ARKIB : 20/01/2006
FANDI Ahmad (kanan) dan
Setiausaha Agung FAM, Ibrahim Saad (kiri) menayangkan kertas yang tertera nama
pasukan pada majlis undian bola sepak Piala FA di Wisma FAM, Kelana Jaya,
semalam. - FAUZI BAHARUDIN.
PETALING JAYA - Undian
persaingan bola sepak kalah mati Piala FA semalam menyaksikan laluan mudah
terbentang buat juara bertahan, Selangor dan naib juara, Perak sambil pertemuan
dua tetangga, Kedah dan Perlis menjanjikan tarikan.
Bagi pusingan pertama, Selangor
diundi menentang Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sementara Perak disaingi
oleh Kuala Lumpur dan pertemuan abang dengan adik di Utara Semenanjung itu
ibarat ulangan perlawanan akhir Piala Malaysia 2004.
Kebanyakan pasukan negeri yang
beraksi dalam Liga Super dan Perdana ketika ini, turut mendapat lawan daripada
kalangan skuad kelab kecuali Pulau Pinang yang diundi menentang Kelantan
sebagaimana Perak-Kuala Lumpur dan Perlis-Kedah.
Pasukan pertama pada Piala FA
dari luar negara, skuad Bawah 23 Tahun Singapura pula diundi menentang Shahzan
Muda Pahang, sebuah kelab yang muncul naib juara Piala FAM musim lalu dan kini
beraksi dalam Kumpulan B Liga Perdana.
Undian di Wisma FAM di sini
turut menyaksikan pendahulu Liga Super juga juara FA 2003, Negeri Sembilan
beroleh lawan yang kurang mencabar, Syarikat Air Johor (SAJ).
Juara FA 1992, Sarawak yang
turut menerajui Kumpulan A Liga Perdana, dicabar Proton Selangor sementara
Melaka yang mengetuai Kumpulan B Liga Perdana berdepan NTFA Pulau Pinang dalam
pusingan pertama.
Terengganu yang menjulang Piala
FA 2000 yang diperkenalkan sedekad sebelumnya, bagaimanapun menghadapi laluan
sukar menentang Johor FC yang menduduki tempat kedua Kumpulan B Liga Perdana.
Pusingan pertama Piala FA yang
melibatkan 32 pasukan ini bakal berlangsung pada 8 Februari ini dan ulangannya
pada 15 Februari ini dan 16 pasukan yang melepasinya, perlu menanti nasib
seterusnya dalam undian pusingan kedua pada 27 Februari.
Perlawanan pusingan kedua
dijadualkan pada 15 dan 29 Mac ini, undian suku akhir pada 30 Mac ini dengan
tarikh perlawanan, 5 dan 19 April ini, undian separuh akhir (20 April ini) dan
perlawanan (29 April dan 13 Mei ini) dan perlawanan akhir, 27 Mei ini.
Jurulatih Bawah 23 Tahun
Singapura, Fandi Ahmad mengakui menghadapi laluan sukar selain mengadu
kekurangan pemain kerana kerahan tenaga tentera sedangkan Shahzan Muda
merupakan pasukan yang jauh berpengalaman.
``Lapan pemain kami juga akan
bersama skuad kebangsaan ke Kuwait dan Qatar sebagai persediaan Kelayakan Piala
Asia dan kami memohon mengubah jadual pusingan pertama FA ke 12 dan 19 Februari
ini,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jboPMPod
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan