ARKIB : 09/05/1998
DENDAM Tentera disingkir
Chempaka Negeri Sembilan pada Piala FA, Selasa lalu gagal ditebus apabila hanya
mampu seri 1-1 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Bola
Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Ini merupakan pertarungan kali
ketiga antara kedua-dua pasukan tetapi Chempaka lebih bergaya sesudah menang
dalam kedua-dua perlawanan pusingan pertama Piala FA yang menyaksikan mereka
mara ke pusingan kedua menerusi agregat 4- 2.
Penyerang Chempaka, Yusafizan
Johar sekali lagi mengecewakan Tentera untuk gol pembukaan yang terhasil seawal
minit pertama permainan babak pertama sebelum gol penyamaan Tentera hadir
menerusi jaringan Mohd. Zahid Hashim pada minit ke-85.
Biarpun menguasai hampir 80
peratus permainan, Tentera terus gagal menggugat benteng Chempaka yang jelas
kebal dengan kombinasi bintang importnya, Fatawu Ibrahim bersama Mohd. Khaidir
Mohd. Dom dan A. Ravichandran.
Tentera yang kali terakhir
membelasah Polis 6-1 dalam kempen liga ini, tersentak apabila gawang mereka
bergegar sebaik sepak mula dibuat Chempaka.
Pertahanan yang leka
menyaksikan Yusafizan yang langsung tidak dikawal, mudah menolak masuk hasil
sepakan sudut Mohd. Rizal Harun selepas ditanduk Ma Roshan Perera.
Ketiadaan penyerang yang
berwibawa jelas menjadi masalah utama Tentera untuk memperoleh gol biarpun
anak-anak buah Jacob Joseph itu bekerja keras mencari gol penyamaan.
Begitupun, Tentera mampu
menyamakan kedudukan jika gol pada minit ke-34 dikira selepas berlaku
pergelutan di depan gawang Chempaka.
V. Arumugam cuba mengeluarkan
bola tetapi terterjah ke gawang sendiri namun dia bernasib baik apabila
pengadil tidak memberi gol kerana bola terkena tangan pemain Tentera terlebih
dahulu.
Babak kedua, Tentera terus
meningkatkan asakan tetapi mereka sekali lagi dihampakan oleh pengadil yang
tidak memberikan gol jaringan Mohd. Zahid Hashim pada minit ke-61 kerana bola
terkena tangan rakannya.
Dalam pada Tentera asyik
menyerang, Chempaka yang sekali sekala melancarkan serangan kilat, hampir
menambah gol pada minit ke-70 tetapi percubaan penyerang import dari India,
Perera gagal menewaskan benteng terakhir Tentera, Aris Fadillah Aziz.
Tiga minit sebelum itu,
Yusarman Yusof yang menggantikan Yusafizan, turut gagal menendang ke gawang
yang menyaksikan bola terkena tiang gol sebelum dikeluarkan oleh pertahanan
Tentera.
Namun, Zahid akhirnya memecah
kebuntuan apabila menolak masuk hantaran Jeffri Yusof di depan gawang untuk gol
penyamaan.
Sementara itu, Kelantan
menewaskan Melaka 2-1 dalam perlawanan yang sama di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV
malam tadi.
Kehebatan Hashim Mustapha
menjadi inspirasi kemenangan Kelantan apabila dia menyumbangkan kedua-dua gol
pada minit ke-38 dan minit ke-55.
Melaka sekadar merapatkan
jurang dengan gol tunggal menerusi jaringan Ridzuan Abu Shah pada minit ke-65.
Sementara itu perlawanan antara
Johor FC dan Johor di Stadium Larkin akan berlangsung hari ini.
Oleh: JOHARI SYAWAL
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JNKTX7Ds
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan