Ahad, 4 Jun 2017

Perak sanggup berputih tulang



ARKIB : 24/09/2005

PETALING JAYA Ñ Perak menjanjikan persembahan paling mantap dan tidak akan membiarkan Selangor merangkul Piala FA pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam ini.

Laungan keyakinan itu dilontarkan oleh jurulatih Toni Netto yang menyifatkan ketiadaan dua tonggak utama, ketua pasukan, K. Nanthakumar dan penyerang Frank Seator tidak sama sekali menjejaskan rentak dan corak Perak untuk meleburkan impian Selangor.

``Saya menjadi jurulatih Perak sejak tahun 2002 dengan silih berganti skuad saya tidak ketinggalan mengukir kejayaan.

``Tahun lalu Perak menang Piala FA dan tahun ini kita mara lagi dengan pengalaman lalu dan tidak akan menghampakan impian untuk menewaskan Selangor,'' ujar Netto dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Wajah Netto jelas tidak membayangkan keresahan walaupun menyedari Selangor jelas memiliki segala kelebihan apa lagi bermain di gelanggang sendiri.

Buat jurulatih berasal dari Brazil itu, kelebihan milik Selangor yang bermain di gelanggang sendiri langsung tidak mengundang rasa gentar.

``Kami datang untuk menang, mana ada jurulatih layak ke akhir tidak mahu menang, saya cukup pasti Perak boleh melakukannya,'' tegasnya.

Beliau mengakui Selangor memiliki kesebelasan utama paling mantap tetapi Perak tidak kurang hebatnya untuk menyaingi setiap pergerakan pemain Merah Kuning.

Netto menambah, barisan pemain skuadnya tampak tambah bersemangat dan tidak sabar untuk berdepan dengan Selangor.

Netto menambah, skuad Perak sesekali tidak gentar beraksi di tempat lawan malah akan berjuang habis-habisan untuk menjadi juara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j3KbKwk4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan