Ahad, 4 Jun 2017

Red Giants gegar Shah Alam

ARKIB : 25/09/2005
 
Oleh: AMRAN MULUP dan SAYED HISHAM SAYED IDRIS

PEMAIN-pemain Selangor menjulang Piala FA di Stadium Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Sentuhan jaringan pemain import dari Indonesia dan Argentina memastikan Selangor mendakap Piala FA selepas menewaskan penyandang juara, Perak 4-2 pada perlawanan akhir paling hebat di Stadium Shah Alam, semalam.

Dua gol Bambang Pamungkas pada minit kelapan dan 87, Elie Aiboy (43) dan Brian Fuentes (68) itu pasti dikenang oleh penyokong Merah Kuning yang menyaksikan Red Giants menjulang Piala FA kali keempat selepas tahun 1991, 1997 dan 2001.

Kejayaan Selangor ini merupakan yang kedua pada musim ini selepas menjulang Piala Liga Perdana, Julai lalu dan bakal bertambah menjadi treble apabila menentang Perlis dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Sejurus selepas tiupan wisel penamat oleh pengadil, Ibrahim Muhammad, kesemua pemain Selangor termasuk jurulatih, Dollah Salleh dan pengurus pasukan, Datuk Satim Diman serta pemain simpanan berpelukan sesama sendiri sambil menangis kegembiraan ketika meraikannya.

Kejayaan Selangor dalam edisi ke-16 ini turut disambut oleh sorakan bingit puluhan ribu penyokong Merah Kuning selain paluan kompang dan percikan bunga api.

Buat Perak yang turun dengan gelaran yang disandang musim lalu hampa untuk mengekalkan kejuaraan yang dimiliki mengakui akan kekentalan Selangor.

Seawal minit pertama Selangor menguji kehebatan penjaga gol Perak, Mohd. Hamsani Ahmad menerusi sepakan percuma D. Surendran dari jarak 25 meter tepat ke dakapan penjaga gol itu.

Dua minit selepas itu Perak nyaris-nyaris meledakkan jaringan apabila tandukan kencang Keita Mandjou ditepis keluar oleh Jamsari Sabian.

Permainan kedua-dua pasukan bertambah rancak dengan sorakan kira-kira 80,000 penyokong yang memenuhi setiap ruang di Stadium Shah Alam.

Buruan mencari gol jelas memihak kepada Selangor apabila Bambang Pamungkas meledakkan sepakan percuma dari luar kotak penalti Perak yang terus menerjah jaring gagal diselamatkan oleh Hamsani pada minit kelapan.

Gol tersebut disambut dengan pekik sorak kira-kira 60,000 penyokong Merah Kuning menggamamkan seketika penyokong Perak yang dianggarkan kira-kira 20,000.

Pada minit ke-23 Perak berjaya menyamakan kedudukan 1-1 apabila Abdoulaye Traore yang tidak dikawal mudah menolak masuk hantaran Shahrulnizam Mustafa menewaskan Jamsari.

Bagaimanapun, seminit selepas itu gol kedua Selangor jaringan Brian Fuentes dibatalkan oleh Ibrahim kerana berlaku kekasaran di kawasan kotak penalti Perak.

Dua minit sebelum rehat Stadium Shah Alam kembali bergema dengan pekik sorak apabila pemain lincah, Elie Aiboy meletakkan Selangor kembali mendahului 2-1.

Dari jarak 25 meter Aiboy sambil berlari melepaskan rembatan dari jarak 25 meter terus menerjah jaring gagal diselamatkan oleh Mohd. Hamsani.

Selangor mengukuhkan kedudukan apabila Fuentes menjaringkan gol ketiga pada minit ke-68 hasil sepakan lambung tinggi dan Bambang menambah gol dengan tandukan ke penjuru gawang Perak, tiga minit sebelum tamat.

Perak pula merapatkan jurang dengan gol kedua menerusi tandukan pemain gantian, Mohd. Nor Ismail, dua minit sebelum permainan berakhir.

PERAK: Mohd. Hamsani Ahmad, Marian Juhas, Syamsul Mohd. Saad, Shahrulnizam Mustafa, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Chan Wing Hoong, Keita Mandjou, Abdoulaye Troare, Wirat Nom, V. Thirumurugan, K. Yoganathan.

SELANGOR: Jamsari Sabian, Ahmad Tarmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, Elie Aiboy, Brian Fuentes, K. Sanbagamaran, P. Gunalan, Mohd. Amri Yahyah, D. Surendran, Bambang Pamungkas, Muhammad Shukor Adan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j3Ne9hWd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan