Khamis, 16 Mac 2017

KL mara pusingan kedua


ARKIB : 19/03/2001
PASUKAN Liga Perdana Satu, Kuala Lumpur terpaksa mengharapkan kemenangan penalti 3-1 ke atas pasukan berstatus kelab, Kedah JKR untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua bola sepak Piala FA di Stadium Darulaman, semalam.

Kedua-dua pasukan terikat menerusi agregat 2-2 selepas Kuala Lumpur tewas 2-1 dalam perlawanan peringkat kedua, pusingan pertama semalam.

Pasukan tuan rumah mengejutkan Kuala Lumpur menerusi jaringan pembukaan P. Panambalan pada minit ke-34, tetapi S. Saravanan menyamakan kedudukan pasukan pelawat pada minit ke-51.

Bekas pemain kebangsaan, Farouk Ismail menyamakan agregat 2-2 hasil jaringan di minit ke-84, sebelum perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang berpihak kepada Kuala Lumpur 3-1.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, JKR Kelantan layak ke pusingan kedua menerusi agregat 15-1, selepas membelasah Kedah Ansell 8-1 semalam.

Che Hishamudin Hassan muncul wira tuan rumah dengan empat gol pada minit ke-30, 55, 72 dan 82, diikuti tiga gol menerusi Mohd. Shukri Che Mat minit ke-15, Azman Ismail (41), Zool Ihsan Yunus (penalti, 48) dan Rosli Rejab (65).

Kedah Ansell memperoleh gol sagu hati hasil jaringan Norfaizal Mohd. Nordin, sembilan minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Di Stadium Perak, Ipoh, Johor FC layak ke pusingan kedua menerusi agregat 4-3, meskipun terikat 3-3 dengan Perak TKN semalam.

Johor FC membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Mohd. Nor Shahris, diikuti Hairy Azly Mahamad pada minit ke-10 dan Idris Karim, dua minit kemudian.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, tuan rumah merapatkan jurang menerusi Rusidi Mohd. Zain, sebelum menambah dua gol hasil jaringan Yam Wai Leong (74) dan P.Lechumanan (84).

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bV4Gg2mv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan