ARKIB : 17/05/2003
Oleh Zainu'l Azhar Ash'ari
SEJARAH telah tercipta bagi dua
pasukan senegara, Juventus dan AC Milan yang beraksi dalam Serie A buat pertama
kali berentap dalam perlawanan akhir bola sepak Liga Juara-Juara Eropah.
Apakah suasana hampir sama akan
berlaku di negara ini apabila saingan akhir Piala FA 2003 mungkin mempertemukan
dua pasukan Liga Perdana Satu dari satu kepulauan, Borneo?
Bagaimanapun, kesukaran lebih
dihadapi Sarawak yang tewas 4-1 kepada Perlis dalam separuh akhir pertama di
Stadium Utama, Kangar.
Walaupun beraksi di gelanggang
sendiri, Stadium Sarawak, hari ini, ketinggalan tiga jaringan bukannya tugas
mudah bagi skuad Bumi Kenyalang itu.
Tambahan pula, Perlis juga mahu
mencipta sejarahnya untuk beraksi buat pertama kali dalam perlawanan akhir
Piala FA bagi merealisasikan impian untuk bergelar juara. Faktor ini bakal
menjadikan separuh akhir kedua Piala FA 2003 menarik dengan aksi hebat daripada
Sarawak dan Perlis.
Bagi Perlis, jurulatihnya Norizan
Bakar mengidamkan kejayaan pertama pasukan Perlis yang baru dibimbingnya pada
musim ini.
Dengan bantuan pemain-pemain
kebangsaan seperti Mohd. Khaironnisam Shahabuddin dan Tengku Hazman Raja
Hassan, Perlis, Perlis nyata kini perlu dihormati terutama Sarawak.
Begitu juga dengan Negeri
Sembilan yang ingin memburu kejuaraan Piala FA buat pertama kali tetapi masih
perlu menyelesaikan perlawanan separuh akhir kedua menentang Sabah di Stadium
Likas hari ini.
Mendahului satu jaringan selepas
menewaskan Sabah 1-0 dengan menumpang tuah Stadium Hang Tuah, Melaka, sebagai
gelanggang sendiri, bukan kelebihan besar buat Negeri Sembilan.
Kemenangan tipis dalam separuh
akhir pertama itu lebih memberi tekanan kepada Negeri Sembilan untuk menghadapi
Sabah yang pasti memberikan saingan sengit.
Sabah bukannya saingan sengit,
status naib juara Piala Malaysia 2002 pasti membuka mata banyak pihak terhadap
keupayaan skuad badak itu.
Barisan pemain berpengalaman
seperti Shahril Arsat dan K. Sanbagamaran sudah tentu menjadi senjata Sabah
untuk membantu barisan serangan yang menampilkan penyerang lincah Zainizam Marjan
untuk mengambil kesempatan di sebalik ketiadaan tonggak pertahanan Khairul
Anuar Baharom kerana mengalami kecederaan.
Menyedari hakikat itu, Negeri
Sembilan awal-awal lagi telah memberi amaran bahawa skuad badak itu tidak
gentar menghadapi Sabah tanpa Khairul kerana pemain-pemain lain sudah bersedia
untuk menggempur dan bertahan.
Kesimpulan itu bakal menjanjikan
aksi cukup menarik daripada dua perlawanan separuh akhir kedua, jika tidak
mencatat sejarah sebagaimana Juventus dan AC Milan yang jelas mempunyai mutu
permainan jauh lebih baik, ibarat ``langit dengan bumi.''
Namun, penyokong bola sepak tanah
air tetap berpijak di bumi nyata bahawa Piala FA 2003 tetap menarik dan
menghiburkan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cv6yjGJM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan