Jumaat, 22 Disember 2017

MyTeam singkir juara bertahan


 

ARKIB : 25/02/2009
MyTeam singkir juara bertahan
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
PEMAIN Perlis, Azi Shahril Azmi (kanan) berusaha meloloskan diri daripada dua pemain PKNS dalam Piala FA di Kangar, malam tadi. - UTUSAN/FAIZAL ABU HASSAN

KUALA LUMPUR - Hasrat Kedah untuk mengulangi kejayaan merangkul tiga kejuaraan musim lalu tidak kesampaian apabila mereka sudah pun terlepas satu daripada gelaran tersebut selepas tersingkir daripada saingan bola sepak Piala FA, semalam.

Kedah hanya mampu seri tanpa jaringan dengan UPB-MyTeam di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada perlawanan kedua, pusingan kedua, sekali gus tersingkir menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama di Alor Setar, minggu lalu.

MyTeam sebaliknya bergaya ke suku akhir untuk menempah pertemuan dengan pendahulu Liga Super, Kelantan, yang mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Polis di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sekali gus mara dengan agregat besar 8-2.

Biarpun perlawanan berakhir tanpa jaringan, Kedah dan MyTeam saling berbalas serangan dengan Kedah memperoleh peluang pertama seawal minit kedua, namun larian solo Mohd. Khyril Muhymeen Zambri dalam kotak penalti gagal dimanfaatkan.

MyTeam pula hampir menyumbat gol pada minit ke-14 apabila berlaku keadaan kelam-kabut dalam petak penalti Kedah hasil sepakan sudut Norshahrul Idlan Talaha tetapi penjaga gol, Helmi Eliza Elias pantas menangkap bola.

Aksi separuh masa kedua berlangsung hambar pada 10 minit pertama, sehinggalah MyTeam memperoleh sepakan percuma pada minit ke-64 tetapi bola rembatan Azmi Muslim sedikit melewati palang gol.

Sementara itu Selangor turut dipaksa berhempas pulas untuk melangkah ke suku akhir apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, tetapi mara dengan agregat 2-1.

P. Gunalan muncul wira tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-70 selepas Kuala Lumpur terlebih dulu membuka jaringan menerusi Azwan Malek, di minit ke-47.

Menanti Selangor pada suku akhir nanti adalah Perak, yang memerlukan jaringan pada masa tambahan untuk menyingkirkan Kuala Muda Naza menerusi agregat 3-2.

Kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2 selepas tamat 90 minit perlawanan di Stadium Darul Aman, namun jaringan Nazri Mohd. Kamal pada minit ke-96 memastikan kemaraan Perak.

Perak, yang terikat 1-1 dengan Kuala Lumpur dalam perlawanan pertama, membuka jaringan menerusi Razali Umar Kandasamy tetapi Zulhisyam Jamaluddin berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

Dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda terus cemerlang apabila melangkah ke suku akhir dengan menumpaskan Terengganu menerusi agregat 4-3.

Selepas tewas 1-2 pada perlawanan pertama minggu lalu, Harimau Muda bangkit dengan kemenangan 3-1, sekali menempah pertemuan suku akhir dengan Perlis.

Jaringan K. Gurusamy pada minit ke-65, sepakan penalti Ahmad Shakir Md Ali di minit ke-67 dan gol Ahmad Aminuddin pada minit ke-76 menghadiahkan kemenangan buat tuan rumah, manakala gol saguhati Terengganu, yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain dijaringkan ketua pasukan, Mohd. Marzuki Yusof pada minit ke-43.

Sementara itu, Perlis masih mampu ke suku akhir biarpun hanya mampu seri 0-0 dengan PKNS di Stadium Utama, Kangar selepas menang 2-1 di tempat lawan, minggu lalu.

Di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, T-Team menebus kegagalan skuad negeri mereka meneruskan cabaran, apabila wakil Terengganu itu mara ke suku akhir dengan menumpaskan Sarawak menerusi agregat 4-1.

Pelawat yang menang 2-0, Sabtu lalu, melengkapkan kemaraan mereka dengan menumpaskan tuan rumah 2-1 dalam perlawanan kedua semalam.

Sarawak bagaimanapun terlebih dulu membuka jaringan menerusi rembatan Khalid Hamlet dari luar petak penalti pada minit ke-45.

Namun, T-Team sukar dibendung apabila jaringan Hasbullah Awang dan Azrul Azran Aminuddin pada minit ke-52 dan 62 membawa mereka melepasi pusingan kedua ini.

Menanti T-Team pada suku akhir adalah Negeri Sembilan yang menyingkirkan Pulau Pinang menerusi agregat 4-2 selepas menang 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz522Oqd6da

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan