Khamis, 23 Mac 2017

Selangor hadapi ujian getir



ARKIB : 23/04/2002

UJIAN paling getir dihadapi juara bertahan, Selangor yang bertandang ke Kota Kinabalu untuk perlawanan kedua pusingan kedua bola sepak Piala FA malam ini, biarpun memiliki sedikit kelebihan ke atas lawannya.

Selangor, yang kini di tangga kedua dalam Liga Perdana Satu, hanya berbekalkan satu gol selepas menang tipis 2-1 pada perlawanan pertama, 9 April lalu.

Aksi di Penampang dengan sepak mula pukul 4 petang selalunya menyukarkan pasukan pelawat yang sudah biasa dengan permainan di sebelah malam.

Tetapi ia bukan satu alasan jika Selangor gagal malam ini sebaliknya menunjukkan bahawa mereka tidak bersedia untuk berdepan dengan pasukan lawan dalam situasi yang berbeza.

Sabah bakal menggempur Red Giants habis-habisan untuk memadamkan kelebihan itu, dan berusaha menyingkir pasukan juara bertahan itu untuk merebut tempat ke suku akhir.

Begitupun, pasukan Abdul Rahman Ibrahim berada pada prestasi terbaik, terutama selepas merakam kemenangan 2-1 ke atas juara Piala Malaysia, Terengganu dalam aksi liga Sabtu lalu untuk terus menghimpit pendahulu, Perak.

Sabah pula sekadar seri 2-2 dengan Pulau Pinang tetapi kejayaan itu ditempah di gelanggang lawan.

Perak bagaimanapun agak selesa dengan bekalan kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur di Ipoh.

Jika skuad Seladang mengekalkan rentak kemenangan mereka seperti yang dipamerkan Sabtu lalu bertemu Johor FC, tidak nampak alasan skuad itu gagal mara ke suku akhir.

Apa lagi Kuala Lumpur kini semakin merosot sehingga tergelincir di tangga tercorot liga selepas aksi Sabtu lalu menentang Perlis.

Terengganu hanya perlu mempertahankan kelebihan kemenangan 3-0 pada pusingan pertama untuk melangkah setapak lagi ke suku akhir, apabila bertemu Kelantan di Kota Bharu.

Begitu juga Pulau Pinang yang dijangka tidak menghadapi masalah menyingkir pasukan Perdana Dua, Johor di Batu Kawan selepas menang 2-0 di Larkin.

Namun, tugas berat bagi dua pasukan Perdana Satu, Johor FC dan Sarawak untuk melangkah ke suku akhir selepas dimalukan oleh skuad Perdana Dua pada perlawanan pertama.

Johor FC tumpas 3-0 kepada Public Bank Selangor manakala Sarawak kalah teruk 4-1 kepada Telekom Melaka pada perlawanan pertama.

Kedah dijangka mara berbekalkan kemenangan besar 6-0 ke atas PKNS Selangor tetapi Pahang berdepan ranjau apabila bertemu Negeri Sembilan di Paroi selepas menang 3-2 di Kuantan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4c8ycAhnT© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan