ARKIB : 10/06/2001
Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
SELANGOR menjadi pasukan
pilihan untuk menjuarai bola sepak Piala FA buat kali ketiga apabila menentang
Sarawak dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Walaupun hanya Rusdi Suparman,
Asmawi Bakiri,Shamsul Amri Abu Bakar dan B. Rajnikandh pernah beraksi di pentas
akhir Piala FA, namun Selangor digeruni dengan memiliki sebahagian besar pemain
kebangsaan dan bawah-23 kebangsaan.
Selain itu, Selangor juga
dilihat mempunyai kelebihan bermain di Bukit Jalil yang diibaratkan seperti
gelanggang sendiri dan hampir pasti stadium dengan kapasiti 100,000 penonton
itu bakal dibanjiri penyokong Merah Kuning.
Namun begitu jurulatih
Selangor, Abdul Rahman Ibrahim memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya
tidak terpedaya dengan status pilihan.
``Kalau Selangor dianggap
pilihan kerana barisan pemainnya serta kelebihan di Stadium Nasional, Sarawak
juga memiliki kelebihan pengalaman dan rekod pertemuan di tempat lawan,'' kata
Abdul Rahman selepas sesi latihan terahir di Stadium Nasional, semalam.
``Saya fikir status tidak wujud
dalam saingan akhir esok (malam ini). Selangor dan Sarawak mempunyai keupayaan
setanding, kedua-dua pasukan boleh bergelar juara,'' katanya lagi.
Abdul Rahman juga berkata,
ketiadaan pemain muda, Tengku Hazman Raja Hassan yang digantung enam perlawanan
tidak menjejaskan Selangor. ``Sarawak juga tidak mempunyai kelebihan dengan
ketiadaan Tengku Hazman,'' katanya.
``Malah, mereka sendiri
kehilangan dua tonggak paling berpengalaman Bobby Chua dan Ibrahim Mantali.
Saya fikir, kedua-dua pasukan ada kelebihan dan kelemahan.''
Sementara itu jurulatih
Sarawak, Jalil Ramli mengakui kelebihan pastinya milik Selangor, bagaimanapun
pasukannya tetap memiliki peluang cerah untuk membawa pulang kejuaraan Piala FA
buat kali kedua.
Menurutnya, berdasarkan rekod
Sarawak yang hanya tewas sekali di tempat lawan (1-3 kepada Pulau Pinang dalam
saingan Perdana Satu) mereka pastinya tidak menghadapi kesukaran untuk beraksi
di Stadium Nasional.
``Tidak dinafikan Selangor
mempunyai ramuan yang cukup untuk merangkul gelaran tahun ini, bagaimanapun
Sarawak tidak harus diketepikan walaupun berstatus underdog,'' katanya,
semalam.
``Kemenangan besar 4-0 ke atas
JKR Kelantan (separuh akhir kedua Piala FA) adalah bukti pasukan ini sedang
berada di kemuncak prestasi, saya yakin kami juga memiliki barisan pemain yang
setanding dengan Selangor,'' katanya lagi.
Kali terakhir Sarawak muncul
juara Piala FA adalah pada 1992 dengan menundukkan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium
Negeri, sementara Selangor merupakan juara kejohanan pada 1991 dan 1997.
Sementara itu, Polis
menggalakkan orang ramai supaya menggunakan kemudahan pengangkutan awam
terutama LRT bagi mengelak masalah kesesakan tempat meletak kereta pada
perlawanan akhir Piala FA malam ini.
Ketua Trafik Kuala Lumpur,
Supritendan Ishak Manan berkata, polis menganggarkan kira-kira 50,000 hingga
60,000 penonton akan datang menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala FA
Malaysia yang diadakan antara Pasukan Selangor dan Sarawak.
Jumlah yang ramai itu, katanya,
akan menimbulkan masalah kesesakan di tempat letak kereta.
``Jumlah ini adalah memihak
kepada penonton yang akan menggunakan kenderaan persendirian seperti yang
berlaku untuk acara-acara sukan sebelum ini.
``Berdasarkan ramalan tersebut,
anggaran jumlah kenderaan yang akan menghala ke lokasi untuk menyaksikan perlawanan
ini adalah kira-kira 6,000 hingga 8,000,'' katanya pada sidang akhbar di Balai
Trafik Jalan Bandar, Kuala Lumpur, semalam.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4beLng9zr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan