Jumaat, 24 Mac 2017

P. Pinang kecapi kejuaraan - Dua kad merah dan lima kuning dilayangkan dalam babak akhir Piala FA



ARKIB : 18/08/2002
 
BARISAN Pulau Pinang meraikan kejayaan mereka menjuarai Piala FA setelah menewaskan Perak 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Gambar ABD. RAHMAN SALEH.

Oleh JOHARI SHAWAL, JAILANI ABDULLAH dan TAUFEK RAZAK
PULAU PINANG menamatkan penantian 12 tahun untuk menyambar gelaran sulung bola sepak Piala FA sejak kempen dipertandingkan pada 1990, selepas mengatasi Perak 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Perlawanan turut disulami aksi keras sehingga dua kad merah dilayangkan oleh pengadil perlawanan.

Pemain import Harimau Kumbang dari Argentina, Gustavo Alberto Romero menghadiahkan trofi Piala FA yang tidak pernah mereka miliki itu hasil sentuhan jarak dekat pada minit ke-65.

Gol berpunca daripada gerakan pantas dari sebelah kanan bermula daripada Ng Kok Heng yang membuat percubaan kencang dari luar kotak penalti tetapi bola terkena badan pemain pertahanan Perak yang melantun kepada Romero.

Penyerang Argentina itu yang sebelum ini tenggelam pada hampir sepanjang permainan, tidak berdepan masalah untukmenolak bola masuk melepasi penjaga gol Perak, Tay Sin Kiat yang hanya terpaku menyaksikan bola menerjah gawangnya.

Aksi babak akhir ini disulami dengan terjahan-terjahan keras pemain kedua-dua pasukan yang menyaksikan dua kad merah dan lima kad kuning dilayangkan oleh pengadil, Mohamad Sukri Mat Amin.

Perak yang dibimbing jurulatih dari Brazil, Tony Netto lebih dulu kehilangan penyerangnya, V. Saravanan yang diperintah keluar padang pada minit ke-38 kerana menumbuk Nordin Kamis sebelum pemain Pulau Pinang, S. Sutesh menerima nasib yang sama pada babak kedua selepas menerima kad kuning kedua.

Kegagalan Perak bermakna mereka terlepas peluang untuk menyambar tiga kejuaraan dalam satu musim, selepas menjulang piala Perdana Satu, bulan lalu. Namun, Piala Malaysia masih berada dalam jangkauan skuad Seladang.

Begitupun, tiada sebarang percubaan tepat atau berbahaya yang mampu menarik hati kira-kira 50,000 penonton pada babak awal permainan, cuma bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang. Setiap gerakan kedua-dua pasukan terkandas di hujung kotak penalti.

Berbekalkan status juara Perdana Satu, Perak bagaimanapun lebih kerap diasak Pulau Pinang pada sepanjang babak pertama, terutama selepas Saravanan diperintah keluar padang.

Namun, Perak mendapat dua peluang untuk menggegar jaring Pulau Pinang menerusi percubaan pemain Nigeria, Nduka Ugbade dan Indra Putra Mahayuddin, kedua-duanya pada minit ke-16. Tetapi percubaan mereka tidak langsung mampu memaksa penjaga gol Pulau Pinang, Kamarulzaman Hassan bekerja keras.

Anak buah Irfan Bakti yang sering gagal menembusi benteng Perak biarpun kerap melancarkan serangan, mendapat peluang terbaik minit ke-21 apabila Gustavo Alberto Romero melorongkan bola ke dalam kotak penalti tetapi Hasmawi Hassan lambat menyambarnya sebelum bola dikeluarkan oleh Faizal Zainal.

Ketika babak pertama menghampiri penghujungnya, Perak terpaksa mengubah perancangan awal untuk aksi babak kedua apabila Saravanan dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohamad Sukri Mat Amin pada minit ke-38 kerana menumbuk Nordin Kamis.

Sebelum itu, Perak kehilangan bek kiri, Faizal Zainal yang terpaksa diusung keluar pada minit ke-30 akibat kecederaan otot dan bekas pemain kebangsaan itu digantikan dengan pemain muda, Rushanizam Idrus. Begitupun, perlawanan kembali seimbang apabila Pulau Pinang turut terpaksa bermain sepuluh orang selepas S. Sutesh menerima kad kuning kedua.

Namun, di sebalik sorakan dan teriakan gamat penyokong kedua-dua pasukan, Perak dan Pulau Pinang masih gagal menemui sasaran, malah masih tiada percubaan tepat dan berbahaya dicipta.

Sehinggalah minit ke-65, Stadium Nasional yang hanya dihadiri sebilangan kecil penyokong Pulau Pinang berbanding tiga suku daripada 50,000 penonton dikuasai penyokong Perak, gamat apabila Romero menolak masuk gol tunggal yang membawa kemenangan Pulau Pinang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cFzMFPQA© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan