ARKIB : 29/05/2001
EDISI ke-12 bola sepak Piala FA
memasuki separuh akhir dengan empat pasukan yang layak, dua dari Perdana Satu
dan dua Perdana Dua bakal bertarung untuk separuh akhir pertama, malam ini,
lapor JOHARI SHAWAL.
Sebagai kelab dan pasukan dari
Perdana Dua, JKR Kelantan yang beraksi kali pertama di pentas separuh akhir
pasti menjadi fokus utama berbanding tiga bekas juara - Selangor, Sabah dan
Sarawak.
Kelab dari Pantai Timur itu
nampaknya belum menemui noktah dalam kempen ini dan selagi ia tidak ditemui,
pasukan Abdullah Mohamed ini bakal terus mencipta sejarah tersendiri.
Kedudukan terbaik dalam liga
menyumbang kepada faktor kegagahan JKR Kelantan dalam mengharungi Piala FA
musim ini.
Apa lagi dengan sentuhan
penyerang utama mereka, Che Hisamuddin Hassan yang kini mendahului kedudukan
penjaring terbanyak Piala FA dengan tujuh gol.
Zool Ihsan Yunus juga tajam
sentuhannya apabila menjaringkan lima gol setakat ini dalam Piala FA.
Berdasarkan statistik itu,
Sarawak, pasukan Perdana Satu yang juga juara 1992 dan bakal ditentang JKR
Kelantan di Kota Bharu malam nanti, akan berdepan masalah mengekang dua
penyerang gagah ini.
Pasukan Jalil Ramli perlu membuat
percaturan terbaik untuk mengelak ditimpa aib, apa lagi beraksi di gelanggang
lawan pada ketika pasukan yang ditentang sedang memuncak naik.
JKR Kelantan telah menumbangkan
pasukan gagah termasuk Kuala Lumpur (agregat 2-1) pada pusingan kedua dan Negeri
Sembilan pada suku akhir (agregat 3-2) setelah menang besar agregat 15-1 ke
atas Kedah Ansell dalam aksi pusingan pertama.
Ayam tambatan Sarawak, Halim
Jantan dan Ramles Sari perlu menggandakan usaha meranapkan benteng JKR Kelantan
yang tampak kukuh sehingga kini.
Juara dua kali (1991 dan 1997),
Selangor berkunjung ke Borneo untuk bertemu juara 1995, Sabah di Penampang -
satu lagi pertembungan antara pasukan Perdana Satu dan Perdana Dua.
Dalam liga, Sabah kukuh di
tangga kedua Perdana Dua di bawah Johor FC tetapi Selangor terkial-kial mencari
rentak dalam Perdana Satu.
Begitupun, persaingan antara
dua pasukan ini dijangka hebat kerana Sabah sudah menyingkir juara Piala
Malaysia, Perak pada suku akhir manakala Selangor menang mudah ke atas Pulau
Pinang dengan agregat 4-1 sesudah memperoleh bekalan selesa 4-0 pada suku akhir
pertama di Batu Kawan.
Cuma yang jelas, sentuhan dua
penyerang kebangsaan di Selangor, Rusdi Suparman dan Mohd. Nizaruddin Yusof
semakin tajam dan biarpun JKR Kelantan menjadi tumpuan, Red Giants lebih
menjadi pilihan untuk menjulang Piala FA buat kali ketiga.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bdtsiEWv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan