil daripada sepakan percuma menewaskan Jamsari.
Selangor berjaya merapatkan jurang
pada minit ke-79 menerusi tolakan mudah Brian Fuentes menewaskan Azizon.
Pada minit ke-90, Selangor
berjaya mengikat kedudukan 2-2 apabila K. Sanbagamaran mudah menanduk masuk
daripada sepakan sudut.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ikNhyBLx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan