Sabtu, 17 Jun 2017

Kelantan elak sikap terlalu yakin



ARKIB : 12/02/2006
KOTA BHARU - Jurulatih Kelantan, Kamaruddin Mohd. Noor tidak mahu pasukannya terlalu yakin dengan bekalan dua gol yang diperoleh hasil kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang pada perlawanan pusingan pertama Piala FA di sinim, Rabu lalu.

Ini kerana kata beliau, dalam bola sepak, kelebihan dua atau tiga gol bukanlah sesuatu yang boleh dianggap selesa kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit permainan.

Jelasya, ini pernah berlaku kepada Kelantan sendiri dalam pusingan awal Piala FA musim lalu apabila tewas terlebih dahulu kepada Perlis 4-1 di Kangar sebelum bangkit kemudiannya di Kota Bharu yang seterusnya memenangni penentuan sepakan penalti.

Namun, beliau tetap optimis anak-anak buahnya mampu mengekalkan prestasi terbaik apabila bertandang ke Pulau Pinang bulan depan seperti yang ditunjukkan bermula dengan permainan menentang Kedah dalam perlawanan Liga Perdana, Sabtu lalu.

``Saya berpuas hati dengan mereka kerana jelas banyak peningkatan telah berlaku ketika menentang Pulau Pinang berbanding dengan perlawanan sebelumnya termasuk ketika menwaskan Kedah sendiri,'' katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4kGaTRjgh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 10 Jun 2017

Selangor, Perak selesa



 
ARKIB : 20/01/2006
FANDI Ahmad (kanan) dan Setiausaha Agung FAM, Ibrahim Saad (kiri) menayangkan kertas yang tertera nama pasukan pada majlis undian bola sepak Piala FA di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - FAUZI BAHARUDIN.

PETALING JAYA - Undian persaingan bola sepak kalah mati Piala FA semalam menyaksikan laluan mudah terbentang buat juara bertahan, Selangor dan naib juara, Perak sambil pertemuan dua tetangga, Kedah dan Perlis menjanjikan tarikan.

Bagi pusingan pertama, Selangor diundi menentang Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sementara Perak disaingi oleh Kuala Lumpur dan pertemuan abang dengan adik di Utara Semenanjung itu ibarat ulangan perlawanan akhir Piala Malaysia 2004.

Kebanyakan pasukan negeri yang beraksi dalam Liga Super dan Perdana ketika ini, turut mendapat lawan daripada kalangan skuad kelab kecuali Pulau Pinang yang diundi menentang Kelantan sebagaimana Perak-Kuala Lumpur dan Perlis-Kedah.

Pasukan pertama pada Piala FA dari luar negara, skuad Bawah 23 Tahun Singapura pula diundi menentang Shahzan Muda Pahang, sebuah kelab yang muncul naib juara Piala FAM musim lalu dan kini beraksi dalam Kumpulan B Liga Perdana.

Undian di Wisma FAM di sini turut menyaksikan pendahulu Liga Super juga juara FA 2003, Negeri Sembilan beroleh lawan yang kurang mencabar, Syarikat Air Johor (SAJ).

Juara FA 1992, Sarawak yang turut menerajui Kumpulan A Liga Perdana, dicabar Proton Selangor sementara Melaka yang mengetuai Kumpulan B Liga Perdana berdepan NTFA Pulau Pinang dalam pusingan pertama.

Terengganu yang menjulang Piala FA 2000 yang diperkenalkan sedekad sebelumnya, bagaimanapun menghadapi laluan sukar menentang Johor FC yang menduduki tempat kedua Kumpulan B Liga Perdana.

Pusingan pertama Piala FA yang melibatkan 32 pasukan ini bakal berlangsung pada 8 Februari ini dan ulangannya pada 15 Februari ini dan 16 pasukan yang melepasinya, perlu menanti nasib seterusnya dalam undian pusingan kedua pada 27 Februari.

Perlawanan pusingan kedua dijadualkan pada 15 dan 29 Mac ini, undian suku akhir pada 30 Mac ini dengan tarikh perlawanan, 5 dan 19 April ini, undian separuh akhir (20 April ini) dan perlawanan (29 April dan 13 Mei ini) dan perlawanan akhir, 27 Mei ini.

Jurulatih Bawah 23 Tahun Singapura, Fandi Ahmad mengakui menghadapi laluan sukar selain mengadu kekurangan pemain kerana kerahan tenaga tentera sedangkan Shahzan Muda merupakan pasukan yang jauh berpengalaman.

``Lapan pemain kami juga akan bersama skuad kebangsaan ke Kuwait dan Qatar sebagai persediaan Kelayakan Piala Asia dan kami memohon mengubah jadual pusingan pertama FA ke 12 dan 19 Februari ini,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jboPMPod
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 4 Jun 2017

Red Giants gegar Shah Alam

ARKIB : 25/09/2005
 
Oleh: AMRAN MULUP dan SAYED HISHAM SAYED IDRIS

PEMAIN-pemain Selangor menjulang Piala FA di Stadium Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Sentuhan jaringan pemain import dari Indonesia dan Argentina memastikan Selangor mendakap Piala FA selepas menewaskan penyandang juara, Perak 4-2 pada perlawanan akhir paling hebat di Stadium Shah Alam, semalam.

Dua gol Bambang Pamungkas pada minit kelapan dan 87, Elie Aiboy (43) dan Brian Fuentes (68) itu pasti dikenang oleh penyokong Merah Kuning yang menyaksikan Red Giants menjulang Piala FA kali keempat selepas tahun 1991, 1997 dan 2001.

Kejayaan Selangor ini merupakan yang kedua pada musim ini selepas menjulang Piala Liga Perdana, Julai lalu dan bakal bertambah menjadi treble apabila menentang Perlis dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Sejurus selepas tiupan wisel penamat oleh pengadil, Ibrahim Muhammad, kesemua pemain Selangor termasuk jurulatih, Dollah Salleh dan pengurus pasukan, Datuk Satim Diman serta pemain simpanan berpelukan sesama sendiri sambil menangis kegembiraan ketika meraikannya.

Kejayaan Selangor dalam edisi ke-16 ini turut disambut oleh sorakan bingit puluhan ribu penyokong Merah Kuning selain paluan kompang dan percikan bunga api.

Buat Perak yang turun dengan gelaran yang disandang musim lalu hampa untuk mengekalkan kejuaraan yang dimiliki mengakui akan kekentalan Selangor.

Seawal minit pertama Selangor menguji kehebatan penjaga gol Perak, Mohd. Hamsani Ahmad menerusi sepakan percuma D. Surendran dari jarak 25 meter tepat ke dakapan penjaga gol itu.

Dua minit selepas itu Perak nyaris-nyaris meledakkan jaringan apabila tandukan kencang Keita Mandjou ditepis keluar oleh Jamsari Sabian.

Permainan kedua-dua pasukan bertambah rancak dengan sorakan kira-kira 80,000 penyokong yang memenuhi setiap ruang di Stadium Shah Alam.

Buruan mencari gol jelas memihak kepada Selangor apabila Bambang Pamungkas meledakkan sepakan percuma dari luar kotak penalti Perak yang terus menerjah jaring gagal diselamatkan oleh Hamsani pada minit kelapan.

Gol tersebut disambut dengan pekik sorak kira-kira 60,000 penyokong Merah Kuning menggamamkan seketika penyokong Perak yang dianggarkan kira-kira 20,000.

Pada minit ke-23 Perak berjaya menyamakan kedudukan 1-1 apabila Abdoulaye Traore yang tidak dikawal mudah menolak masuk hantaran Shahrulnizam Mustafa menewaskan Jamsari.

Bagaimanapun, seminit selepas itu gol kedua Selangor jaringan Brian Fuentes dibatalkan oleh Ibrahim kerana berlaku kekasaran di kawasan kotak penalti Perak.

Dua minit sebelum rehat Stadium Shah Alam kembali bergema dengan pekik sorak apabila pemain lincah, Elie Aiboy meletakkan Selangor kembali mendahului 2-1.

Dari jarak 25 meter Aiboy sambil berlari melepaskan rembatan dari jarak 25 meter terus menerjah jaring gagal diselamatkan oleh Mohd. Hamsani.

Selangor mengukuhkan kedudukan apabila Fuentes menjaringkan gol ketiga pada minit ke-68 hasil sepakan lambung tinggi dan Bambang menambah gol dengan tandukan ke penjuru gawang Perak, tiga minit sebelum tamat.

Perak pula merapatkan jurang dengan gol kedua menerusi tandukan pemain gantian, Mohd. Nor Ismail, dua minit sebelum permainan berakhir.

PERAK: Mohd. Hamsani Ahmad, Marian Juhas, Syamsul Mohd. Saad, Shahrulnizam Mustafa, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Chan Wing Hoong, Keita Mandjou, Abdoulaye Troare, Wirat Nom, V. Thirumurugan, K. Yoganathan.

SELANGOR: Jamsari Sabian, Ahmad Tarmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, Elie Aiboy, Brian Fuentes, K. Sanbagamaran, P. Gunalan, Mohd. Amri Yahyah, D. Surendran, Bambang Pamungkas, Muhammad Shukor Adan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j3Ne9hWd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perak sanggup berputih tulang



ARKIB : 24/09/2005

PETALING JAYA Ñ Perak menjanjikan persembahan paling mantap dan tidak akan membiarkan Selangor merangkul Piala FA pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam ini.

Laungan keyakinan itu dilontarkan oleh jurulatih Toni Netto yang menyifatkan ketiadaan dua tonggak utama, ketua pasukan, K. Nanthakumar dan penyerang Frank Seator tidak sama sekali menjejaskan rentak dan corak Perak untuk meleburkan impian Selangor.

``Saya menjadi jurulatih Perak sejak tahun 2002 dengan silih berganti skuad saya tidak ketinggalan mengukir kejayaan.

``Tahun lalu Perak menang Piala FA dan tahun ini kita mara lagi dengan pengalaman lalu dan tidak akan menghampakan impian untuk menewaskan Selangor,'' ujar Netto dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Wajah Netto jelas tidak membayangkan keresahan walaupun menyedari Selangor jelas memiliki segala kelebihan apa lagi bermain di gelanggang sendiri.

Buat jurulatih berasal dari Brazil itu, kelebihan milik Selangor yang bermain di gelanggang sendiri langsung tidak mengundang rasa gentar.

``Kami datang untuk menang, mana ada jurulatih layak ke akhir tidak mahu menang, saya cukup pasti Perak boleh melakukannya,'' tegasnya.

Beliau mengakui Selangor memiliki kesebelasan utama paling mantap tetapi Perak tidak kurang hebatnya untuk menyaingi setiap pergerakan pemain Merah Kuning.

Netto menambah, barisan pemain skuadnya tampak tambah bersemangat dan tidak sabar untuk berdepan dengan Selangor.

Netto menambah, skuad Perak sesekali tidak gentar beraksi di tempat lawan malah akan berjuang habis-habisan untuk menjadi juara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j3KbKwk4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perak atau Selangor



ARKIB : 24/09/2005
 
PETALING JAYA - Walau apa cara sekali pun pemain Selangor mesti memenangi Piala FA,'' demikian amanat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada pemain skuad Merah Kuning.

Amanat tersebut disampaikan oleh presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kepada barisan pemain Selangor sebagai azimat pertemuan dengan Perak di Stadium Shah Alam, malam ini.

Mohamad Khir berkata, amanat daripada Sultan Selangor itu seharusnya menjadi suntikan semangat pemain bagi memastikan kejuaraan Piala FA menjadi milik Selangor.

``Saya yakin pemain Selangor boleh melakukannya, kita sebenarnya adalah pasukan terbaik di Malaysia dan pemain perlu membuktikannya.

``Saya yakin dengan barisan pemain Selangor kerana kita ada kelebihan ketahanan mental, berdisiplin dan tidak patah semangat walaupun ketinggalan,'' ujar beliau.

Mohamad Khir menyatakan demikian dalam pertemuan singkat dengan barisan pemain Selangor yang menjalani latihan ringan di padang PKNS, Kelana Jaya di sini, semalam.

Beliau berkata, kemenangan yang bakal dicapai itu akan melenyapkan kritikan pedas beberapa pihak yang mempertikaikan usaha FAS berbelanja besar ke atas pengurusan dan pemain musim ini.

``Bila Selangor berjaya ke akhir Piala FA dan Piala Malaysia baru mereka sedar usaha yang kita buat itu berhasil dan membawa kejayaan.

``Malam esok (malam ini) adalah peluang keemasan yang tidak wajar disia-siakan oleh pemain untuk membawa pulang Piala FA,'' tegasnya.

Beliau menambah, pelbagai ganjaran menanti pemain jika merealitikan impian menjulang kedua-dua kejuaraan tersebut selain imbuhan daripada FAS, Selangor musim depan akan mendapat dua atau tiga penaja baru.

Sehubungan itu juga, Mohamad Khir menasihatkan pemain agar memberikan komitmen dan bermain bersungguh-sungguh bagi memastikan kejayaan menjadi milik Selangor.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j3IdTxZD
© Utusan Melayu (M) Bhd