ARKIB : 05/08/1998
SABAH dan Johor akan menentukan
juara bola sepak Piala FA pada 15 Ogos ini selepas masing-masing mencatat
kemenangan pada perlawanan separuh akhir kedua, malam tadi.
Dalam perlawanan di Stadium
Likas, Kota Kinabalu, Sabah mempamerkan satu daripada permainan terbaiknya
musim ini apabila membelasah Kedah 5-1.
Dengan kemenangan itu, Sabah
yang pernah menjadi juara 1995 mara ke perlawanan akhir menerusi agregat 5-2.
Pada pertemuan pertama minggu
lalu, Sabah tewas 0-1 kepada Kedah.
Johor pula menewaskan Kuala
Lumpur 2-1 dalam satu lagi perlawanan di Johor Bahru.
Gol-gol Sabah dijaringkan
Veselin Kovacevic melalui sepakan penalti pada minit ke-23 diikuti gol David
Rocastle (61), Mohd Jaya Kasim (65, 75) dan Suharmin Yusof pada minit ke-78.
Gol tunggal Kedah dijaringkan
pemain import Andre Luis Nascimento pada minit ke-52 melalui sepakan penalti.
Sabah yang kelihatan
bersungguh-sungguh untuk menaikkan semula nama mereka dalam arena bola sepak
tempatan selepas persembahan kurang bermaya di peringkat Liga Perdana,
memulakan asakan sebaik sahaja permainan bermula dan menguasai sebahagian besar
permainan malam ini.
Sabah mendapat peluang seawal
minit keempat melalui hantaran lintang Jainin Tinin, tetapi Yap Wai Loon yang
mendapat bola di hadapan gol gagal menewaskan S. Ragesh.
Sabah sekali lagi mendapat
peluang lapan minit kemudian tetapi Mohd Jaya Kassim, yang mendapat hantaran
lintang daripada Jainin, juga gagal menewaskan penjaga gol Kedah.
Sabah akhirnya mendapat gol
yang dicari-cari pada minit ke-23 melalui sepakan penalti Kovacevic apabila
Jaya dikasari, sekali gus menyamakan agregat 1-1.
Separuh masa kedua menyaksikan
serangan Kedah lebih tersusun dan berhasil mendapatkan gol melalui sepakan penalti
Nascimento selepas Nidzam Adzha dikasari di dalam kotak penalti pada minit
ke-52.
Kedah terpaksa bermain 10 orang
selepas Roslan Abdul Rahim diperintah keluar padang pada minit ke-60 dan ini
memberi ruang kepada Sabah untuk bergerak lebih selesa ketika melancarkan
serangan.
Gol kedua Sabah muncul pada
minit ke-61 melalui sepakan penalti apabila David Rocastle dikasari. Sepakan
yang diambil Kovacevic melantun daripada dakapan S. Ragesh dan terus disambar
Rocastle.
Jaya muncul wira Sabah apabila
menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit hasil serangan pantas yang dilakukan
Sabah sebelum Suharmin Yusof melengkapkan kemenangan Sabah dengan gol pada
minit ke-78. - Bernama.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KD4uzzmb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan