ARKIB : 21/03/2001
NAIB juara tahun lalu, Pulau
Pinang meraikan kemenangan besar 5-0 ke atas Telekom Melaka pada perlawanan
pertama pusingan kedua bola sepak Piala FA di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau
Pinang semalam.
Pasukan tuan rumah mendahului
babak pertama 1-0 menerusi jaringan R. Suresh Kumar pada minit ke-44, sebelum
menggandakan asakan pada babak seterusnya.
Pemain gantian, Zailani Jaafar
menjadikan kedudukan 2-0 di minit ke-64, diikuti gol ketiga jaringan Suresh,
minit ke-69.
Gol keempat Pulau Pinang disumbat
masuk oleh Mohd. Fareed Shah Hassan pada minit ke-76, sebelum Moey Kok Hong
memastikan kemenangan di minit ke-80 ketika tuan rumah menewaskan penjaga gol
Telekom Melaka, Amirul Zain Ismail buat kali kelima.
Sementara itu, Sarawak
menggunakan pengalaman beraksi dalam liga Perdana Satu untuk menewaskan pasukan
bertaraf amatur, SKMK Kelantan 3-2 di Stadium Sultan Mohd Ke-IV.
Pasukan Bujang Senang itu
memperoleh gol pertama melalui jaringan Halim Jantan pada minit ke-15 akibat
kesilapan pertahanan SKMK Kelantan yang gagal menampan kemas bola di luar
kawasan penalti.
Bagitupun, SKMK Kelantan bangkit
menyamakan kedudukan pada minit ke-25 menerusi Mat Anuar Semail.
Sarawak kembali mendahului pada
minit ke 35, apabila Halim Jantan menyumbat masuk bola menerusi sepakan lambung
setelah menyedari penjaga gol SKMK Kelantan, Nazeran Zakaria terkeluar dari
posisinya.
SKMK Kelantan bagaimanapun dapat
menyamakan semula kedudukan pada minit ke-63 hasil tendangan cantik Mohamad
Ibrahim dari sebelah kanan pintu gol Sarawak.
Ketika sebahagian penonton
dilihat mula keluar dari stadium, Ramos Sari berjaya menjaringkan gol
kemenangan pada minit ke-89 untuk membolehkan Sarawak mengatasi SKMK Kelantan
3-2.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4bVG1RuyU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan