Khamis, 1 Jun 2017

Selangor juara Liga Perdana



 
ARKIB : 24/07/2005
Selangor juara Liga Perdana

Oleh AMRAN MULUP
PENYERANG Selangor, Bambang Pamungkas (kanan) dibentes P.Sivanantham dari Negeri Sembilan pada saingan penentuan juara Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. Selangor menang 4-2.


SEREMBAN - Pengalaman menjadi jarak pemisah buat Selangor dinobatkan selaku juara Piala Liga Perdana musim 2005 selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-2 dalam perlawanan akhir yang diheret hingga ke masa tambahan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam tadi

Pemain pertahanan, D. Surendran dan Bambang Pamungkas muncul hero, masing-masing menjaringkan satu gol bagi membantu Selangor mendakap gelaran pertama kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Selangor yang ketinggalan 0-2 ketika baki 12 minit perlawanan hendak ditamatkan selepas dua gol awal tuan rumah dijaringkan oleh ketua pasukan, Muhammad Anuar Jusoh (m-15) dan Idris Karim (m-53) seakan peluang sudah tertutup rapat.

Tetapi segalanya berubah dalam tempoh 12 minit dengan pengalaman Selangor selain semangat kental bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi jaringan Brian Fuentes (m-79) dan K. Sanbagamaran (m-90).

Terikat dengan kedudukan 2-2 memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan tetapi pengalaman milik Selangor jelas tidak mampu ditandingi oleh Negeri Sembilan yang rebah menerusi dua gol pada minit ke-118 dan 119.

Kemenangan tersebut membolehkan Selangor menerima hadiah wang tunai RM200,000 manakala Negeri Sembilan menerima RM100,000.

Malam tadi, Selangor bermula garang apabila seawal minit pertama, Bambang Pamungkas meledakkan sepakan kencang tetapi penjaga gol tuan rumah, Azizon Abd. Kadir tangkas menolak bola keluar.

Selepas itu, benteng pertahanan Merah Kuning tenggelam punca dengan kelincahan Adewale Abdulateef dan Christian Bekamenga yang sering membolosi kawalan namun kecekapan penjaga gol, Jamsari Sabian menyelamatkan Selangor.

Peluang yang dicari Negeri Sembilan untuk memecah kebuntuan jaringan gol menjadi kenyataan pada minit ke-15.

Gara-gara kesilapan pemain pertahanan, D. Surendran mengkasari pemain tuan rumah memaksa Ahamad Khalidi Supian dari Kedah memberikan sepakan percuma.

Muhammad Anuar yang diberi kepercayaan mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang dengan sepakan lencong dari luar kotak penalti terlepas daripada tangkapan Jamsari yang terus menerjah jaring.

Pada minit ke-53 Negeri Sembilan mengukuhkan kedudukan apabila pemain veteran Idris Karim mudah menanduk masuk gol kedua hasil daripada sepakan percuma menewaskan Jamsari.

Selangor berjaya merapatkan jurang pada minit ke-79 menerusi tolakan mudah Brian Fuentes menewaskan Azizon.

Pada minit ke-90, Selangor berjaya mengikat kedudukan 2-2 apabila K. Sanbagamaran mudah menanduk masuk daripada sepakan sudut.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ikNhyBLx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan