RKIB : 01/07/2007
JUARA... Pemain dan pegawai
pasukan Kedah meraikan kejayaan mereka bersama piala kemenangan selepas muncul
juara Piala Fa setelah menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti
di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai, Pulau Pinang, malam tadi. Gambar
Sazali Che Din.
NIBONG TEBAL 30 Jun Kedah
menjulang trofi Kejohanan Bola Sepak Piala FA musim 2006/07 buat kali kedua
selepas 11 tahun dengan menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan
penalti dalam perlawanan akhir di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, malam ini.
Perlawanan terpaksa diheret
hingga ke penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat dengan
keputusan 0-0 selepas tamat saingan getir 120 minit.
Ini adalah gelaran kedua
diperoleh Kedah selepas kali pertama muncul juara pada 1996 apabila menewaskan
Sarawak 1-0 dalam perlawanan akhir.
Manakala bagi Perlis ini adalah
kekecewaan ketiga sejak Piala FA mula diperkenalkan pada 1990 dan kali kedua
berturut-turut dihampakan menerusi penentuan sepakan penalti.
Tahun lalu, skuad Singa Utara
turut hampa untuk bergelar juara buat pertama kali apabila tunduk kepada Pahang
4-3 juga menerusi penentuan sepakan penalti.
Pada perlawanan akhir 2003,
Perlis tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan.
Kemenangan Kedah itu
mencetuskan laluan skuad Hijau Kuning untuk memburu tiga kejuaraan dalam
semusim selepas ini iaitu Piala Malaysia dan Liga Super.
Di hadapan kira-kira 40,000
penonton yang memenuhi setiap ruang stadium bertempik sorak sejurus pemain
Kedah, Sabri Abu menyempurnakan sepakan penalti keempat yang membawa kemenangan
mutlak kepada skuad hijau kuning bergelar juara.
Penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi
Eliza Elias muncul hero apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti awal
Perlis menerusi Zacharia Simukonda dan Mohd. Nazaruddin Zain.
Sultan Kedah, Tuanku Abdul
Halim Mu'adzam Shah telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada
pemenang.
Sebelum itu, kesesakan teruk di
Stadium Batu Kawan ekoran jumlah kehadiran peminat yang luar biasa untuk
menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perlis malam ini, turut
menjejaskan kelancaran laluan tetamu diraja ke stadium.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku
Syed Faizuddin Tuanku Syed Sirajuddin menjadi antara ribuan peminat yang
terperangkap dalam kesesakan itu, namun ia tidak menghalang hasrat baginda untuk
terus menonton perlawanan itu.
Baginda dibawa keluar dari
kesesakan itu dengan menaiki motosikal untuk ke stadium.
Sultan Kedah juga adalah antara
yang terperangkap dalam kesesakan namun baginda tetap tidak membatalkan niat
untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut.
Sementara itu, puluhan ribu
penyokong kedua-dua pasukan yang tidak dapat menyaksikan perlawanan akhir itu
akibat terperangkap dalam kesesakan tersebut, rata-rata menyalahkan pihak
pengurusan perlawanan yang lemah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4uB5HK2Uh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan