Jumaat, 31 Mac 2017

Sabah, Perlis, NS ke separuh akhir



ARKIB : 20/04/2003

PEMAIN kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan mengubah nasib Perlis pada saat akhir untuk meletakkan Singa Utara ke separuh akhir bola sepak Piala FA apabila menjaringkan gol emas untuk menewaskan Johor FC dengan agregat 4-3 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Pasir Gudang, semalam.

Perlis bertandang ke Pasir Gudang dengan ketinggalan satu gol selepas tewas 1-0 di tempat sendiri minggu lalu.

Bagaimanapun, Singa Utara mengamuk di tempat lawan dan membolosi gawang Johor FC empat kali termasuk gol emas Tengku Hazman untuk menang 4-2.

Begitupun, Johor FC tampak lebih gagah untuk ke separuh akhir apabila Jon Ben Angelucci membuka jaringan buat pasukannya seawal minit ketujuh untuk menjadikan agregat 2-0.

Bagaimanapun, Kelvin Musungu merapatkan jurang dengan gol penyamaan minit ke-19 sebelum Adrian Jurat Chamrong menyamakan agregat dengan jaringan minit ke-35.

Tengku Hazman meletakkan Perlis di depan dengan jaringan ketiga pada minit ke-37 tetapi Mohd. Hamzani Omar menyamakan kedudukan agregat 3-3 pada minit ke-58.

Kedudukan agregat 3-3 terikat sehingga tamat perlawanan yang memaksa masa tambahan sudden-death sebelum Tengku Hazman menceriakan Singa Utara dengan gol emas minit ke-93.

Sementara itu juara sulung, Perak turut tersingkir daripada persaingan biarpun mencatat kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan, tetapi tewas agregat 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Negeri Sembilan bertandang ke Ipoh dengan bekalan dua gol selepas menang 2-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Perak yang mara ke perlawanan akhir musim lalu sebelum tewas kepada Pulau Pinang yang turut sudah terkeluar daripada persaingan, meraih gol tunggal itu pada minit ke-86 menerusi Chan Wing Hong.

Gol berpunca daripada ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian yang melintangkan bola ke tengah dari sebelah kini sebelum ditolak masuk oleh Wing Hong.

Perlawanan di Ipoh sedikit tercemar apabila pengadil melayangkan dua kad merah, masing-masing kepada pemain tuan rumah dan Negeri Sembilan.

Pemain Negeri Sembilan, Shahrizam Mohamad terpaksa melangkah keluar padang pada minit ke-53 selepas menerima kad kuning kedua manakala Perak turut bermain sepuluh orang sejak minit ke-63 selepas Faizal Zainal diperintah keluar padang pada minit ke-63 kerana mengasai pemain lawan.

Perak banyak dihampakan dengan kecekapan penjaga gol Negeri Sembilan, Azlisham Ibrahim yang menyelamatkan tiga percubaan berbahaya penyerang Seladang, Khalid Jamlus.

Sabah memaksa MPPJ Selangor mengharungi penentuan sepakan penalti sebelum mengetepikan pasukan kelab itu dengan kemenangan 4-3 selepas agregat terikat 1-1.

Zainizam Marjan menyamakan agregat dengan gol pada minit ke-56, selepas MPPJ menang 1-0 di Kelana Jaya, minggu lalu.

Perlawanan sebenar tamat dengan kedudukan 1-0 dan agregat 1-1 dan masa tambahan juga gagal mencari pemenang sehingga penentuan sepakan penalti

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ctmlQRWM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan