Jumaat, 31 Mac 2017

N. Sembilan juara Piala FA

ARKIB : 01/06/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
 
BARISAN pemain dan pegawai skuad Negeri Sembilan meraikan kejayaan meraih Piala FA 2003 selepas menewaskan Perlis 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

JARINGAN emas pemain import dari Brazil, Everson Martinelli pada minit ke-95 dalam aksi sudden-death memastikan Negeri Sembilan mencatat sejarah apabila menjulang Piala FA 2003 buat pertama kali selepas menewaskan Perlis 2-1 dalam perlawanan akhir yang sengit di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Bagaimanapun, sebelum itu, Negeri Sembilan terpaksa bekerja keras dalam 90 minit permainan untuk menyamakan kedudukan selepas Perlis mengejutkan pasukan berkenaan dengan mendahului 1-0 pada minit ke-11.

Lim Chang Yew menyelamatkan Negeri Sembilan selepas menghasilkan gol penyamaan Effendi Malik pada minit ke-56 untuk mengheret permainan ke penentuan sudden-death yang menyaksikan skuad Rusa itu cuma mengambil masa lima minit bagi menamatkan aksi dengan kemenangan penuh bergaya daripada Martinelli, hasil gerakan cantik K. Rajan.

Rajan membuat larian cantik di bahagian sayap sebelum melakukan hantaran cantik ke depan pintu gol untuk Martinelli yang dalam keadaan terbaring masih mampu menyepak ke dalam gawang Singa Utara.

Ini merupakan trofi pertama yang berjaya diraih Negeri Sembilan dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia.

Kejayaan menjulang Piala FA memastikannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000. Skuad Hoben Jang Hoben hampir menjulang Piala Malaysia pada tahun 2000 tetapi tumpas kepada Perak dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Sementara bagi jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan, ini merupakan kejayaan keduanya setelah membawa skuad remaja Negeri Sembilan muncul juara Piala Presiden tahun lepas.

Bermula perlahan, Negeri Sembilan bangkit pada akhir babak pertama untuk mengimbangi serangan lawan yang kelihatan begitu garang sebaik sahaja sepak mula.

Perlis pula menerkam garang sejak awal babak untuk menguasai pertarungan dan menjadikan permainan babak pertama berat sebelah.

Kepantasan dan pengalaman pengantin baru, Tengku Hazman Raja Hassan serta Rosle Md. Derus menjadikan pergerakan skuad bimbingan Norizan Bakar begitu lancar menghalakan serangan ke kubu skuad Rusa.

Pemain import dari Zambia, Chipeta sentiasa sahaja merobek kubu pertahanan Rusa, yang diterajui oleh pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah.

Pada minit kelapan, Chipeta memerangkap pertahanan lawan hanya untuk menyaksikan hantaran lambungnya disia-siakan oleh pemain berpengalaman, Anuar Jusoh dengan sepakan tingginya.

Tetapi, empat minit kemudian Chipeta mendapat peluang yang baik dan menerpa untuk menolak masuk gol pembukaan. Jaringan berpunca daripada sepakan percuma Rosle Md. Derus yang ditampan oleh Azlisham Ibrahim tetapi bola terkena tiang dan memerlukan kuisan perlahan Chipeta untuk gol pertama.

Asakan yang dilakukan oleh Perlis jelas menyukarkan anak-anak buah Devan untuk menemui rentak. Hanya ketika permainan babak pertama berbaki 10 minit barulah mereka perlahan-lahan membina gerakan lebih kemas.

Wakil Perdana Dua itu makin ghairah selepas perlawanan disambung, menjadikan perlawanan mula seimbang dan berubah menjadi rancak.

Selepas beberapa kali memerangkap barisan pertahanan Perlis, Effendi Malek tidak mampu untuk melepaskan peluang terbuka pada minit ke-56 dengan tolakan mudah menewaskan penjaga gol Perlis, Amran Omar setelah menerima hantaran Luciano Osmar Gonzales.

Permainan tiba-tiba berubah, dikuasai oleh Negeri Sembilan yang beberapa kali menyaksikan percubaan pemain-pemainnya tersasar manakala Perlis seperti patah taring untuk merobek lawan.

Ketika permainan tinggal lapan minit, Azman Adnan yang masuk menggantikan Mohd. Aiman Wong seperti kehilangan idea apabila lambat bertindak untuk melepasi pertahanan lawan setelah menerima hantaran Syaiful Sabtu.

Pada minit ketiga masa tambahan sudden death, Chipeta nyaris memberikan kemenangan kepada pasukannya tetapi sepakannya dari sebelah kanan gol terkena palang dan melantun keluar selepas menerima hantaran jauh ketua pasukan, Muhammad Khaironisam Sahabuddin.

Rupanya, kemenangan ingin menyebelahi Negeri Sembilan apabila pemain dari Brazil, Martinelli menyepak masuk gol kemenangan dalam keadaan dirinya terbaring di atas padang setelah peluang dibuka oleh pemain kebangsaan, Rajan pada minit kelima masa tambahan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cxlQBFAT© Utusan Melayu (M) Bhd

Perlawanan akhir Piala FA 2003 - Debaran bermula malam ini



ARKIB : 31/05/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
 
DUA ketua pasukan, B. Rajnikandh dari Negeri Sembilan (kiri) dan Mohd. Khairunnisam Sahabuddin dari Perlis bersalaman sebagai tanda semangat kesukanan menjelang perlawanan akhir bola sepak Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam ini. - Gambar ZAKI AMIRUDDIN.

KEGIGIHAN ketika berdepan laluan getir dan kemampuan menundukkan pasukan pilihan dalam saingan awal menjadi faktor utama Perlis dan Negeri Sembilan mencipta sejarah buat pertama kali beraksi dalam perlawanan akhir bola sepak Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Semua faktor tersebut menjadikan Perlis dan Negeri Sembilan semakin matang dalam menghadapi kerenah bola sepak tanah air sehingga bakal mempamerkan aksi menarik dalam perlawanan akhir itu.

Kedua-dua pasukan yang pada awalnya tidak diberi harapan untuk melangkah lebih jauh kerana berdepan pasukan-pasukan handalan, telah mencipta kejutan layak buat pertama kali ke perlawanan akhir selepas mengharungi pelbagai rintangan.

Perlis tidak diberi laluan mudah, separuh akhir kedua dengan Sarawak di Kuching jelas menceritakan betapa Singa Utara dipaksa menempuh laluan berduri akibat tindakan liar penonton.

Begitu juga, Negeri Sembilan yang terpaksa menunggu selama beberapa hari sebelum disahkan menang 3-0 ke atas Sabah dalam perlawanan separuh akhir kedua di Likas.

Bagaimanapun, kedua-dua insiden tersebut sebenarnya memberi pengalaman luas kepada Perlis dan Negeri Sembilan untuk menghadapi saingan lebih besar.

Perlis dan Negeri Sembilan ketika ini daripada kelompok yang berbeza. Perlis turut memburu gelaran juara Perdana Satu selepas hanya ketinggalan satu mata di belakang Perak dalam kedudukan liga.

Negeri Sembilan pula bersaing dalam Perdana Dua, berada di tangga kedua dengan 26 mata untuk memberi tekanan ke atas pendahulu, Johor.

Namun, Negeri Sembilan kelihatan memiliki kekuatan dari segi mental dan juga pengalaman. Dengan tiga pemainnya, Norhafiz Zamani Misbah, K. Rajan, Shaiful Sabtu tersenarai dalam skuad kebangsaan dan ditambah kehadiran bekas pemain antarabangsa iaitu Azman Adnan, B. Rajnikandh, Azlisham Ibrahim dan Mohd. Aiman Wong yang pasti menguatkan skuad Rusa.

Perlis pula memiliki barisan serangan mantap yang diterajui oleh Phillimon Chipieta dari Zambia. Dan kini dia mendapat gandingan baru, Liman Conte Jr. dari Sierra Leone yang menggantikan Kelvin Masungu yang cedera.

Kehadiran Conte Jr. pasti meresahkan jurulatih Rusa, K. Devan dan anak-anak buahnya yang tidak tahu tentang kekuatan pemain berkenaan kerana tidak pernah melihat aksinya.

Mereka juga diterajui oleh bekas ketua pasukan negara, Tengku Hazman Raja Hassan yang tahun lalu membantu Selangor muncul juara Piala Malaysia.

``Saya bimbang terhadap semangat juang pemain Perlis,'' kata Devan ketika ditemui di Stadium Perak semalam.

Sementara itu, kata jurulatih Norizan Bakar, Perlis mahu menjadi juara kerana tidak pernah memenangi gelaran dalam Liga Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cxQ490r8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Piala FA 2003 - Misi penting catat sejarah



ARKIB : 17/05/2003
Oleh Zainu'l Azhar Ash'ari

SEJARAH telah tercipta bagi dua pasukan senegara, Juventus dan AC Milan yang beraksi dalam Serie A buat pertama kali berentap dalam perlawanan akhir bola sepak Liga Juara-Juara Eropah.

Apakah suasana hampir sama akan berlaku di negara ini apabila saingan akhir Piala FA 2003 mungkin mempertemukan dua pasukan Liga Perdana Satu dari satu kepulauan, Borneo?

Bagaimanapun, kesukaran lebih dihadapi Sarawak yang tewas 4-1 kepada Perlis dalam separuh akhir pertama di Stadium Utama, Kangar.

Walaupun beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Sarawak, hari ini, ketinggalan tiga jaringan bukannya tugas mudah bagi skuad Bumi Kenyalang itu.

Tambahan pula, Perlis juga mahu mencipta sejarahnya untuk beraksi buat pertama kali dalam perlawanan akhir Piala FA bagi merealisasikan impian untuk bergelar juara. Faktor ini bakal menjadikan separuh akhir kedua Piala FA 2003 menarik dengan aksi hebat daripada Sarawak dan Perlis.

Bagi Perlis, jurulatihnya Norizan Bakar mengidamkan kejayaan pertama pasukan Perlis yang baru dibimbingnya pada musim ini.

Dengan bantuan pemain-pemain kebangsaan seperti Mohd. Khaironnisam Shahabuddin dan Tengku Hazman Raja Hassan, Perlis, Perlis nyata kini perlu dihormati terutama Sarawak.

Begitu juga dengan Negeri Sembilan yang ingin memburu kejuaraan Piala FA buat pertama kali tetapi masih perlu menyelesaikan perlawanan separuh akhir kedua menentang Sabah di Stadium Likas hari ini.

Mendahului satu jaringan selepas menewaskan Sabah 1-0 dengan menumpang tuah Stadium Hang Tuah, Melaka, sebagai gelanggang sendiri, bukan kelebihan besar buat Negeri Sembilan.

Kemenangan tipis dalam separuh akhir pertama itu lebih memberi tekanan kepada Negeri Sembilan untuk menghadapi Sabah yang pasti memberikan saingan sengit.

Sabah bukannya saingan sengit, status naib juara Piala Malaysia 2002 pasti membuka mata banyak pihak terhadap keupayaan skuad badak itu.

Barisan pemain berpengalaman seperti Shahril Arsat dan K. Sanbagamaran sudah tentu menjadi senjata Sabah untuk membantu barisan serangan yang menampilkan penyerang lincah Zainizam Marjan untuk mengambil kesempatan di sebalik ketiadaan tonggak pertahanan Khairul Anuar Baharom kerana mengalami kecederaan.

Menyedari hakikat itu, Negeri Sembilan awal-awal lagi telah memberi amaran bahawa skuad badak itu tidak gentar menghadapi Sabah tanpa Khairul kerana pemain-pemain lain sudah bersedia untuk menggempur dan bertahan.

Kesimpulan itu bakal menjanjikan aksi cukup menarik daripada dua perlawanan separuh akhir kedua, jika tidak mencatat sejarah sebagaimana Juventus dan AC Milan yang jelas mempunyai mutu permainan jauh lebih baik, ibarat ``langit dengan bumi.''

Namun, penyokong bola sepak tanah air tetap berpijak di bumi nyata bahawa Piala FA 2003 tetap menarik dan menghiburkan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cv6yjGJM
© Utusan Melayu (M) Bhd