Isnin, 12 September 2016

Jengking atasi Perak

ARKIB : 08/07/1998
Jengking atasi Perak
JOHOR melayakkan diri ke separuh akhir bola sepak Piala FA selepas menumpaskan Perak menerusi agregat 4-3 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Larkin, Johor malam tadi.

Walaupun tewas 1-2, Johor berjaya melepaskan diri ke separuh akhir selepas menumpaskan Perak 3-1 dalam perlawanan suku akhir pertama sebelum ini.

Johor mendahului pasukan Perdana Satu, Perak pada minit ke-27 melalui tandukan Idris Karim yang mendapat hantaran daripada Azmi Mohamad.

Perak yang seolah-olah cuba membaca rentak pasukan tuan rumah pada separuh masa pertama membuat perubahan dengan mengatur serangan ke kubu lawan.

Pada minit ke-51, pemain import Perak, Laszlo Repasi yang membuat satu tendangan percuma di luar kotak penaliti berjaya mengelirukan penjaga gol, Hasbulah Fatah untuk gol pertama Perak.

Jurang perbezaan jaringan itu berjaya dirapatkan lagi oleh Laszlo yang menyumbatkan satu lagi gol pada minit ke-72 juga melalui satu tendangan penaliti pada jarak 30 meter

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4K2m5p100 © Utusan Melayu (M) Bhd

Kuala Lumpur turut mara

ARKIB : 08/07/1998
Kuala Lumpur turut mara
KUALA LUMPUR mara ke separuh akhir bola sepak Piala F.A selepas menewaskan penyandang juara, Selangor 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi, lapor AMRAN MULUP.

Kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 4-4 selepas Selangor mencatat kemenangan 4-2 tamat masa penuh 90 minit. Pada perlawanan pertama Kuala Lumpur menang 2-0.

Biarpun perlawanan berlangsung hingga ke masa tambahan sudden-death namun tiada sebarang gol dihasilkan memaksa penentuan sepakan penalti menjadi penentu.

Tendangan penalti Azman Adnan dan Shahril Arsat berjaya diselamatkan oleh Azmin Azram manakala sepakan Nazim Din pula diselamatkan oleh Azlihsam Ibrahim.

Gol Selangor pada permainan sepenuh masa dijaringkan oleh Rusdi Suparman (37), Fidadi Mohamed (48 dan 54) dan Azman Adnan minit ke-83.

Kuala Lumpur pula memperolehi jaringan menerusi G. Muthu (62) dan Nazim Din minit ke-69.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4K2keeoQd © Utusan Melayu (M) Bhd

P. Pinang terkeluar

ARKIB : 08/07/1998
P. Pinang terkeluar
KECEMERLANGAN lalu gagal diulangi Pulau Pinang yang tewas menerusi sepakan penalti 2-4 untuk merelakan Sabah ke separuh akhir Piala FA selepas suku akhir pusingan kedua berakhir di Stadium Bandaraya malam tadi.

Merzagua Abderrazak yang memastikan kemenangan 1-0 Pulau Pinang malam tadi untuk mengikat agregat 1-1, sebaliknya menjadi pemusnah selepas gagal menyempurnakan penalti bersama seorang lagi pemain, Ooi Hoe Guan.

Bagaimanapun Sabah, yang menang 1-0 perlawanan pertama mendahului apabila sepakan penalti berjaya disempurnakan Mohd. Jaya Kassim, David Rocastle, Azlan Aripin dan Vaselic Kovasevic.

Sementara Balla Modou Conde dan S. Nanthakumar menyempurnakan penalti Pulau Pinang, tetapi ia tidak memadai untuk menyekat Sabah.

Babak pertama ternyata membosankan. Tanpa Domi Che Non, Pulau Pinang menyandarkan harapan kepada G. Shanmugan dan Merzagua tetapi gol yang diharapkan tidak kunjung tiba. Namun, kesilapan pertahanan Sabah menyaksikan Merzagua mudah mencuri bola dari kaki Jelius Ating sebelum membuat gerakan solo untuk menyepak masuk jaringan seminit kemudian.

Ketinggalan 0-1 memaksa Sabah bekerja keras mencari gol penyamaan. Kedua-dua pasukan terus gagal menghasilkan gol pada masa tambahan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4K2jVRD8V © Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah kalah teruk

ARKIB : 08/07/1998
Kedah kalah teruk
KEDAH menempah tiket ke separuh akhir dengan agregat 6-5 sekalipun dibelasah teruk oleh Melaka 1-5 dalam pertandingan Piala FA peringkat suku akhir pusingan kedua di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi.

Kedah yang mempamerkan permainan bersahaja selepas menang selesa pada pusingan pertama di Stadium Kubu membenarkan gawangnya dibolosi sebanyak lima kali menerusi Arfandy Lokman yang melakukan hatrick pada minit ke-23, 25 dan 79, Edward Dipreye (58) dan Moaoui Monoef (65).

Gol tunggal Kedah dihasilkan oleh Andre Luis Nascimento pada minit ke 54.

Melaka yang bermain bermati-matian dalam usaha mencari ruang ke separuh akhir mencipta banyak peluang namun gol yang dicari hanya hadir pada minit ke-23 bagi mendahului tuan rumah.

Penyerang pasukan Hang Tuah, Arfandy bertindak cemerlang dengan menggelecek tiga pemain pertahanan Kedah sebelum menewaskan penjaga gol S. Ragesh.

Arfandy sekali lagi menceriakan suasana dalam usaha menambah jaringan dengan gol keduanya dua minit kemudian apabila tendangan leretnya dari jarak 20 meter gagal ditepis oleh Ragesh.

Dalam keadaan Melaka begitu hebat melakukan serangan, Nascimento mencuri perhatian apabila meledakkan gol pertama Kedah pada minit ke-54 menerusi sepakan kencangnya di luar kotak penalti.

Hasil serangan bertubi-tubi pasukan pelawat akhirnya membuahkan hasil untuk mendapatkan gol ketiga pada minit ke-58 menerusi pemain importnya, Edward Dipreye.

Melaka terus menambah koleksi jaringan untuk gol keempat pada minit ke-65 melalui gerakan cantik Dipreye yang mengumpan bola kepada Moaoui untuk melakukan penyudahan.

Pada minit ke-79, Kedah pula mengalami tekanan apabila Arfandy mencipta hatrick untuk gol kelima Melaka selepas penyerang itu yang tidak dikawal melakukan larian ke arah gawang seterusnya menewaskan Ragesh.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K2iTkfbg © Utusan Melayu (M) Bhd

Empat tempat jadi rebutan -- Suku akhir Piala FA

ARKIB : 07/07/1998
Empat tempat jadi rebutan -- Suku akhir Piala FA
TANPA perlu memikirkan perjuangan empat negara pada kancah Piala Dunia, lapan pasukan di Malaysia pula akan berentap untuk mencari empat tempat dalam perlawanan suku akhir Piala FA, malam ini.

Jelas kehebatan Piala Dunia seolah-olah merentap kemeriahan Liga Malaysia tetapi apa yang lebih penting adalah memastikan mereka dapat melepasi ranjau meskipun kerancakannya jelas dirindui.

Apa yang pasti hanya Kedah dijangka akan melalui laluan selesa untuk ke separuh akhir setelah mendapat bekalan besar dengan membelelasah Melaka 5-0, pada pusingan pertama perlawanan.

Tugas yang harus diharungi oleh Melaka boleh diibaratkan sebagai hendak melepasi ombak setinggi gunung yang hampir pasti sukar dilepasi lebih-lebih lagi dengan bertandang di Alor Setar.

Perak yang bermain di Perdana Satu juga akan menghadapi tugas berat apabila bermain di Johor Bahru setelah ketinggalan 1-3 semasa di Ipoh.

Mungkin Johor boleh melebarkan senyuman kerana pasukan yang beraksi di Perdana Dua kali ini pasti tidak mahu melepaskan peluang terbaik untuk layak ke separuh akhir.

Namun Johor juga harus berhati-hati kerana Perak meskipun mempunyai masalah tersendiri mampu bangkit untuk memintas pasukan tuan rumah jika lawan mereka mengambil jalan mudah.

Sementara itu, pertemuan abang dan adik di Lembah Klang juga dijangka menarik kerana masing-masing mahu membuktikan kejaguhan masing-masing.

Bagitupun tekanan pasti berpihak kepada Selangor lebih-lebih lagi kini pasukan berkenaan kini sedang menghadapi kemelut kepimpinan termasuk prestasi menurun skuad Merah Kuning itu.

Dengan ketinggalan 0-2 serta peningkatan prestasi Kuala Lumpur selepas tampuk jurulatih diambil alih oleh Mat Zan Mat Aris sudah pasti akan merimaskan Selangor malam ini.

Keadaan sedemikian juga dijangka sudah cukup untuk menambah derita Selangor meskipun masih mempunyai harapan untuk melakukan kejutan pada perlawanan pusingan kedua suku akhir ini.

Perlawanan Pulau Pinang dan Sabah bagaimanapun dijangka rancak dan saingan sengit berdasarkan pasukan Mutiara hanya mendahalui 1-0 semasa pertemuan di Kota Kinabalu.

Meskipun perlawanan malam ini akan berlangsung di Pulau Pinang tetapi pasukan tuan rumah harus berhati-hati dengan kebangkitan Sabah yang dibarisi oleh pemain berpengalaman serta mempunyai semangat juang tinggi.

Keadaan ini sekiranya tidak diambil kira sudah pasti akan menggagalkan impian pasukan tuan rumah ke separuh akhir.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4K2gtS2OR © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 11 September 2016

Selangor tersungkur

ARKIB : 24/06/1998
Selangor tersungkur
 
REBUT... Pemain Kuala Lumpur, S. Paidiya Rau (no.7) berebut bola dengan pemain Selangor, Mehmet Durakovic sambil diperhatikan Nazzab Hidzan (kiri) dan P. Saravanan sewaktu perlawanan pertama suku akhir bola sepak Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi. Kuala Lumpur menang 2-0. - Gambar SAIFUL BAHARI SHAARI.

JUARA bertahan, Selangor tewas mengejut 2-0 kepada Kuala Lumpur pada perlawanan pertama suku akhir bola sepak Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Pasukan tuan rumah jelas tidak gentar berdepan dengan skuad Red Giants dengan mempamerkan permainan penuh bertenaga sebaliknya setiap serangan Selangor yang diketuai Azman Adnan dan Fidadi Mohamad serba tidak menjadi.

Di hadapan 1,500 penonton, penyerang bertubuh kecil yang semakin meningkat, Meor Nor Shamsul Kamal memukau Selangor dengan jaringan pembukaan pada minit ke-60 sebelum pemain tengah, P. Saravanan menambah duka Selangor dengan gol kedua pada minit ke-83.

Sementara di Stadium Darulaman, Kedah meletakkan sebelah kaki ke separuh akhir apabila menang besar 5-0 ke atas Melaka.

Zam Zam Abu Bakar dan Mohd. Rafdi Rashid masing-masing menjaringkan dua gol pada minit ke-33, 49, 69 dan 85, manakala satu gol lagi disumbat oleh Mohd. Sofi Mohd. Isa, minit ke-79.

Permainan jelas dikuasai pasukan pelawat yang tidak langsung memberi peluang Melaka untuk menembusi benteng mereka.

Begitu pun, Kedah terpaksa menunggu setengah jam untuk memecah kebuntuan apabila Zam Zam menyumbat masuk gol pembukaan.

Di Stadium Likas, tuan rumah Sabah menumpaskan Pulau Pinang 1-0 menerusi jaringan pemain import Veselin Kovacevic pada minit ke-54.

Sabah menguasai permainan, tetapi gagal menggunakan banyak peluang yang terhidang di depan mata untuk menambah gol.

Gol Sabah diperolehi menerusi sepakan sudut dari kiri gawang gol Pulau Pinang yang diambil Yap Wai Loon dan ditanduk masuk Kovacevic.

Kemenangan itu sedikit sebanyak menebus kekecewaan Sabah yang tewas kepada Pulau Pinang dalam Liga Perdana Satu, musim ini.

Sabah tewas 1-0 dalam perlawanan liga di Stadium Bandaraya dan seri 0-0 di Likas pada pusingan kedua.

Di Stadium Perak di Ipoh, pasukan tuan rumah kecundang 3-1 kepada Johor.

Dua bekas penyerang kebangsaan, Azmi Mohamad menjaringkan dua gol pada minit ke-31 dan 87 dan Rusdee Sulong menambah gol ketiga Johor, minit ke-64.

Gol tunggal Perak dijaringkan oleh penyerang import, Noel Kipre pada minit ke-44.

Perlawanan babak pertama seimbang, tetapi Johor membuka jaringan menerusi Azmi sebelum Kipre menyamakan kedudukan seminit sebelum waktu rehat.

Begitu pun, pasukan tuan rumah seperti tenggelam punca pada babak kedua yang menyaksikan Johor menggunakan peluang itu untuk menambah dua jaringan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4K03vJnf9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 10 September 2016

Selangor sekat Sarawak

ARKIB : 10/06/1998
Selangor sekat Sarawak
JUARA musim lalu, Selangor melangkah ke perlawanan suku akhir Piala FA apabila berjaya mengikat Sarawak dengan keputusan 1-1 di Stadium Sarawak, Kuching malam tadi.

Keputusan seri 1-1 membolehkan Selangor layak ke suku akhir menerusi agregat 3-2 selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 dalam perlawanan peringkat pertama di Stadium Shah Alam.

Jaringan Azman Adnan pada minit ke-80, seminit selepas pemain Sarawak yang berharga RM9.95, Bobby Chua menyumbat gol, sudah cukup untuk meleburkan impian tuan rumah untuk mara.

Perlawanan dimulakan dengan pertembungan antara Shamsurin Abd Rahman dengan penjaga gol Selangor, Abd Hadi Tahir sehingga menyaksikan permainan terhenti selama lima minit dan penjaga gol itu diusung keluar digantikan dengan Azlisham Ibrahim seawal minit pertama.

Pasukan pelawat membuka tirai serangan menerusi gerakan cantik enam minit kemudian apabila tendangan Asmawi Bakiri sedikit melampaui bucu kiri pintu gol Sarawak hasil daripada sepakan percuma di luar kotak penalti.

Selangor sekali lagi hampir berjaya melenyapkan sorakan 7,000 penyokong Bujang Senang menerusi tendangan Azman Adnan pada minit ke-15 hasil larian solonya selepas mendapat umpanan dari tengah padang.

Bagaimanapun penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid yang bersedia dengan kedatangan Azman itu sempat menepis bola yang menuju ke arahnya.

Sarawak yang cuba menyamai agregat mula melakukan gerakan tetapi penyudah yang lemah menyebabkan mereka berputih mata dengan menyaksikan percubaan melepasi palang gol pada minit ke-27 dan 41.

Permainan yang disambung semula menyaksikan Sarawak ghairah mencari gol namun pasukan tuan rumah itu hampir dikejutkan dengan tendangan kencang Azman yang mengenai badan penjaga gol setelah menerima hantaran daripada Shahril.

Gol yang dicari-cari oleh Sarawak kunjung tiba pada minit ke-79 hasil tandukan Billy Chua setelah menerima hantara Ramles Sari.

Bagaimanapun kegembiraan penyokong tuan rumah hanya bertahan tidak sampai seminit apabila tendangan deras Azman Adnan memukau pertahanan Sarawak untuk menyamakan kedudukan.

Sementara itu, Perak tidak perlu bekerja keras untuk melayakkan diri ke suku akhir apabila menang mudah 3-0 kepada NS Cempaka di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Dengan beraksi di hadapan 200 penonton, pasukan pelawat layak dengan agregat 6-1 selepas datang dengan bekalan 3-1 sebelum ini.

Skuad bimbingan Khaidir Buyong sememangnya mempamerkan aksi cemerlang selepas kecewa dalam beberapa perlawanan dalam Perdana Satu.

Gol kemenangan Perak dijaringkan oleh Noel Arthur Kipre minit ke-9,57 dan M. Nagarajah (85).

Kemenangan tersebut memberi peluang kepada Perak untuk menaikkan kembali reputasi yang agak kurang memberangsangkan buat masa ini.

Di Stadium Kubu, Melaka melakukan kejutan untuk layak ke suku akhir selepas membelasah Negeri Sembilan 4-1 dalam perlawanan Piala FA pusingan kedua, malam tadi.

Kemenangan mengejutkan diperoleh oleh Melaka membolehkan mereka layak dengan agregat 5-2 selepas mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan peringkat pertama.

Gol-gol Melaka telah dijaringkan oleh Mohd. Faizal Mat Isa (m-4), Moaur Nonces (m-18 dan m-25) dan Azni Ariffin (m-90) manakala gol saguhati Negeri Sembilan dijaringkan oleh Affendi Abdul Malik (m-40).

Sementara itu dalam perlawanan yang sama di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang kembali bangkit tidak menghadapi masalah untuk menempah tempat ke suku akhir Piala FA.

Skuad warga kota tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan cabaran Polis apabila mencatat kemenangan selesa 3-0.

Ini membolehkan Kuala Lumpur mara ke suku akhir menerusi agregat 4-0 selepas dalam perlawanan pertama mereka mencatat kemenangan tipis 1-0.

Gol-gol kemenangan Kuala Lumpur menerusi Meor Nor Ismail (m-15), M.Chandran (m-54) dan Meor Nor Shamsul (m-80).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JsK0sFvu © Utusan Melayu (M) Bhd