ARKIB : 05/04/2007
PETALING JAYA Gara-gara
menurunkan pemain yang tidak memiliki Sijil Perpindahan Negeri (SPN), kemaraan
Telekom Melaka (TMFC) ke suku akhir Piala FA telah dibatalkan oleh Jawatankuasa
Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.
Jawatankuasa yang bersidang
dipengerusikan oleh Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar turut membatalkan
kemenangan TMFC 2-0 ke atas Perlis pada saingan pusingan kedua Piala FA di
Stadium Kangar, 27 Mac lalu.
Sebaliknya, Perlis pula
diberikan kemenangan 3-0 ke atas TMFC sekali gus menyaksikan mereka kembali
beraksi di suku akhir Piala FA bermula 15 Mei ini.
Jawatankuasa yang bersidang
semalam, mendapati TMFC melanggar peraturan 4.6.8 kerana menurunkan bekas
pemain skuad Piala Presiden Kelantan, Mohd. Farishan Ismail, 22, tanpa memiliki
sijil SPN.
Mohd. Farishan yang pernah
beraksi di Kelantan pada musim 2005/2006, bermain sebagai pemain gantian pada
pertemuan Piala FA pusingan kedua di Stadium Utama Kangar yang dimenangi oleh
TMFC.
Raja Ahmad Zainuddin berkata,
Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) telah mengemukakan surat bantahan kepada
jawatankuasa beliau bertarikh 29 Mac.
Mesyuarat semalam telah
menyiasat dengan terperinci bantahan daripada PFA dan mendapati TMFC melanggar
peraturan kerana menurunkan pemain yang belum mendapat sijil SPN, ujarnya
pada sidang akhbar selepas majlis undian Piala FA di Wisma FAM, Kelana Jaya,
semalam.
Mengikut peraturan 4.6.8
menyebut, mana-mana pasukan, pegawai dan pemain yang mengingkari peraturan
perkara 4.6.1 hingga 4.6.7 atau mendaftar pemain menggunakan maklumat yang
tidak tepat atau palsu walaupun telah disahkan pendaftaran oleh persatuan
tetapi kemudiannya didapati tidak menepati syarat-syarat dan peraturan
kelayakan dan pendaftaran maka pasukan dan pemain terbabit akan dibatalkan
pendaftaran dan dikenakan tindakan mengikut 2.1.2.
Katanya, Mohd. Farishan
dikenakan penggantungan sementara sehingga pedia memperoleh sijil SPN bagi
membolehkannya kembali beraksi dan TMFC turut didenda RM10,000.
Dalam pada itu Raja Ahmad
Zainuddin turut mengumumkan kelab KL Maju United digantung beraksi selama tiga
tahun dan dikenakan denda sebanyak RM30,000.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tVWyXoTD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan