Isnin, 18 Disember 2017

Empat pasukan hampiri pusingan kedua


 

ARKIB : 01/02/2009
Empat pasukan hampiri pusingan kedua
PEMAIN Pahang, Mohd. Azamuddin Md. Kamil (kiri) dihalang pertahanan PKNS, Muhammad Afiq Hassanuddin pada pertemuan di Stadium Darul Makmur , Kuantan, malam tadi. Kedudukan terikat 1-1. – MINGGUAN/Mahathir Ali

KUALA LUMPUR – Kelantan, Perak, Sarawak dan Perlis mencatat kemenangan besar ke atas lawan masing-masing dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA semalam.

Namun kemenangan dengan jaringan yang besar itu gagal diikuti oleh beberapa pasukan pilihan seperti Negeri Sembilan yang seri 0-0 dengan Melaka manakala Pasukan Liga Super, Pahang sekadar seri 1-1 dengan PKNS.

Perlis garang di tempat lawan apabila membenam cabaran MBJB 4-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menerusi hatrik penyerang kebangsaan Nizaruddin (m-58, 74, 81) selepas jaringan pembukaan Eslizuan Zahid Amir (m-45).

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah selesa untuk mara ke pusingan kedua apabila menang besar 4-1 ke atas pendatang baru Liga Perdana, SDM Kepala Batas.

K. Thinagaran mencipta hatrik (m-32, 43, 84), selain jaringan Mohd. Arsyah Mohd. Ayob (m-52) untuk memastikan pasukan bimbingan M. Karathu itu meraih bekalan selesa untuk perlawanan kedua sebelum SDM membalas satu gol pada minit ke-72 menerusi M. Jagen.

Di Stadium Negeri, Kuching Sarawak sudah sebelah kaki ke pusingan kedua apabila membelasah Angkatan Tentera 6-1.

Joseph Kalang Tie mencatat hatrik pada minit ke-23, ke-58 dan ke-85 dan Mohd. Khalid Hambet (m-15, 55) dan Zamri Morshidi (m-30) sebelum Mohd. Nazri Akui menjaringkan gol sagu hati pelawat (m-88).

Pasukan Liga Perdana, T-Team yang membariskan beberapa pemain kebangsaan sekadar menang tipis 1-0 ke atas Shahzan Muda di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu hasil jaringan Haris Safwan pada minit ke-26.

Pulau Pinang juga mencatat keputusan yang sama dalam perlawanan menentang Johor FC di Stadium Bandaraya hasil jaringan Mohd. Farkhis Pisol pada minit ke-25.

Kuala Lumpur menjaringkan gol di babak akhir menerusi Azwan Malek untuk mengikat Sabah 1-1 selepas pelawat di Stadium Cheras, mendahului menerusi jaringan Azrul Ejati Damsah (m-46).

Pahang gagal meraih kesempatan daripada aksi di tempat sendiri di Stadium Darul Makmur apabila sekadar seri 1-1 dengan PKNS.

Pahang mendahulu menerusi jaringan P. Surendran (m-17) sebelum PKNS bangkit mengikat kedudukan menerusi Tengku Adam Tg. Mohd. Rosli (m-23).


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51byVlMin

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan