ARKIB : 24/09/2005
PETALING JAYA - Walau apa cara
sekali pun pemain Selangor mesti memenangi Piala FA,'' demikian amanat Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada pemain skuad Merah Kuning.
Amanat tersebut disampaikan
oleh presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir
Toyo kepada barisan pemain Selangor sebagai azimat pertemuan dengan Perak di
Stadium Shah Alam, malam ini.
Mohamad Khir berkata, amanat
daripada Sultan Selangor itu seharusnya menjadi suntikan semangat pemain bagi
memastikan kejuaraan Piala FA menjadi milik Selangor.
``Saya yakin pemain Selangor
boleh melakukannya, kita sebenarnya adalah pasukan terbaik di Malaysia dan
pemain perlu membuktikannya.
``Saya yakin dengan barisan
pemain Selangor kerana kita ada kelebihan ketahanan mental, berdisiplin dan
tidak patah semangat walaupun ketinggalan,'' ujar beliau.
Mohamad Khir menyatakan
demikian dalam pertemuan singkat dengan barisan pemain Selangor yang menjalani
latihan ringan di padang PKNS, Kelana Jaya di sini, semalam.
Beliau berkata, kemenangan yang
bakal dicapai itu akan melenyapkan kritikan pedas beberapa pihak yang
mempertikaikan usaha FAS berbelanja besar ke atas pengurusan dan pemain musim
ini.
``Bila Selangor berjaya ke
akhir Piala FA dan Piala Malaysia baru mereka sedar usaha yang kita buat itu
berhasil dan membawa kejayaan.
``Malam esok (malam ini) adalah
peluang keemasan yang tidak wajar disia-siakan oleh pemain untuk membawa pulang
Piala FA,'' tegasnya.
Beliau menambah, pelbagai
ganjaran menanti pemain jika merealitikan impian menjulang kedua-dua kejuaraan tersebut
selain imbuhan daripada FAS, Selangor musim depan akan mendapat dua atau tiga
penaja baru.
Sehubungan itu juga, Mohamad
Khir menasihatkan pemain agar memberikan komitmen dan bermain
bersungguh-sungguh bagi memastikan kejayaan menjadi milik Selangor.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j3IdTxZD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan