Ahad, 4 Jun 2017

Selangor mungkin kempunan - Perak turun habis-habisan



 
ARKIB : 23/09/2005
Ads by Kiosked
Selangor mungkin kempunan - Perak turun habis-habisan

Oleh: SAYED HESHAM IDRIS
TONI Netto (dua dari kanan) serius membincangkan strategi bersama pemain Perak untuk membenam Selangor pada sesi latihan di Stadium Perak, semalam.

KUALA LUMPUR - Perak yakin Selangor tidak mungkin menjulang kedua-dua piala berprestij bola sepak tempatan musim ini sebaliknya perlu memilih satu daripadanya ada Piala FA atau Piala Malaysia.

Jika tidak, pengurus pasukan bola sepak Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata Selangor akan mengalami nasib malang, ibarat pepatah `yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran'.

Situasi yang dialami Selangor itu, kata Jamal menguntungkan Perak kerana ia memberi peluang pasukan Kejor Yob Kejor beraksi tanpa tekanan pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam, esok.

``Perak dan Selangor melalui perlawanan akhir esok dalam situasi berbeza. Kita akan bermain habisan-habisan kerana Piala FA merupakan harapan terakhir kita musim ini.

``Sedangkan Selangor terpaksa menyimpan tenaga untuk satu lagi perlawanan akhir, Piala Malaysia menentang Perlis 1 Oktober ini.

``Selangor lebih tertekan kerana perlu mencari memiliki tenaga luar biasa untuk menjulang kedua-dua piala dan terpaksa memilih salah satu.

``Saya berpendapat Selangor lebih memberi tumpuan terhadap Piala Malaysia. Dan kita akan mengambil peluang dari sudut berkenaan,'' katanya.

Begitupun, kata Jamal, Perak menyedari bahawa Selangor lebih ghairah untuk mencari kemenangan malam esok sebagai menyuntik semangat pada perlawanan akhir Piala Malaysia.

``Keghairahan yang terlalu tinggi kadang kala akan memakan diri. Dalam soal ini saya mengingatkan pasukan saya supaya usah terlalu ghairah kerana kita pernah kecundang gara-gara terlalu mengejar kemenangan.

``Perak akan bermain seperti biasa malam esok. Saya tidak gusar kerana jurulatih Toni Netto telah pun mendapatkan kesebelasan utama untuk menentang Selangor,'' katanya.

Perak kehilangan penyerang utama, Frank Seator dan pemain tengah, K. Nantha Kumar yang digantung perlawanan. Mengenai ketiadaan kedua-dua pemain tersebut, Jamal berkata, sengatan di bahagian serangan tetap dirasai tanpa Seator.

``Tetapi posisi Nantha Kumar akan diisi oleh Marian Juhas yang akan bergandingan dengan Ahmad Shahrul Azhar,'' ujarnya.

Sementara itu, Jamal berharap pengadil perlawanan esok bertegas dari awal bagi mengelak sebarang kekecohan dan tidak menunggu sehingga keadaan sudah menjadi tidak terkawal.

Beliau berkata, perlawanan itu mungkin bersuasana tegang dan khuatir, pengadil akan turut dikuasai emosi lantas mampu membuat keputusan yang kurang tepat dan meragukan.

Ingatan Jamal itu diluahkan ekoran pertemuan mereka pada peringkat Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 24 Ogos lalu, menyaksikan banyak insiden kekasaran pemain dan hampir mencetuskan pergaduhan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j3Cnb4PK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan