Khamis, 6 Februari 2014

'Siasatan tanpa mengira individu'

SIASATAN berhubung insiden kekecohan perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan T-Team akan dibuat secara profesional tanpa mengira individu yang berada di belakang kedua-dua pasukan berkenaan.

Demikian tegas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar di Kuala Terengganu semalam.

"Saya rasa tidak perlu ragu-ragu dan kita akan telus dalam siasatan berkenaan, tidak kiralah pasukan dari mana dan siapa pun di belakang pasukan itu. Jangan risau, saya sendiri beri jaminan yang siasatan dijalankan secara telus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung insiden perlawanan pusingan kedua Piala FA antara T-Team dan Johor DT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru Sabtu lalu.

Khalid berkata, setakat ini pihaknya telah menerima laporan daripada kedua-kedua pasukan berhubung insiden itu.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mula merakamkan percakapan kira-kira 15 orang bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu.

"Pertengkaran biasa dalam sukan, ini bukan kali pertama pertembungan kuat dua kumpulan, jadi saya menyeru kepada penyokong agar bersabar dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang, biar kita jalankan siasatan terlebih dahulu.

"Serahkan kepada kita untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan, perlawanan liga perlu diteruskan dan kita tidak boleh mencacatkan pertandingan seterusnya,” kata Khalid.

Sabtu lalu perlawanan pusingan kedua Piala FA antara T-Team menentang Johor DT di Larkin tidak diteruskan pada separuh masa kedua apabila T-Team tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Pada masa itu, Johor DT mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Berikutan itu, Polis Terengganu menerima empat laporan polis daripada pasukan T-Team tengah malam Ahad lalu berhubung insiden itu. – Bernama




KOSMO ONLINE 6.2.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan