Jumaat, 7 Februari 2014

JDT menang 3-0, mara ke suku akhir

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Fahmy Yahya (kanan) dan penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim (tengah) meninggalkan bilik mesyuarat selepas mendengar keputusan JKPT berhubung perlawanan Piala FA JDT dengan T-Team, di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam. - BERNAMA
PETALING JAYA - Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) semalam diberikan kemenangan 3-0 ke atas T-Team dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA yang tertunda pada masa rehat Sabtu lalu oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sekali gus layak ke suku akhir.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengumumkan keputusan itu berkata, JKPT membuat rumusan berdasarkan laporan dan soal siasat membabitkan komisioner perlawanan, pegawai penyelaras, pengadil dan pegawai kedua-dua pasukan.

Jelasnya, alasan T-Team menarik diri atas faktor keselamatan dengan apa yang berlaku ketika menuju bilik persalinan tidak boleh diterima kerana pegawai perlawanan yang terdiri daripada komisioner perlawanan atau jurulatih memutuskan permainan masih selamat untuk dijalankan.

Walaupun begitu, skuad kendalian Mohd. Azraai Khor itu bernasib baik apabila JKPT tidak berhasrat mengenakan denda selain hanya mengenakan amaran keras supaya tidak mengulangi perkara yang sama pada masa akan datang.

"Setelah mengambil keterangan semua pihak, mengikut peraturan Liga Malaysia 2013-2016, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) berpuas hati untuk memberikan kemenangan 3-0 kepada JDT dan layak ke suku akhir Piala FA berdasarkan perkara 4.12.15b iaitu menarik diri dan gagal bermain.

"Merujuk kepada peraturan yang kita bincang iaitu di bawah 4.12.1, alasan keselamatan yang diberikan T-Team untuk menarik diri tidak cukup kuat kerana hanya pegawai pertandingan sahaja boleh menentukan, mereka (T-Team) tidak ada hak.

"Mereka telah dipanggil oleh pengadil untuk menyambung permainan tetapi mereka enggan, jadi daripada segi peraturan, JDT berhak diberikan kemenangan percuma," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, yang turut dihadiri Pengerusi JKPT, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Keputusan itu bermakna JDT akan menentang Kedah dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos pada 11 Februari manakala aksi timbal balik kedua pada 18 Februari yang berlangsung di Stadium Darul Aman.

Perlawanan pusingan kedua Piala FA pada Sabtu lalu tertunda apabila T-Team enggan meneruskan permainan babak kedua setelah berlaku pergaduhan di dalam terowong ke bilik persalinan.

Kelab dari Terengganu itu mendakwa seorang pemain dan jurulatih kecergasannya diserang oleh pengawai tertinggi JDT, menyebabkan mereka membuat keputusan untuk tidak menyambung perlawanan.

JDT sedang mendahului dengan 2-1 sebelum rehat melalui dua gol pemain dari Argentina, Luciano Figueiroa manakala gol tunggal T-Team dihasilkan oleh Mohd. Marzuki Yusof.

Mengulas perkara yang sama, Afandi berkata, isu pergaduhan adalah kes yang berbeza dan akan diadili oleh Jawatankuasa Tatatertib serta pihak sekretariat, manakala keputusan semalam hanya membabitkan keputusan perlawanan.

"Apa yang berlaku di dalam terowong, pihak kami akan teruskan siasatan kerana ini dua isu yang berbeza dan sekretariat akan ambil tindakan lanjut jika ada kes yang dibawa ke jawatankuasa tatatertib," katanya.

Sementara itu, Afandi berkata perlawanan Liga Perdana membabitkan Felda United dan Kedah serta UiTM dan PDRM pada 10 Februari ditunda bagi memberi laluan kepada perlawanan Piala FA pada 11 Februari.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140207/su_01/JDT-menang-3-0-mara-ke-suku-akhir#ixzz2scj8snh6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan