Nazri Abu Bakar-sukan@hmetro.com.my
Melaka: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menepati sebagai skuad pilihan selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Azam pelawat untuk mencipta kemenangan jelas membara seawal minit pertama menerusi rembatan Azamuddin Akil dan sepakan percuma kapten Safiq Rahim pada minit keenam namun tinggi melepasi palang gol tuan rumah.
The Cops yang lebih banyak menunggu asakan Harimau Selatan dilihat gagal menembusi benteng Johor hingga ke minit ke-31 menerusi rembatan Nizam Rodzi yang terbias ke kiri gawang lawan.
Namun hampir keseluruhan aksi dikuasai anak buah Mario Gomez yang memiliki peluang menghasilkan jaringan menerusi percubaan Jorge Pereyra Diaz pada minit kelapan dan 22 yang sedikit tersasar ke kiri dan kanan gawang PDRM.
Gol Johor DT terhasil menerusi sepakan penalti Juan Martin Lucero pada minit ke-18 selepas dia dijatuhkan Hazsyafiq Hamzah untuk mudah buatnya menghadiahkan gol paling bernilai pelawat.
Permainan yang dilihat sebagai sekadar tontonan hiburan buat peminat menerusi hantaran pendek dan deretan percubaan Johor DT itu memperlihatkan empat kad kuning dalam tempoh 45 minit buat anak buah Fauzi Pilus yang sibuk bertahan.
Gol tunggal Lucero sudah cukup buat pelawat lega menjelang suku akhir kedua selepas Safuwan Baharudin (m-71) dan Ali Ashfaq (m-90) gagal menyamakan kedudukan.
Manakala tolakan Diaz (m-59) ditepis Haziq dan tandukan Aidil Zafuan Radzak tinggi melepasi palang pada (m-84) dan rembatan Safiq (m-89) menggegar tiang kanan PDRM untuk kekal dengan kelebihan satu gol.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:11 AM
LUCERO (tengah) melakukan percubaan ke arah gol PDRM.
- SUMBER http://www.hmetro.com.my/node/124057#sthash.DD8yEjZJ.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan