Sabtu, 10 September 2016

Selangor sekat Sarawak

ARKIB : 10/06/1998
Selangor sekat Sarawak
JUARA musim lalu, Selangor melangkah ke perlawanan suku akhir Piala FA apabila berjaya mengikat Sarawak dengan keputusan 1-1 di Stadium Sarawak, Kuching malam tadi.

Keputusan seri 1-1 membolehkan Selangor layak ke suku akhir menerusi agregat 3-2 selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 dalam perlawanan peringkat pertama di Stadium Shah Alam.

Jaringan Azman Adnan pada minit ke-80, seminit selepas pemain Sarawak yang berharga RM9.95, Bobby Chua menyumbat gol, sudah cukup untuk meleburkan impian tuan rumah untuk mara.

Perlawanan dimulakan dengan pertembungan antara Shamsurin Abd Rahman dengan penjaga gol Selangor, Abd Hadi Tahir sehingga menyaksikan permainan terhenti selama lima minit dan penjaga gol itu diusung keluar digantikan dengan Azlisham Ibrahim seawal minit pertama.

Pasukan pelawat membuka tirai serangan menerusi gerakan cantik enam minit kemudian apabila tendangan Asmawi Bakiri sedikit melampaui bucu kiri pintu gol Sarawak hasil daripada sepakan percuma di luar kotak penalti.

Selangor sekali lagi hampir berjaya melenyapkan sorakan 7,000 penyokong Bujang Senang menerusi tendangan Azman Adnan pada minit ke-15 hasil larian solonya selepas mendapat umpanan dari tengah padang.

Bagaimanapun penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid yang bersedia dengan kedatangan Azman itu sempat menepis bola yang menuju ke arahnya.

Sarawak yang cuba menyamai agregat mula melakukan gerakan tetapi penyudah yang lemah menyebabkan mereka berputih mata dengan menyaksikan percubaan melepasi palang gol pada minit ke-27 dan 41.

Permainan yang disambung semula menyaksikan Sarawak ghairah mencari gol namun pasukan tuan rumah itu hampir dikejutkan dengan tendangan kencang Azman yang mengenai badan penjaga gol setelah menerima hantaran daripada Shahril.

Gol yang dicari-cari oleh Sarawak kunjung tiba pada minit ke-79 hasil tandukan Billy Chua setelah menerima hantara Ramles Sari.

Bagaimanapun kegembiraan penyokong tuan rumah hanya bertahan tidak sampai seminit apabila tendangan deras Azman Adnan memukau pertahanan Sarawak untuk menyamakan kedudukan.

Sementara itu, Perak tidak perlu bekerja keras untuk melayakkan diri ke suku akhir apabila menang mudah 3-0 kepada NS Cempaka di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Dengan beraksi di hadapan 200 penonton, pasukan pelawat layak dengan agregat 6-1 selepas datang dengan bekalan 3-1 sebelum ini.

Skuad bimbingan Khaidir Buyong sememangnya mempamerkan aksi cemerlang selepas kecewa dalam beberapa perlawanan dalam Perdana Satu.

Gol kemenangan Perak dijaringkan oleh Noel Arthur Kipre minit ke-9,57 dan M. Nagarajah (85).

Kemenangan tersebut memberi peluang kepada Perak untuk menaikkan kembali reputasi yang agak kurang memberangsangkan buat masa ini.

Di Stadium Kubu, Melaka melakukan kejutan untuk layak ke suku akhir selepas membelasah Negeri Sembilan 4-1 dalam perlawanan Piala FA pusingan kedua, malam tadi.

Kemenangan mengejutkan diperoleh oleh Melaka membolehkan mereka layak dengan agregat 5-2 selepas mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan peringkat pertama.

Gol-gol Melaka telah dijaringkan oleh Mohd. Faizal Mat Isa (m-4), Moaur Nonces (m-18 dan m-25) dan Azni Ariffin (m-90) manakala gol saguhati Negeri Sembilan dijaringkan oleh Affendi Abdul Malik (m-40).

Sementara itu dalam perlawanan yang sama di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang kembali bangkit tidak menghadapi masalah untuk menempah tempat ke suku akhir Piala FA.

Skuad warga kota tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan cabaran Polis apabila mencatat kemenangan selesa 3-0.

Ini membolehkan Kuala Lumpur mara ke suku akhir menerusi agregat 4-0 selepas dalam perlawanan pertama mereka mencatat kemenangan tipis 1-0.

Gol-gol kemenangan Kuala Lumpur menerusi Meor Nor Ismail (m-15), M.Chandran (m-54) dan Meor Nor Shamsul (m-80).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JsK0sFvu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan