Ahad, 6 Mac 2016

5 pasukan lengkapkan saingan suku akhir

05 Mac 2016 11:36 PM
KUALA LUMPUR 5 Mac - Juara dua kali, Perak mengetuai kemaraan lima lagi pasukan ke suku akhir Piala FA selepas jaringan tunggal pemain import, Vokhied Shodiev membolehkan skuad Bos Gaurus menang tipis 1-0 ke atas Kuantan FA di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.
Turut mengiringi Perak ke peringkat lapan terbaik adalah juara tiga kali, Kuala Lumpur, Sabah, PKNS FC dan Sime Darby.
Semalam, Johor Darul Ta’zim (JDT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kedah menjadi tiga pasukan pertama melayakkan diri ke suku akhir.
Kuala Lumpur meneruskan prestasi baik dalam Liga Perdana dengan menumpaskan Perlis 2-0 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, berterima kasih kepada jaringan Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-19 dan Muhammad Hafiz Mohd. Johar, minit ke-24.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang terus ditimpa malang apabila tumpas 0-1 kepada pasukan berstatus kelab, Sime Darby, yang memperoleh gol tunggal kemenangan menerusi Syed Sobri Syed Mohamad seawal minit kelima.
Sabah pula melangkah ke suku akhir pertama dalam tempoh lapan tahun selepas jaringan Prince Nnake pada minit ke-12 dan Maxsius Musa di minit ke-46 membolehkan mereka menumpaskan pasukan bermasalah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Gol tunggal pasukan pelawat dijaringan oleh Muhammad Faiz Ibrahim pada minit ke-22.
Sementara itu, Felda United mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas dikejutkan oleh PKNS FC 3-2 dalam saingan di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Felda United terlebih dulu membuka jaringan menerusi Francis Forkey Doe pada minit ke-15 untuk memastikan The Fighters mendahului saingan pada separuh masa pertama.
Begitupun, PKNS bertindak agresif sebaik saja babak kedua bersambung dengan meledak tiga gol menerusi Gabriel Guerra pada minit ke-49, diikuti jaringan Matias Nicholas (m65) dan Mohd. Nazrin pada minit ke-69 untuk membolehkan tuan rumah mendahului 3-1.
Mohd. Hadin Azman cuba merapatkan jurang 3-2 buat Felda pada minit ke-76, namun jaringan tersebut gagal menyelamatkan The Fighters daripada mengalami kekalahan. Undian perlawanan suku akhir akan diadakan pada pukul 9.30 pagi esok.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/5-pasukan-lengkapkan-saingan-suku-akhir-1.197366#sthash.vfBwr69k.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan