Ahad, 11 September 2016

Selangor tersungkur

ARKIB : 24/06/1998
Selangor tersungkur
 
REBUT... Pemain Kuala Lumpur, S. Paidiya Rau (no.7) berebut bola dengan pemain Selangor, Mehmet Durakovic sambil diperhatikan Nazzab Hidzan (kiri) dan P. Saravanan sewaktu perlawanan pertama suku akhir bola sepak Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi. Kuala Lumpur menang 2-0. - Gambar SAIFUL BAHARI SHAARI.

JUARA bertahan, Selangor tewas mengejut 2-0 kepada Kuala Lumpur pada perlawanan pertama suku akhir bola sepak Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Pasukan tuan rumah jelas tidak gentar berdepan dengan skuad Red Giants dengan mempamerkan permainan penuh bertenaga sebaliknya setiap serangan Selangor yang diketuai Azman Adnan dan Fidadi Mohamad serba tidak menjadi.

Di hadapan 1,500 penonton, penyerang bertubuh kecil yang semakin meningkat, Meor Nor Shamsul Kamal memukau Selangor dengan jaringan pembukaan pada minit ke-60 sebelum pemain tengah, P. Saravanan menambah duka Selangor dengan gol kedua pada minit ke-83.

Sementara di Stadium Darulaman, Kedah meletakkan sebelah kaki ke separuh akhir apabila menang besar 5-0 ke atas Melaka.

Zam Zam Abu Bakar dan Mohd. Rafdi Rashid masing-masing menjaringkan dua gol pada minit ke-33, 49, 69 dan 85, manakala satu gol lagi disumbat oleh Mohd. Sofi Mohd. Isa, minit ke-79.

Permainan jelas dikuasai pasukan pelawat yang tidak langsung memberi peluang Melaka untuk menembusi benteng mereka.

Begitu pun, Kedah terpaksa menunggu setengah jam untuk memecah kebuntuan apabila Zam Zam menyumbat masuk gol pembukaan.

Di Stadium Likas, tuan rumah Sabah menumpaskan Pulau Pinang 1-0 menerusi jaringan pemain import Veselin Kovacevic pada minit ke-54.

Sabah menguasai permainan, tetapi gagal menggunakan banyak peluang yang terhidang di depan mata untuk menambah gol.

Gol Sabah diperolehi menerusi sepakan sudut dari kiri gawang gol Pulau Pinang yang diambil Yap Wai Loon dan ditanduk masuk Kovacevic.

Kemenangan itu sedikit sebanyak menebus kekecewaan Sabah yang tewas kepada Pulau Pinang dalam Liga Perdana Satu, musim ini.

Sabah tewas 1-0 dalam perlawanan liga di Stadium Bandaraya dan seri 0-0 di Likas pada pusingan kedua.

Di Stadium Perak di Ipoh, pasukan tuan rumah kecundang 3-1 kepada Johor.

Dua bekas penyerang kebangsaan, Azmi Mohamad menjaringkan dua gol pada minit ke-31 dan 87 dan Rusdee Sulong menambah gol ketiga Johor, minit ke-64.

Gol tunggal Perak dijaringkan oleh penyerang import, Noel Kipre pada minit ke-44.

Perlawanan babak pertama seimbang, tetapi Johor membuka jaringan menerusi Azmi sebelum Kipre menyamakan kedudukan seminit sebelum waktu rehat.

Begitu pun, pasukan tuan rumah seperti tenggelam punca pada babak kedua yang menyaksikan Johor menggunakan peluang itu untuk menambah dua jaringan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4K03vJnf9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan