Isnin, 26 Jun 2017

Piala FA milik Pahang

ARKIB : 21/05/2006
Oleh: AMRAN MULUP dan NORZIE KHASBI
 
JUARA...SKUAD Pahang girang meraikan kejayaan bergelar juara Piala FA selepas menewaskan Perlis menerusi sepakan penalti 4-2 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.- Gambar ABDUL RAHMAN SALEH.

KUALA LUMPUR - Kekecewaan Pahang pada 1995 akhirnya terubat apabila dimahkotakan selaku juara Piala FA edisi ke-17 selepas menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Skuad Tok Gajah terpaksa mengerah keringat sehingga mengharungi 120 minit babak perlawanan termasuk masa tambahan sebelum mendakap gelaran pertama persaingan bola sepak kalah mati negara itu selepas hanya muncul naib juara pada 1995.

Ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah muncul wira Pahang setelah meledakkan penalti keempat selepas Mitchell James Prentice, Josiah Seton dan Indra Putra Mahyuddin menyempurnakannya.

Buat Perlis, hanya Manzoor Azwira Wahid dan Madzlan Emoi menyepak masuk sedangkan sepakan Efendi Malik terkena palang dan Mohd. Lamin Conteh sempat diselamatkan penjaga gol Pahang.

Perlawanan akhir Piala FA ini merupakan kali ketiga yang ditentukan menerusi sepakan penalti selepas 1999 dan 2000 yang menyaksikan Kuala Lumpur dan Terengganu memenanginya.

Babak awal permainan ternyata kurang menyerlah akibat corak permainan berhati-hati kedua-dua pasukan malah tidak banyak gerakan cantik atau percubaan tepat menyapa pintu gol Pahang mahupun Perlis.

Hanya pada minit ke-24, sepakan percuma pemain Perlis, Adrien Jurad Chamrong sedikit mencabar kewibawaan penjaga gol Pahang, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi.

Peluang terbaik mencipta jaringan Pahang muncul pada minit ke-27 namun sepakan lemah Josiah Seton sekadar singgah tepat ke dakapan penjaga gol Perlis, Amran Omar.

Pahang terpaksa mengeluarkan ketua pasukan, Hairuddin Omar untuk digantikan dengan pemain veteran, Azizul Kamaluddin akibat kecederaan yang kemudiannya bertukar pula dengan Ahmad Wahid.

Pada minit ke-53, skuad Singa Utara nyaris-nyaris memecah kebuntuan jaringan gol apabila sepakan kencang Adrien ditepis keluar oleh Iqbal.

Mereka terus garang apabila cubaan Manzoor Azwira diselamatkan sebelum melintasi garisan gol oleh Shahril Faizal Sharifudin yang menolak keluar pada minit ke-61.

Pada minit ke-81, Pahang pula terlepas peluang menjaringkan gol apabila sepakan kencang Seton sekadar menyinggahi palang gol Perlis.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l6St83Pr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 25 Jun 2017

Piala FA: Sarawak kena belasah



ARKIB : 13/04/2006
KUALA LUMPUR - Sarawak memilih jalan sukar ke separuh akhir Piala FA selepas menjadi mangsa belasahan pasukan kebangsaan Bawah 23 Tahun Singapura pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, semalam.

Kekalahan besar 2-7 yang dialami pasukan bimbingan Jalil Rambli itu pasti menyukarkan mereka untuk bangkit pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Negeri, Kuching, 19 April ini.

Malang bagi Sarawak apabila kekalahan mereka itu turut dibantu dua gol sendiri pemainnya, Sanjos Sundawat (m-54) dan B. Rajinikandh (m-66).

Namun wira perlawanan semalam pastinya menjadi milik pemain pasukan Bawah 23 Singapura, Khairul Amri yang menjaringkan empat daripada lima lagi gol.

Jaringan Khairul pada minit ke-23, 36, 38 dan 42 itu menyentap semangat melawan Sarawak sebelum Shariff Abdul Samad mengukuhkan lagi kedudukan Bawah 23 Tahun Singapura dengan gol ketujuh pada minit ke-72.

Walaupun Mohd. Safee Sali berjaya menghasilkan kedua-dua gol Sarawak pada minit ke-33 dan 88 tetapi itu tidak cukup untuk mengurangkan defisit perbezaan gol yang dimiliki Bawah 23 Tahun Singapura.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l3m0DDlr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 23 Jun 2017

Peluang Selangor, Perak tebus maruah



ARKIB : 29/03/2006
KUALA LUMPUR - Tiga pasukan, Sarawak, Terengganu dan Negeri Sembilan Naza hampir memastikan tempat ke suku akhir, apabila memulakan perlawanan kedua pusingan kedua Piala FA malam ini.

Bermain di tempat sendiri menjadi kelebihan buat ketiga-tiga pasukan itu untuk mempertahankan kelebihan jaringan gol yang diperoleh pada perlawanan pertama pertengahan bulan lalu.

Terengganu menewaskan MPPJ 3-0 manakala Negeri Sembilan Naza pula menang dengan jaringan yang sama ke atas Telekom pada perlawanan pertama.

Berbekalkan tiga jaringan peluang kedua-dua pasukan itu tampak cerah melangkah mudah ke suku akhir apa lagi bermain di tempat sendiri.

Begitu juga dengan Sarawak yang menewaskan PKNS 3-1, bekalan dua gol menanti kunjungan pelawat malam ini masih dianggap selesa mengikut jejak langkah Terengganu dan Negeri Sembilan Naza.

Penyandang juara, Selangor dan naib juara, Perak yang masing-masing tersentak dengan kekalahan tipis 1-0 kepada Pahang serta Kelantan, peluang untuk melangkah ke suku akhir masih belum tertutup.

Selangor dan Perak pastinya mengharapkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri mampu merubah keputusan pada perlawanan pertama.

Buat Selangor yang kini kembali dengan rentak kemenangan selepas menewaskan Perlis 1-0 dalam saingan Liga Super Sabtu lalu, masih berpeluang menyekat Pahang daripada melangkah ke suku akhir.

Kembalinya Bambang Pamungkas selaku penjaring gol pastinya menjadi suntikan semangat buat Selangor untuk menewaskan Pahang.

Namun buat Perak yang tewas 5-1 dibelasah oleh Negeri Sembilan Naza dalam Liga Super Sabtu lalu, keupayaan mereka menjadi tanda tanya untuk memadamkan kelebihan satu jaringan milik Kelantan.

Tempoh 90 minit adalah masa yang perlu digunakan sepenuhnya oleh anak didik Steve Darby untuk menyekat Kelantan daripada melangkah ke suku akhir.

Perlis bekas naib juara 2003 turut berdepan tugas getir selepas mereka hanya mampu mencatat keputusan seri 0-0 dengan ATM pada saingan pertama di gelanggang sendiri.

Bertandang di tempat lawan malam ini adalah peluang terbaik buat Perlis untuk menggunakan semua pengalaman yang ada bagi memastikan langkah ke suku akhir tidak disekat oleh pasukan kerdil seperti ATM.

Johor perlu menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri menanti kunjungan skuad Singapura Bawah 23.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4kpr4ASr5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 22 Jun 2017

Perak, Selangor mara



ARKIB : 02/03/2006

KUALA LUMPUR - Penyandang juara, Selangor dan naib juara, Perak mengetuai cabaran untuk layak dalam kelompok 16 pasukan selepas mudah mengetepikan cabaran masing-masing pada saingan kedua pusingan pertama Piala FA, semalam.

Turut mengiringi Selangor dan Perak ialah Negeri Sembilan Naza, Sarawak, Johor, Perlis, Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Manakala pasukan berstatus kelab yang turut mara ialah PKNS, Telekom Melaka, PDRM dan ATM.

Terdahulu dua pasukan yang telah mengesahkan kemaraan awal ialah Singapura bawah 23 tahun dan MPPJ.

Selangor terus dirundung malang apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu MPSJ di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Begitupun, Selangor mara menerusi agregat 5-1 setelah menang 4-0 pada saingan pusingan pertama sebelum ini.

Naib juara, Perak pula se-kali-pun tewas 1-0 kepada Kuala Lumpur di Stadium KLFA tetapi turut mengesahkan kemaraan mengiringi Selangor.

Kekalahan tipis buat skuad bimbingan Steve Darby tidak menggugat kedudukan Perak yang turut layak menerusi agregat 3-1 selepas menang 3-0 di gelanggang sendiri sebelum ini.

Di Stadium Utama, Kangar bekas naib juara 2003, Perlis mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Kedah.

Keputusan itu tidak menggugat kedudukan Singa Utara mara ke peringkat seterusnya menerusi agregat 4-3.

Bekas naib juara pada 1995, Pahang tidak menghadapi masalah apabila mudah menewaskan KL Kesas FC 2-0 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Dua gol menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Fadzli Shaari sudah cukup membantu kemaraan Pahang ke pusingan kedua menerusi agregat 8-0.

Di Stadium Sarawak, dua gol menerusi Ramos Sari membantu Sarawak menewaskan Proton 3-0 untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Kemenangan itu memastikan Sarawak mara dengan agregat 7-2 setelah menang 4-2 sebelum ini.

Ramos Sari menjaringkan gol di minit ke-22 dan 32 manakala satu lagi gol melalui Robert Eshun pada minit ke-69.

Terdahulu di Stadium Petronas Bangi, Johor turut mara dengan agregat 2-1 walaupun hanya mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu KL Maju United.

Di Stadium Jcorp, Terengganu bangkit di minit-minit terakhir meledakkan tiga jaringan untuk menafikan hajat Johor FC apabila mencatat kemenangan 3-0.

Tiga gol menerusi jaringan Zairo Anuar Zailani (m-70), Md. Afshaari Shamsudin (m-89) dan Mohd. Norfarlan (m-90) memastikan kemaraan Terengganu dengan agregat 5-3.

Pada perlawanan pertama Terengganu tewas 2-3 di gelanggang sendiri.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4knJ2O6nQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

MPPJ mara



ARKIB : 01/03/2006
KUALA LUMPUR - Dua gol menerusi pemain import, Ben Newton Katanha membantu MPPJ mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua setelah mencapai keputusan seri 2-2 dengan KL Plus FC dalam saingan kedua pusingan pertama Piala FA di Stadium Selayang, semalam.

Keputusan seri tersebut sudah cukup buat anak didik B. Sathianathan mara ke pusingan kedua menerusi agregat 5-3 setelah menang 3-1 pada pusingan pertama 8 Februari lalu.

MPPJ menjadi pasukan kedua layak ke pusingan seterusnya mengiringi skuad Singapura bawah 23 tahun yang menewaskan Shahzan Muda dengan agregat 6-2.

Penyerang import KL Plus FC, Unchenna Goadwin Eze mengejutkan MPPJ menerusi jaringan pada minit ke-17.

MPPJ yang terdesak dengan jaringan awal itu kembali mengasak dan Ben Katanha menemui sentuhan apabila rembatan kencangnya menggegar jaring tuan rumah untuk mengikat kedudukan 1-1.

Namun, dua minit selepas babak kedua berlangsung Ben Kantanha meledakkan jaringan kedua mengatasi tuan rumah 2-1.

MPPJ yang tertekan seketika dengan asakan lawan seakan lega untuk mengukir kemenangan kedua namun sepakan lencong dari luar kotak penalti Norismaidham Ismail lima minit sebelum tamat memastikan kedudukan terikat 2-2.

Jurulatih MPPJ, Sathianathan melahirkan rasa lega dengan keputusan seri 2-2 sekali gus memastikan pasukannya mara ke pusingan kedua.

``Perlawanan hari ini (semalam) sekadar untuk melengkapkan jadual dan saya tidak mahu menekan pemain untuk bermain mati-matian,'' ujarnya selepas perlawanan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4knHyvAii
© Utusan Melayu (M) Bhd