Ahad, 26 November 2017

Piala FA: Kedah menang selesa, Selangor belum selamat

ARKIB : 15/06/2008
KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kedah sudah boleh dianggap berada sebelah kaki ke perlawanan akhir Piala FA selepas berjaya menewaskan Pahang 4-1 pada saingan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, semalam.

Dua gol di babak pertama menerusi Shafiq Jamal (m-1) dan Khyril Muhymeen (m-28) serta dua gol Fauzi Shaari (m-46) dan Saramsak Kram (m-81) di babak kedua meletakkan Kedah memperoleh bekalan cukup selesa sebelum bertandang pula ke Stadium Darul Makmur untuk separuh akhir kedua pada Selasa ini.

Walaupun beraksi tanpa tiga pemain import, kualiti permainan Kedah yang meletakkan harapan sepenuhnya kepada pemain muda tempatan jelas tidak langsung terjejas.

Mereka mudah mendahului sebaik wisel permulaan dibunyikan apabila hantaran lintang Badrol Bakhtiar berjaya ditolak masuk Shafiq di depan gawang Pahang.

Khyril kemudiannya mempamerkan kebolehan melakukan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti untuk menghasilkan gol kedua.

Selepas itu giliran Fauzi mencipta gol ketiga yang caranya seakan serupa dengan gol kedua apabila merembat dari jarak 20 meter.

Biar pun Pahang berjaya merapatkan kedudukan menerusi Rosdi Talib (m-68) juga menerusi rembatan jarak jauh namun pemain gantian, Saramsak menutup sisa-sisa kebangkitan pasukan pelawat dengan menanduk masuk gol keempat hasil umpanan V. Thirumurugan.

Di Stadium Shah Alam pula, Selangor bangkit daripada ketinggalan satu gol di babak pertama sebelum mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Terengganu dalam satu lagi separuh akhir.

Ashaari Samsudin meletakkan pasukan pelawat lebih dulu di depan pada minit ke-25 tetapi Selangor berjaya membalas dua gol di babak kedua menerusi Shukur Adan (m-68) dan Safee Sali (m-88).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zamynGO9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Kedah, Selangor mara ke suku akhir

ARKIB : 28/03/2008
Pemain Sabah, Wong Sai Kong (kiri) cuba menghalang dari dibentes pemain PDRM, Sanjos Sundawat semasa perlawanan Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi. Sabah menang 3-1.

KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Kedah mengetuai tujuh lagi pasukan termasuk Selangor mara ke suku akhir Piala FA selepas berakhir perlawanan kedua pusingan kedua, semalam.

Kedah muncul pasukan yang mencatat kemenangan paling selesa apabila menewaskan Sarawak 2-0 di Stadium Sarawak, Kuching untuk mara menerusi kemenangan agregat 5-0.

Kedua-dua gol Kedah semalam dijaringkan Mohd. Fadly Baharom (m-30, 39). Sebelum ini di tempat sendiri, Kedah menang 3-0.

Selangor pula bangkit daripada ketinggalan untuk menang tipis 2-1 ke atas Perak pada perlawanan di Stadium Shah Alam untuk mara menerusi kemenangan agregat 6-5.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4yqD6L4rc
© Utusan Melayu (M) Bhd

FA: Laluan Kedah mudah



ARKIB : 11/03/2008
PETALING JAYA – Juara bertahan, Kedah berdepan laluan agak mudah apabila diundi menentang pasukan kedua tercorot Liga Super, Sarawak manakala pertembungan juara 1990 dan 1991, Perak dan Selangor bakal mencuri perhatian dalam perlawanan bola sepak pusingan kedua Piala FA pada 21 Mac ini.

Kedah yang nyaris disekat oleh PKNS dalam pusingan pertama sebelum layak dengan agregat 5-4, akan menjadi tuan rumah perlawanan pertama pusingan kedua di Stadium Darul Aman, Alor Star sebelum bertandang ke Kuching, 27 Mac ini.

Sang Kenari bimbingan Azraai Khor Abdullah bagaimanapun dihimpit jadual perlawanan padat dan masalah kecergasan pemain dalam tempoh dua hari apabila perlu melayani Perak bagi Liga Super pada 23 Mac ini yang ditunda akibat bertembung dengan Pilihan Raya Umum Ke-12.

Perak dan Selangor yang masing-masing menang di tempat lawan dalam Liga Super (4-2 dan 4-1), dipertemukan semula secara timbal balik bagi merebut tiket suku akhir Piala FA dalam majlis pengundian pusingan kedua ini yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Satu lagi pertemuan menarik pusingan kedua Piala FA melibatkan juara 2006, Pahang dengan KL PLUS bimbingan Mat Zan Mat Aris yang digelar ‘pembunuh gergasi’ kerana berjaya menumpaskan naib juara musim lalu, Perlis dalam pusingan pertama dengan agregat 5-2 pada 4 Mac lalu.

Dua pasukan yang mendapat laluan percuma ke pusingan kedua Piala FA ialah Terengganu dan Sabah dengan kedua-dua juara 2000 dan 1995 ini akan melayani Negeri Sembilan dan mengunjungi Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk menentang Polis.

Format pertandingan masih secara timbal balik dengan mana-mana kedudukan perlawanan yang terikat selepas perlawanan kedua pusingan kedua pada 27 Mac ini akan diputuskan menerusi peraturan gol di tempat lawan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yn8x57w1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 30 September 2017

Kedah singkir Perlis rangkul Piala FA



RKIB : 01/07/2007
 
JUARA... Pemain dan pegawai pasukan Kedah meraikan kejayaan mereka bersama piala kemenangan selepas muncul juara Piala Fa setelah menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai, Pulau Pinang, malam tadi. – Gambar Sazali Che Din.

NIBONG TEBAL 30 Jun – Kedah menjulang trofi Kejohanan Bola Sepak Piala FA musim 2006/07 buat kali kedua selepas 11 tahun dengan menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, malam ini.

Perlawanan terpaksa diheret hingga ke penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 0-0 selepas tamat saingan getir 120 minit.

Ini adalah gelaran kedua diperoleh Kedah selepas kali pertama muncul juara pada 1996 apabila menewaskan Sarawak 1-0 dalam perlawanan akhir.

Manakala bagi Perlis ini adalah kekecewaan ketiga sejak Piala FA mula diperkenalkan pada 1990 dan kali kedua berturut-turut dihampakan menerusi penentuan sepakan penalti.

Tahun lalu, skuad Singa Utara turut hampa untuk bergelar juara buat pertama kali apabila tunduk kepada Pahang 4-3 juga menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada perlawanan akhir 2003, Perlis tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan.

Kemenangan Kedah itu mencetuskan laluan skuad Hijau Kuning untuk memburu tiga kejuaraan dalam semusim selepas ini iaitu Piala Malaysia dan Liga Super.

Di hadapan kira-kira 40,000 penonton yang memenuhi setiap ruang stadium bertempik sorak sejurus pemain Kedah, Sabri Abu menyempurnakan sepakan penalti keempat yang membawa kemenangan mutlak kepada skuad hijau kuning bergelar juara.

Penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias muncul hero apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti awal Perlis menerusi Zacharia Simukonda dan Mohd. Nazaruddin Zain.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

Sebelum itu, kesesakan teruk di Stadium Batu Kawan ekoran jumlah kehadiran peminat yang luar biasa untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perlis malam ini, turut menjejaskan kelancaran laluan tetamu diraja ke stadium.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Tuanku Syed Sirajuddin menjadi antara ribuan peminat yang terperangkap dalam kesesakan itu, namun ia tidak menghalang hasrat baginda untuk terus menonton perlawanan itu.

Baginda dibawa keluar dari kesesakan itu dengan menaiki motosikal untuk ke stadium.

Sultan Kedah juga adalah antara yang terperangkap dalam kesesakan namun baginda tetap tidak membatalkan niat untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut.

Sementara itu, puluhan ribu penyokong kedua-dua pasukan yang tidak dapat menyaksikan perlawanan akhir itu akibat terperangkap dalam kesesakan tersebut, rata-rata menyalahkan pihak pengurusan perlawanan yang lemah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4uB5HK2Uh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 September 2017

Piala FA: FAM singkir TMFC



ARKIB : 05/04/2007
 PETALING JAYA – Gara-gara menurunkan pemain yang tidak memiliki Sijil Perpindahan Negeri (SPN), kemaraan Telekom Melaka (TMFC) ke suku akhir Piala FA telah dibatalkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Jawatankuasa yang bersidang dipengerusikan oleh Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar turut membatalkan kemenangan TMFC 2-0 ke atas Perlis pada saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Kangar, 27 Mac lalu.

Sebaliknya, Perlis pula diberikan kemenangan 3-0 ke atas TMFC sekali gus menyaksikan mereka kembali beraksi di suku akhir Piala FA bermula 15 Mei ini.

Jawatankuasa yang bersidang semalam, mendapati TMFC melanggar peraturan 4.6.8 kerana menurunkan bekas pemain skuad Piala Presiden Kelantan, Mohd. Farishan Ismail, 22, tanpa memiliki sijil SPN.

Mohd. Farishan yang pernah beraksi di Kelantan pada musim 2005/2006, bermain sebagai pemain gantian pada pertemuan Piala FA pusingan kedua di Stadium Utama Kangar yang dimenangi oleh TMFC.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) telah mengemukakan surat bantahan kepada jawatankuasa beliau bertarikh 29 Mac.

‘‘Mesyuarat semalam telah menyiasat dengan terperinci bantahan daripada PFA dan mendapati TMFC melanggar peraturan kerana menurunkan pemain yang belum mendapat sijil SPN,’’ ujarnya pada sidang akhbar selepas majlis undian Piala FA di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Mengikut peraturan 4.6.8 menyebut, mana-mana pasukan, pegawai dan pemain yang mengingkari peraturan perkara 4.6.1 hingga 4.6.7 atau mendaftar pemain menggunakan maklumat yang tidak tepat atau palsu walaupun telah disahkan pendaftaran oleh persatuan tetapi kemudiannya didapati tidak menepati syarat-syarat dan peraturan kelayakan dan pendaftaran maka pasukan dan pemain terbabit akan dibatalkan pendaftaran dan dikenakan tindakan mengikut 2.1.2.

Katanya, Mohd. Farishan dikenakan penggantungan sementara sehingga pedia memperoleh sijil SPN bagi membolehkannya kembali beraksi dan TMFC turut didenda RM10,000.

Dalam pada itu Raja Ahmad Zainuddin turut mengumumkan kelab KL Maju United digantung beraksi selama tiga tahun dan dikenakan denda sebanyak RM30,000.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tVWyXoTD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 16 September 2017

Tiga pasukan terima kejutan Piala FA



ARKIB : 07/02/2007

KUALA LUMPUR – Tiga pasukan elit Liga Super menjadi mangsa pertama pasukan kerdil disingkir pada pusingan pertama Piala FA yang berlangsung, semalam.

Paling mengejutkan pasukan di tangga ketiga Liga Super, Terengganu yang tumpas 0-2 kepada PBT Pasir Gudang dalam perlawanan di Stadium Larkin, Johor Bahru.

Dua gol dalam masa lima minit menerusi Mohd. Khairul Ismail (m-70) dan Tambo Masauso (m-75) membolehkan PBT Pasir Gudang penuh gah mara ke pusingan kedua.

Pulau Pinang pula menjadi mangsa Shahzan Muda di gelanggang sendiri iaitu Stadium Bandaraya apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti 4-2.

Kedudukan terikat 2-2 dalam permainan sebenar selepas Pulau Pinang memperoleh gol menerusi Mohd. Azrul Ahmad (m-21, 52) manakala Shahzan Muda kedua-duanya menerusi sepakan penalti Abd. Afees Abd. Salam (m-62) dan Victor Alejandro (m-88).

Pasukan Liga Perdana, Sabah pula mengejutkan Melaka 2-1 dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Gol skuad Badak dijaringkan Charles Obi menerusi sepakan penalti pada minit ke-5 dan gol padang Azrul Ijati Damsah minit ke-86 manakala gol tunggal Melaka dijaringkan Eduardo Escobar.

Pendahulu Liga Super, Perlis seperti dijangka mudah menewaskan Proton FC 4-0 dalam perlawanan di Stadium Utama, Kangar.

Gol-gol Perlis disumbang Francis Kombe (m-41), Philimon Chipieta (m-57) dan Azlan Ismail (m-63, 75)

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan NAZA diheret hingga ke masa tambahan sebelum mencatat kemenangan 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam 90 minit permainan sebenar dan masa tambahan sebelum lapan pemain bagi setiap pasukan terpaksa membuat sepakan penalti bagi mencari pemenang.

Di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, tuan rumah Kelantan menewaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 3-1.

DBKL bagaimanapun lebih dulu mengejutkan Kelantan dengan gol pendahuluan menerusi Mohd. Azmani Kadir pada minit ke- 32.

Namun, Kelantan bangkit dengan tiga gol bermula dengan jaringan Mohd. Saaufi Saaidi menerusi sepakan percuma pada minit ke-51.

Ini diikuti dengan dua lagi gol menerusi Gustaro Alberto Romeo (m-63) dan Khairan Eroza Razali (m-80).

Telekom Melaka juga melayakkan diri ke pusingan kedua selepas menewaskan Sarawak 2-0 dalam perlawanan di Stadium Petaling Jaya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sqi9YKkc
© Utusan Melayu (M) Bhd