ARKIB : 16/05/2001
Suku akhir pertama Piala FA --
JKR Kelantan cerah ke separuh akhir
PEMAIN Perak, M. Nagaraja
(kanan) melayangkan badan ketika cuba merembat bola sambil diperhatikan
pertahanan Sabah pada perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala FA di
Stadium Penampang, Kota Kinabalu, semalam. Sabah menang 3-0. - Gambar GHAZALI
BASRI.
JKR Kelantan mencerahkan
peluang ke separuh akhir selepas kemenangan bergaya 2-1 ke atas pasukan
pelawat, Negeri Sembilan pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium
Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.
Selepas dikejutkan dengan
jaringan awal Negeri Sembilan seawal minit keenam menerusi K. Rajan, pasukan
tuan rumah pantas menyamakan kedudukan minit ke-23 menerusi tendangan penalti
Rosairol Asrol Md. Noor.
Gol kemenangan JKR Kelantan
dijaringkan oleh Adnan Mohd. Zin minit ke-53.
Begitupun, satu lagi pasukan
kelab, Johor FC ditimpa malang apabila tumpas di gelanggang sendiri 3-2 kepada
pasukan pelawat Sarawak di Stadium Pasir Gudang, sekali gus menyukarkan lagi
usaha mereka menjelang pertemuan kedua, Selasa depan.
Tuan rumah dikejutkan seawal
minit keenam apabila Abdul Halim Jantan yang merembat masuk bola sebelum Johor
FC menyamakan kedudukan tujuh minit menerusi Eddy Helmi Abd. Manan.
Sarawak kembali bangkit pada
minit ke-32 menerusi Ramles Sari yang menanduk masuk bola selepas sepakan
penaltinya ditepis penjaga gol, Zuraimi Hassan. Sepakan penalti diberikan
selepas Mohd. Shukri Ismail menjatuhkan Abdul Halim Jantan dalam kotak penalti.
Ramles sekali lagi membuat
Johor FC merana di tempat sendiri apabila menyumbat gol ketiga Sarawak melalui
sepakan deras dalam kotak penalti pada minit ke-49, sebelum pemain gantian,
Mohd. Faisal Asmar merapatkan kedudukan 3-2 pada minit ke-72.
Di Stadium Penampang, Kota
Kinabalu, tuan rumah Sabah lega apabila mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas
penyandang juara Piala Malaysia, Perak.
Selepas mengikat kedudukan tanpa
jaringan di babak pertama, pasukan tuan rumah menggandakan serangan dan
memperoleh gol pertama menerusi Rizal Sukiman pada minit ke-48.
Kehebatan penyerang
berpengalaman, Suharmin Yusof gagal disekat oleh pertahanan Perak apabila dia
menambah dua gol lagi pada minit ke-81 dan 85 untuk melengkapkan kemenangan
mudah itu.
Di Stadium Batu Kawan, tuan
rumah Pulau Pinang menerima aib besar apabila tewas 4-0 kepada Selangor yang
menyempitkan laluan skuad Pulau Mutiara itu apabila bertandang ke Shah Alam
untuk perlawanan kedua, 25 Mei ini.
Penyerang kebangsaan, Mohd.
Nizaruddin Yusoff menjaringkan hatrik pada minit ke-12, 22 dan 59 dan Nor
Suhaimi Bahaudin menambah derita Pulau Pinang dengan gol keempat minit ke-84.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bb9G1RCv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan