Jumaat, 23 Jun 2017

Peluang Selangor, Perak tebus maruah



ARKIB : 29/03/2006
KUALA LUMPUR - Tiga pasukan, Sarawak, Terengganu dan Negeri Sembilan Naza hampir memastikan tempat ke suku akhir, apabila memulakan perlawanan kedua pusingan kedua Piala FA malam ini.

Bermain di tempat sendiri menjadi kelebihan buat ketiga-tiga pasukan itu untuk mempertahankan kelebihan jaringan gol yang diperoleh pada perlawanan pertama pertengahan bulan lalu.

Terengganu menewaskan MPPJ 3-0 manakala Negeri Sembilan Naza pula menang dengan jaringan yang sama ke atas Telekom pada perlawanan pertama.

Berbekalkan tiga jaringan peluang kedua-dua pasukan itu tampak cerah melangkah mudah ke suku akhir apa lagi bermain di tempat sendiri.

Begitu juga dengan Sarawak yang menewaskan PKNS 3-1, bekalan dua gol menanti kunjungan pelawat malam ini masih dianggap selesa mengikut jejak langkah Terengganu dan Negeri Sembilan Naza.

Penyandang juara, Selangor dan naib juara, Perak yang masing-masing tersentak dengan kekalahan tipis 1-0 kepada Pahang serta Kelantan, peluang untuk melangkah ke suku akhir masih belum tertutup.

Selangor dan Perak pastinya mengharapkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri mampu merubah keputusan pada perlawanan pertama.

Buat Selangor yang kini kembali dengan rentak kemenangan selepas menewaskan Perlis 1-0 dalam saingan Liga Super Sabtu lalu, masih berpeluang menyekat Pahang daripada melangkah ke suku akhir.

Kembalinya Bambang Pamungkas selaku penjaring gol pastinya menjadi suntikan semangat buat Selangor untuk menewaskan Pahang.

Namun buat Perak yang tewas 5-1 dibelasah oleh Negeri Sembilan Naza dalam Liga Super Sabtu lalu, keupayaan mereka menjadi tanda tanya untuk memadamkan kelebihan satu jaringan milik Kelantan.

Tempoh 90 minit adalah masa yang perlu digunakan sepenuhnya oleh anak didik Steve Darby untuk menyekat Kelantan daripada melangkah ke suku akhir.

Perlis bekas naib juara 2003 turut berdepan tugas getir selepas mereka hanya mampu mencatat keputusan seri 0-0 dengan ATM pada saingan pertama di gelanggang sendiri.

Bertandang di tempat lawan malam ini adalah peluang terbaik buat Perlis untuk menggunakan semua pengalaman yang ada bagi memastikan langkah ke suku akhir tidak disekat oleh pasukan kerdil seperti ATM.

Johor perlu menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri menanti kunjungan skuad Singapura Bawah 23.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4kpr4ASr5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan