ARKIB : 25/09/2005
Oleh: AMRAN MULUP dan SAYED
HISHAM SAYED IDRIS
PEMAIN-pemain Selangor menjulang
Piala FA di Stadium Shah Alam semalam.
SHAH ALAM - Sentuhan jaringan
pemain import dari Indonesia dan Argentina memastikan Selangor mendakap Piala
FA selepas menewaskan penyandang juara, Perak 4-2 pada perlawanan akhir paling
hebat di Stadium Shah Alam, semalam.
Dua gol Bambang Pamungkas pada
minit kelapan dan 87, Elie Aiboy (43) dan Brian Fuentes (68) itu pasti dikenang
oleh penyokong Merah Kuning yang menyaksikan Red Giants menjulang Piala FA kali
keempat selepas tahun 1991, 1997 dan 2001.
Kejayaan Selangor ini merupakan
yang kedua pada musim ini selepas menjulang Piala Liga Perdana, Julai lalu dan
bakal bertambah menjadi treble apabila menentang Perlis dalam perlawanan akhir
Piala Malaysia, Sabtu ini.
Sejurus selepas tiupan wisel
penamat oleh pengadil, Ibrahim Muhammad, kesemua pemain Selangor termasuk
jurulatih, Dollah Salleh dan pengurus pasukan, Datuk Satim Diman serta pemain
simpanan berpelukan sesama sendiri sambil menangis kegembiraan ketika
meraikannya.
Kejayaan Selangor dalam edisi
ke-16 ini turut disambut oleh sorakan bingit puluhan ribu penyokong Merah
Kuning selain paluan kompang dan percikan bunga api.
Buat Perak yang turun dengan
gelaran yang disandang musim lalu hampa untuk mengekalkan kejuaraan yang
dimiliki mengakui akan kekentalan Selangor.
Seawal minit pertama Selangor
menguji kehebatan penjaga gol Perak, Mohd. Hamsani Ahmad menerusi sepakan
percuma D. Surendran dari jarak 25 meter tepat ke dakapan penjaga gol itu.
Dua minit selepas itu Perak
nyaris-nyaris meledakkan jaringan apabila tandukan kencang Keita Mandjou
ditepis keluar oleh Jamsari Sabian.
Permainan kedua-dua pasukan
bertambah rancak dengan sorakan kira-kira 80,000 penyokong yang memenuhi setiap
ruang di Stadium Shah Alam.
Buruan mencari gol jelas
memihak kepada Selangor apabila Bambang Pamungkas meledakkan sepakan percuma
dari luar kotak penalti Perak yang terus menerjah jaring gagal diselamatkan
oleh Hamsani pada minit kelapan.
Gol tersebut disambut dengan
pekik sorak kira-kira 60,000 penyokong Merah Kuning menggamamkan seketika
penyokong Perak yang dianggarkan kira-kira 20,000.
Pada minit ke-23 Perak berjaya
menyamakan kedudukan 1-1 apabila Abdoulaye Traore yang tidak dikawal mudah
menolak masuk hantaran Shahrulnizam Mustafa menewaskan Jamsari.
Bagaimanapun, seminit selepas
itu gol kedua Selangor jaringan Brian Fuentes dibatalkan oleh Ibrahim kerana
berlaku kekasaran di kawasan kotak penalti Perak.
Dua minit sebelum rehat Stadium
Shah Alam kembali bergema dengan pekik sorak apabila pemain lincah, Elie Aiboy
meletakkan Selangor kembali mendahului 2-1.
Dari jarak 25 meter Aiboy
sambil berlari melepaskan rembatan dari jarak 25 meter terus menerjah jaring
gagal diselamatkan oleh Mohd. Hamsani.
Selangor mengukuhkan kedudukan
apabila Fuentes menjaringkan gol ketiga pada minit ke-68 hasil sepakan lambung
tinggi dan Bambang menambah gol dengan tandukan ke penjuru gawang Perak, tiga
minit sebelum tamat.
Perak pula merapatkan jurang
dengan gol kedua menerusi tandukan pemain gantian, Mohd. Nor Ismail, dua minit
sebelum permainan berakhir.
PERAK: Mohd. Hamsani Ahmad,
Marian Juhas, Syamsul Mohd. Saad, Shahrulnizam Mustafa, Ahmad Shahrul Azhar
Sofian, Chan Wing Hoong, Keita Mandjou, Abdoulaye Troare, Wirat Nom, V.
Thirumurugan, K. Yoganathan.
SELANGOR: Jamsari Sabian, Ahmad
Tarmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, Elie Aiboy, Brian Fuentes, K. Sanbagamaran,
P. Gunalan, Mohd. Amri Yahyah, D. Surendran, Bambang Pamungkas, Muhammad Shukor
Adan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j3Ne9hWd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan